Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

16 September 2008

Ramadan klinik berkesan berhenti merokok


SABAN tahun, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi telah berusaha untuk mendidik masyarakat tentang bahaya merokok. Kenaikan kadar cukai setiap tahun, pengisytiharan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang pengharamannya, mewartakan zon-zon larangan merokok terutamanya yang melibatkan tempat-tempat awam, pengenalan ubat terapi gantian nikotin dan pembukaan klinik-klinik berhenti merokok merupakan langkah-langkah yang telah diambil untuk membantu mereka yang telah terjebak ke dalam aktiviti ini. Ini juga bagi memupuk rasa benci dan 'Tak Nak' dalam kalangan generasi muda terutamanya pelajar-pelajar sekolah.

Namun, segalanya masih belum menampakkan hasil yang kos efektif seperti yang diharap-harapkan. Amalan merokok masih lagi mendominasi kawasan-kawasan awam.

Dalam Ramadan yang mulia, segalanya nampak berubah walau buat seketika. Waktu siangnya, Malaysia seolah- olah menjadi negara bebas rokok. Amat sukar untuk melihat puntung- puntung rokok bernyala, apatah lagi menghidu bau asapnya yang amat tidak menyenangkan.

Walau apa peringkat ketagihan sekalipun, baik mereka yang amatur atau yang ketagih tegar terhadap rokok ini nampaknya boleh menahan diri daripada memegang batang-batang maut ini.

Bukan untuk seketika, sejam atau dua jam bahkan lebih daripada dua belas jam sehari dan ia mampu dilakukan berulangkali selama tiga puluh hari. Syabas dan tahniah harus diberikan atas kejayaan yang besar ini. Memang diakui ramai bahawa berat mata memandang berat lagi mulut yang menghisap untuk menghilangkan sesuatu yang telah sebati dengan jiwa ini.

Semua orang tahu bahawa meninggalkan tabiat dan ketagihan ini merupakan suatu yang memerlukan pengorbanan dan semangat yang kuat. Nabi Muhammad SAW juga telah bersabda bahawa jihad melawan nafsu adalah jihad yang terlebih hebat daripada turun ke medan perang.

Namun, jika kejayaan telah tercipta pada bulan Ramadan, maka memanjangkannya ke tempoh yang lebih lama seharusnya menjadi lebih mudah daripada memulakannya. Tepuklah dada tanyalah jiwa sama ada kita ingin hidup lama atau hanya sementara.

Bayangkan betapa banyaknya wang yang telah diselamatkan dari menjadi bahan bakar yang bakal memusnahkan hidup kita.

Jika kita tidak mahu atau tidak memerlukannya sekalipun, sedekahkanlah wang tersebut kepada mereka yang masih ramai yang memerlukannya.

Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini yang mana pernah diungkapkan baginda bahawa sebaik-baik sedekah adalah sedekah pada bulan Ramadan. Juga dengan ganjaran amalan sunat diberikan seperti pahala wajib.

Atau sekurang-kurangnya menyimpanlah untuk tabungan kegunaan hari tua kelak. Sekotak sehari yang bernilai empat atau lima ringgit pastinya jika ditimbun dalam simpanan lama-kelamaan menjadi bukit yang bertimbun.

Sekurang-kurangnya senanglah sedikit untuk menjawab soalan di akhirat nanti ke manakah wang yang kita belanjakan atau gunakan sewaktu kita diamanahkan oleh Allah untuk menguruskannya di dunia ini.

Cukuplah bagi seseorang yang mengaku dirinya Muslim dan mukmin untuk meninggalkan terus tabiat ini walau hanya disebabkan oleh larangan agamanya.

Tidak perlu untuk ditakut-takutkan dengan pelbagai jenis penyakit, dikempen dengan pelbagai jenis program dan sebagainya.