Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

01 November 2008

Amaran kemelesetan

Oleh Ismail Hashim Yahaya

Bursa saham dunia yang jatuh sekali lagi pada Jumaat minggu lalu membawa petanda buruk bahawa ekonomi sejagat sedang menuju ke arah kemelesetan. Kejatuhan terbesar ialah di Asia di mana negara pengeksport utama mengalami kesan buruk daripada pasaran- pasaran yang mengecil di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Pergantungan besar kepada pasaran eksport oleh Asia akan mendedahkannya kepada sebarang masalah sejagat terutama di AS dan Eropah.

Jika bank-bank di Eropah dan AS sedang mengira-ngira aset-aset dan kredit yang boleh diselamatkan, syarikat-syarikat di Asia harus mula mengira mengurangkan keupayaan pengeluaran mereka supaya tidak mengalami kerugian.

Apa yang akan berlaku ialah kadar kepesatan ekonomi akan menurun. Menurut sesetengah pengulas Jepun yang memaparkan penguncupan ekonomi dalam suku kedua tahun ini iaitu sebanyak tiga peratus sedang mengalami kemelesetan.

Walaupun kadar pertumbuhan di China masih tinggi tetapi ia mengalami penurunan daripada hampir 12 peratus pada tahun lepas kepada sembilan peratus bagi suku ketiga tahun ini.

Terdapat juga laporan dari China yang menyebut mengenai penutupan beberapa kilang di sana dan kehilangan pekerjaan di kalangan rakyat. Tetapi itu masih belum boleh dipastikan.

Ketika berhadapan dengan kemelut sekarang, sejauh mana kerjasama antara negara Asia dan Eropah dapat dilakukan dalam mesyuarat ASEM. Ini kerana negara Eropah terutama mempunyai agenda dan kepentingan sendiri untuk dilaksanakan.

Agenda Eropah dapat dilihat daripada kenyataan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang menyebut Eropah akan mengemukakan suatu "barisan kukuh" pada Sidang Kemuncak G-20 bulan depan di Washington dan merayu kepada sokongan Asia dalam pembaharuan kewangan sejagat.

Keputusan

Di manakah kedudukan negara Asia dalam rancangan mereka? Adakah Asia akan kembali ke era Bretton Woods kembali di mana negara Barat masih menjadi kuasa besar dan kita hanyalah pak turutnya sahaja?

Harus diingat sebarang keputusan yang dicapai pada persidangan G-20 pada 15 November depan dalam membincangkan langkah-langkah menangani krisis kewangan ini akan menimpa negara selatan.

Ini kerana bagi menyelamatkan harta dan kekayaan elit atau oligarki kewangan dan perbankan, mereka akan kerugian di pihak syarikat besar yang akan mengakibatkan pengangguran atau pemotongan gaji sejagat.

Negara sedang membangun atau negara Selatan-Selatan harus terlibat untuk menyuarakan hak mereka untuk mengambil bahagian atau menyuarakan sebarang pendapat supaya tidak menjadi mangsa negara Barat.

Malaysia dalam hal ini harus mempunyai rancangan dan pelan bagi menyelamatkan negara daripada "tsunami" atau bencana kemeseletan ini.

Kerajaan harus bertindak proaktif dalam menangani masalah ini. Keyakinan para pelabur dalam bursa saham harus dipulihkan.

Pendekatan psikologi harus digunakan bagi meyakinkan pelabur tempatan dan luar yang berada di negara ini.

Suatu kempen harus diatur disegerakan bagi memulihkan keyakinan pelabur dan menjaga keselamatan rakyat daripada bencana ekonomi global.

Antara yang perlu diambil kira ialah kedudukan eksport syarikat kita ke AS dan Eropah? Bagaimana dengan operasi dan pelaburan syarikat AS dan Eropah di negara kita sekarang?

Kita tidak mahu berlakunya penutupan kilang dan mencetuskan pengangguran pula.

Bayangkanlah berapa ramai yang mempunyai hutang kad kredit, ansuran rumah, kereta atau motosikal, barangan elektrik dan elektronik, insurans dan seumpamanya. Ia tentunya akan membawa kesan buruk kepada bank nanti.

Ini bukanlah bertujuan menakutkan rakyat tetapi harus bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan. Sediakan payung sebelum hujan!