Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

25 Oktober 2008

Ronda-ronda 3 bandar


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin




Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu unik, istimewa

PELUANG menyertai program ala Amazing Race yang dianjurkan Maxis Communications Bhd (Maxis) baru-baru ini memberi peluang penulis mengenali lebih dekat keistimewaan tiga bandar popular di pantai Timur, iaitu Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Walaupun turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkonsep perlumbaan yang memerlukan peserta bergerak pantas, penulis sempat mencuri masa mendekati keunikan serta kelebihan tiga bandar yang menjadi ibu negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan itu,


Dalam tempoh singkat, banyak keistimewaan Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu boleh diteroka. Apa yang pasti, semua lokasi itu terkenal dengan keindahan pantai memutih yang pastinya sesuai untuk seisi keluarga bersantai sambil menikmati keenakan makanan laut segar.

Selasa
8.40 pagi : Penulis menaiki penerbangan 40 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang.

Ketibaan penulis dan jurugambar disambut mesra kakitangan Maxis yang menunggu dari awal. Kami kemudian dibawa ke lokasi penginapan, Hotel Hyatt Regency. Kedudukan hotel di lokasi strategik berhampiran pantai Telok Chempedak menyajikan pemandangan indah. Ketika berjalan ke bilik penginapan, pemandangan dua kolam renang yang berlatarkan biru laut membiaskan rasa cukup mendamaikan ditambah pula kesegaran taman menghijau.

PELBAGAI destinasi menarik boleh dilawati di Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

12 tengah hari : Selepas berehat, kami menikmati makan tengah hari ala masakan Cina di Restoran New Horizon Garden di bandar Kuantan bersama beberapa rakan media dan kakitangan Maxis. Bagi mereka yang gemar masakan tomyam dan makanan laut, jangan lepaskan peluang mengunjungi restoran ini kerana anda pasti sukar melupakan kelazatan dan keaslian hidangannya yang tentunya 'umph'! Selesai makan, kami bersiar-siar di sekeliling hotel sambil menikmati keindahan dan hembusan angin pantai.

6 petang : Sebagai persediaan menyertai perlumbaan esok, kami diberi taklimat ringkas mengenai perjalanan, destinasi dan corak permainan sebelum menikmati makan malam di restoran hotel. Selepas menjamu selera, kami bersiar-siar di tepi pantai sambil menghirup udara segar dan menghayati keindahan malam. Asyik berbual dengan rakan dari media lain yang baru dikenali, tidak sedar jarum jam sudah menginjak ke angka 10 malam dan kami pulang ke bilik masing-masing untuk berehat mengumpul tenaga.

Rabu
7.30 pagi : Memulakan hari dengan bersarapan bersama rakan media di kafe hotel sebelum memulakan perlumbaan. Pelepasan lapan pasukan yang menaiki pelbagai kenderaan berwarna merah dilengkapi logo Hotlink, disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Azizan Ahmad bersama Ketua Pemasaran Pelanggan Maxis Communications Bhd, Tan Lay Han. Semangat terus membara bersama tiga lagi rakan sekumpulan untuk merebut hadiah utama TV LCD 40 inci.

9.30 pagi : Selepas membuat persiapan terakhir, peserta dilepaskan dan kami menuju ke lokasi pertama iaitu Kemaman Kopitiam, tidak jauh dari bandar Kuantan.

PESERTA menguji kemahiran membuat keropok lekor.

10.25 pagi : Sebaik tiba, kami diberi tugas merakamkan gambar di hadapan Kemaman Kopitiam dan membuat panggilan video menggunakan khidmat 3G Maxis ke pusat panggilan ditetapkan. Seterusnya kami diminta segera mencari kulit ketam untuk dibawa ke destinasi akhir di Kota Bharu. Kafe ini adalah antara kopitiam terkenal pada era 1980-an dan 1990-an. Kewujudan pelbagai kafe lain yang berciri lebih moden menyebabkan kopitiam ini seolah-olah dilupai. Namun ia masih mendapat sambutan di kalangan masyarakat setempati. Selesai tugasan, kami bergegas ke destinasi kedua iaitu Pusat Penerangan dan Santuari Penyu di Rantau Abang.

