Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 Oktober 2008

Nisriwani himpun kisah legenda puteri Melayu


JIKA dilihat secara luaran, tiada apa yang membezakan beliau dengan wanita-wanita lain yang pernah penulis temui sebelum ini. Mempunyai wawasan, bercita-cita tinggi dan mengimpikan sebuah kehidupan sempurna dan bahagia.

Namun, selepas hampir sejam menemu bual tuan punya badan, Nisriwani Yahaya, ada sesuatu yang berbeza dan menarik dalam dirinya yang mungkin sudah terhakis dalam diri sesetengah wanita lain- keinginan mempertahan dan memartabatkan warisan dan sejarah bangsa Melayu.

Bukti kepada kesungguhan tersebut termasuklah usaha menulis dan menyiapkan sebuah buku berjudul 101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda pada tahun 2003. Buku tersebut menghimpunkan kisah puteri-puteri Melayu dari abad ketujuh hingga ke-20, termasuk Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong dan Puteri Gunung Ledang.

Secara peribadi kata wanita kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini, buku yang dihasilkan bersama penulis Syed Zulfida SM Noor, antara yang memberi kepuasan sepanjang hidupnya.

Ini kerana, buku itu bukan sahaja bertujuan memberi penghormatan dan menghargai jasa serta pengorbanan mereka, lebih penting sifat-sifat terpuji yang dimiliki puteri-puteri ini boleh diteladani wanita lain.

“Biarpun tidak mendapat sebarang penajaan dan terpaksa mengeluarkan belanja sendiri ketika menulis buku tersebut, saya benar-benar bersyukur dan berpuas hati kerana pada akhirnya buku tersebut dapat juga dihasilkan,” ujarnya secara jujur ketika ditemui di pejabatnya, di Plaza Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anggun berpakaian tradisional lengkap sepersalinan berwarna kuning bersulam emas pada bahagian dada, bagaikan memahami apa yang bermain dalam fikiran penulis, Nisriwani dengan senang hati menjelaskan kisah di sebalik pakaian yang digayakannya itu.

Beliau mengakui, ia merupakan hadiah daripada waris ketujuh, salah seorang puteri yang dipaparkan dalam buku tulisan beliau iaitu, Cut Nyak Dhien dari Acheh (1856-1908), sebagai tanda penghargaan kepada usaha beliau menulis tentang sejarah keturunan mereka.

Bercerita lanjut mengenai usahanya itu kata Nisriwani, segala-galanya bagai telah ditentukan oleh Tuhan.

Jika dilihat latar belakang pendidikan dan cara beliau dibesarkan, mungkin agak menyimpang daripada apa yang diperjuangkan hari ini.

Namun, keinginan untuk menulis kisah-kisah puteri sebagai rujukan kepada generasi akan datang bagaikan membuak-buak dalam dirinya.

Selepas mendapat ilham untuk menulis buku seumpamanya, beliau dipertemukan dengan Syed Zulfida yang banyak mengumpul bahan-bahan berkaitan.

Untuk menghasilkan buku berkenaan beliau mengambil masa kira-kira dua tahun termasuk membuat penyelidikan dan pembacaan sebelum kandungan ditulis.

Beliau dan Syed Zulfida turut membaca sekurang-kurangnya tiga buku berkaitan bagi setiap srikandi agar tulisan yang dihasilkan menyeluruh dengan merangkumi setiap latar belakang sejarah dan mitos, selain menyelidik melalui buku cerita, buku rakyat dan apa saja bentuk penulisan termasuk syair serta seloka yang pernah menyebut mengenai puteri ataupun srikandi tertentu.

Hidup dalam dunia Melayu

“Mungkin kita tak sedar sebenarnya satu ketika dulu ada ramai wanita yang pernah mengetuai pemerintahan sesebuah negara atau jajahan. Sebagai contoh, Cik Siti Wan Kembang yang pernah memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga atau negeri Kelantan.

“Malah, daripada 101 srikandi yang kita angkat di dalam buku ini, 52 daripadanya adalah ratu dan 22 pernah menjadi pemerintah jajahan besar suatu ketika dulu.

“Walaupun tiada catatan sejarah yang menulis mengenai mereka, penyelidikan yang dijalankan menunjukkan sebahagian besar daripada mereka ada tercatat dalam salasilah kerajaan tertentu,” katanya.

