Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Oktober 2008

Khazanah serah kajian


KUALA LUMPUR, 17 Okt. - Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan mengemukakan satu kajian terperinci kepada kerajaan yang bertujuan menangani masalah struktur industri elektrik negara ini dalam masa terdekat.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata: ''Kami akan mengemukakan laporan kajian yang dilakukan untuk tempoh tiga bulan kepada kerajaan tidak lama lagi.

''Kajian ini menyentuh industri elektrik, sektor tenaga dan juga melibatkan Penjana Bebas (IPP) yang menyatakan minat supaya industri itu mampu berkekalan," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari kedua persidangan serantau persahabatan Eisenhower di sini.

Azman menyifatkan masalah struktur industri elektrik itu tidak ubah seperti bom yang akan meletup bila-bila masa

''Kami perlu mengkaji semula struktur industri secara keseluruhan, jika tidak, kami mungkin menghadapi kekurangan bekalan elektrik menjelang tahun 2011 dan 2012," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah yang diambil untuk menangani masalah kewangan Tenaga Nasional Bhd. (TNB), sebuah syarikat milik kerajaan di bawah Khazanah.

Keuntungan sebelum cukai TNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2008 mencatat penurunan sebanyak RM3.025 bilion berbanding RM4.765 bilion, tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau memuji syarikat utiliti negara itu kerana peningkatan ketara dalam kecekapan operasi, terutama ke atas kawalan kos bagi beberapa tahun lalu.

''Sebenarnya, industri ini adalah tidak seimbang walaupun TNB mencatatkan prestasi baik kerana pendapatannya masih tidak mencukupi untuk masa depan.

''Sebagai contoh, pada tahun 2007 apabila TNB memperolehi keuntungan RM4 bilion, jumlah itu mungkin banyak bagi sesetengah pihak tetapi perbelanjaan syarikat mengatasi untung itu," kata beliau.