12 tengah hari : Kami tiba di Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Rantau Abang. Kami diberi tugasan lain iaitu merakamkan gambar di hadapan pintu masuk dan batu tanda lokasi itu, sebelum menyempurnakan tugasan dengan menghantar MMS ke talian ditetapkan. Di pusat ini, pelbagai maklumat mengenai penyu boleh didapati. Pantai Rantau Abang berhampiran pusat ini terkenal sebagai antara lokasi utama pendaratan pelbagai spesies penyu terutama penyu belimbing yang semakin pupus. Pantai ini yang indah dan bersih, amat sesuai menjadi lokasi pelepas lelah sambil menghirup udara laut. Sejurus selesai tugasan di sini, kapten pasukan kami segera memecut kenderaan menuju lokasi seterusnya, Kedai Keropok Lekor 007 Chendering.

1.15 petang : Terkejut apabila tiba di lokasi ketiga, kami menerima sampul tugasan tertulis 'anda dikehendaki menyediakan keropok lekor terpanjang'! Keropok lekor menjadi makanan tradisi Terengganu yang enak dan keaslian ramuannya sukar ditemui di tempat lain. Tidak sangka, selama ini hanya tahu makan saja, kali ini penulis dan tiga rakan lain terpaksa menguli sendiri keropok terpanjang. Di Terengganu, ada banyak gerai menyediakan makanan tradisional ini dan bagi pelancong, ia boleh dibawa pulang sebagai buah tangan.

Sepanjang perjalanan dari Rantau Abang, Dungun menuju ke kedai keropok lekor ini, anda akan melalui Pantai Perangingan Kelulut. Makanan laut di sini terutama ikan bakar menjadi menu istimewa dan menarik ramai pengunjung. Menjamu selera dengan hidangan popular sotong dan ikan celup tepung sambil membasahkan tekak dengan air kelapa ditemani bayu dan desiran ombak membangkitkan emosi cukup menyegarkan.

2 petang : Kumpulan kami tiba di destinasi keempat, Felda Chalok Barat dengan tugasan mengaktifkan pelan 'Kampung Zone' diperkenalkan Hotlink yang menyediakan kadar panggilan serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang lebih murah. Perjalanan ke destinasi seterusnya diteruskan ke Pasir Puteh, Kelantan.

2.50 petang : Selepas memecut mengejar masa, kami tiba di lokasi terakhir di kedai pengedar komunikasi Hotlink dan Maxis di Pasir Puteh. Di sini, setiap peserta diwajibkan merakam nyanyian lagu Negaraku di hadapan kedai dan menghantar salinan video ke talian Maxis. Inilah kali pertama penulis menjejak kaki di bumi Kelantan. Menurut beberapa rakan, Pasir Puteh terkenal dengan pantainya yang bersih. Di sini juga letaknya Jeti Tok Bali yang terkenal sebagai tempat pendaratan ikan terbesar di Pantai Timur di mana orang ramai boleh membeli ikan dan hasil laut segar secara terus.

Berdiri di atas jambatan merentangi Terusan Semerak yang melengkung dan tinggi membolehkan pengunjung melihat kawasan pesisir pantai yang terkenal kerana pasirnya yang memutih. Bagi peminat sukan berkuda, mereka boleh melakukannya dengan selesa kerana bentuk geografi pantai Tok Bali yang landai, panjang dan dianggarkan kira-kira 40 kilometer bermula dari Pantai Bisikan Bayu di Semerak sehingga berakhir di Pantai Telong, Bachok.

3.30 petang : Kami tiba ke destinasi terakhir iaitu ibu negeri Kelantan, Kota Bharu dan terus ke lokasi penginapan di Hotel Renaissance yang cukup cantik di tengah bandar ini. Selesai menyerahkan semua hasil tugasan, kami naik ke bilik untuk berehat sebelum berkumpul semula pada sesi makan malam dan sesi pengumuman pemenang. Walaupun tidak dikelilingi suasana pantai atau pemandangan indah, keselesaan menginap di hotel ini sudah cukup membuat penulis leka sehingga terlena.

8 malam : Sambil menikmati makan malam bersama rakan media dan kakitangan Hotlink di dewan hotel, segelintir rakan media yang berasal dari Kelantan tidak berhenti menceritakan keistimewaan negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Selesai makan malam dan majlis penyampaian hadiah, seorang rakan mengajak penulis dan sekumpulan rakan wanita mengunjungi Wakaf Che Yeh. Tempat ini umpama Petaling Street di Kuala Lumpur yang menjual pelbagai jenis barangan dari aksesori wanita, pakaian, makanan, cenderamata, haruman, beg tangan, kasut yang semuanya datang dari Siam. Berjalan-jalan mencuci mata di sini hingga tidak sedar hari sudah larut malam. Kota Bharu juga terkenal dengan Pasar Siti Khadijah yang menjual pelbagai variasi barangan pada harga sangat rendah. Sesuailah jika hendak membeli belah cenderahati di sini.