Di samping penulisan, buku itu turut menyingkap pakaian, salasilah dan amalan tradisi yang diamalkan masyarakat tertentu ketika hayat setiap srikandi berkenaan dari abad ketujuh hingga ke-18.

Bagi memudahkan pembacaan, buku yang boleh dibeli Muzium Negara itu mengklasifikasikan 101 puteri atau srikandi terpilih kepada lima kategori, iaitu kepemimpinan, sokongan dan sumbangan, berprinsip teguh, mitos dan disentuh keadaan atau wanita yang popular kerana kejadian tertentu.

Secara jujur juga kata Nisriwani, sikap dan keperibadian puteri-puteri yang ditulis sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya secara tidak langsung baik melalui tutur kata mahupun tindakan dalam kehidupannya.

Kebanyakan puteri yang dipaparkan dalam buku tersebut hidup dalam dunia Melayu yang luas tanpa sempadan, minda yang terbuka, semangat yang kental dan perpaduan yang teguh sehinggalah kedatangan bangsa-bangsa kolonial Barat yang menyekat, memecah belah dan menyempitkan fikiran.

“Saya percaya jika kita berpegang kepada pada tekad dan semangat srikandi para puteri pada zaman silam, pasti kita akan mendapat iktibar, sumber inspirasi untuk membangun dan memperkasakan diri serta mempertingkatkan nilai murni dan peradaban bangsa kita,” ujarnya penuh makna.

Cik Siti Wan Kembang

Kesinambungan kepada usaha beliau itu tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya bagaikan sudah ditentukan sama seperti beliau mendapat ilham menulis dan menghasilkan buku tersebut, begitu juga dengan penubuhan Yayasan Dunia Melayu.

Pertemuan dengan bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Kamal Salih yang kini Pengerusi Yayasan Dunia Melayu secara tidak langsung meniup semangatnya untuk terus memartabatkan seni, budaya, warisan dan sejarah bangsa.

Dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di yayasan tersebut sejak 2004, memberi lebih peluang kepada beliau untuk meneruskan usaha -usaha memartabatkan seni warisan bangsa.

Pameran Royals & Arts serta Majlis Malam Amal Seni Diraja anjuran bersama Pertubuhan Pereka Bumiputera (BDA) yang pertama kali diadakan di ibu negara baru-baru ini juga antara usaha yayasan yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Kejayaan acara ini adalah juga atas kerjasama dan sokongan yang amat baik dari kerabat-kerabat diraja dari sembilan buah negeri beraja di Malaysia.

Pameran hebat julung kali diadakan itu bagaikan menyingkap kisah di dalam istana diraja yang sarat bersama koleksi tidak terkira tinggi nilai kualiti, sejarah, nostalgia malah teringin benar diketahui rakyat yang melihat kepunyaan golongan yang menjadi keagungan Melayu.

Manakan tidak, sejak zaman silam, kerabat diraja memainkan peranan dalam mempelopori penggunaan dan penggalakan pembuatan produk kesenian dan kebudayaan menjadikan rakyat sentiasa dahaga dan berminat mengenai segala apa yang dilakukan dan dimiliki kerabat diraja.

Mengakui cukup mengagumi semangat juang dan keperibadian kesemua puteri Melayu itu terutama, Cik Siti Wan Kembang, bagi Nisriwani wanita tersebut disifatkan bukan sahaja seorang individu yang cantik menawan, halus budi bahasa, kuat beribadat tetapi juga mempunyai ilmu, keteguhan iman dan takwa.

Jika sebelum ini beliau merancang menghasilkan sebuah filem epik mengenai Cik Siti Wan Kembang dengan kerjasama sebuah syarikat penerbitan, bagaimanapun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut memandangkan kos yang agak tinggi.

Bagaimanapun, beliau tidak berputus asa untuk terus menonjolkan kehebatan wanita tersebut dengan hanya menghasilkannya dalam bentuk teater biarpun terpaksa mengambil masa agak lama.

“Sekurang-kurangnya saya masih berpeluang meneruskan usaha-usaha mengangkat serta mempertahankan warisan bangsa biarpun terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit.

“Saya berkeyakinan, jika usaha ini berjaya ia akan memberi satu dimensi dan semangat baru kepada semua wanita di negara ini,” ujarnya.