Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 Oktober 2008

Sel stem arnab bantu rawat sindrom down


Oleh Hafizah Iszahanid

BARU-BARU ini, sebuah syarikat, BCRO Stem Cell Transplantation Sdn Bhd, mendakwa sel stem daripada fetus arnab berupaya membantu perkembangan pesakit sindrom down.

Justeru, ramai ibu bapa mahu anak mereka yang menghidap sindrom down menjalani rawatan xenotransplan sel stem yang dibangunkan BCRO.

Namun, kefahaman dan penjelasan mengenai xenotransplan sel stem dan bagaimana ia membantu pesakit sindrom down perlu difahami terlebih dulu.


Pengarah Perubatan BCRO Stem Cell Transplantation Sdn Bhd, Datuk Dr Abdul Halim Jalil, berkata umumnya, pesakit sindrom down lahir dengan ciri hampir sama, wajah yang rata, lidah yang lebar dan mata atas yang kelihatan berat (slanting eyes). Mereka juga selalunya mengalami masalah jantung dan sukar belajar.

“Rawatan yang dilakukan kepada pesakit sindrom down sebelum ini adalah rawatan komplikasi penyakit. Misalnya kalau dia mengalami masalah jantung, itulah yang dirawat. Begitu juga dia dia berhadapan dengan masalah usus atau leukemia.

“Perlu diingat, buat masa ini penyakit sindrom down tidak boleh dirawat kerana ia adalah penyakit genetik berkaitan lebihan kromosom,” katanya.

Sebagai penyakit yang dikaitkan dengan faktor genetik, sindrom down adalah penyakit seumur hidup. Tiada rawatan boleh menyembuhkannya dan saintis masih giat menjalankan penyelidikan bagi mencari kaedah menangani sindrom down atau sekurang-kurangnya membantu memperbaiki kesihatan penghidapnya.

Justeru, katanya, rawatan yang dilakukan oleh BCRO menerusi sel stem daripada fetus arnab (teknologi yang disebut sebagai Xenotransplan stem sel) adalah mengembalikan sebahagian kecil fungsi kemanusiaan pesakit itu.

“Misalnya, jika kanak-kanak berkenaan kurang tumpuan, selepas menjalani terapi sel stem mungkin ia membantu meningkatkan tahap tumpuan. Atau jika dulu, pesakit lemah dari segi pergerakan motor, selepas terapi sel stem mungkin berlaku sedikit peningkatan.

“Namun, untuk memulihkan pesakit daripada sindrom down sepenuhnya seperti yang dipercayai oleh kebanyakan ibu bapa, adalah tidak benar. Xenotransplan sel stem tidak berupaya melakukannya,” katanya.

Xenotransplantation adalah pemindahan sel, organ atau tisu haiwan kepada manusia. Berbanding pemindahan organ haiwan kepada manusia, pemindahan sel (disebut xenotransplan atau xenograft) kurang dikenali walaupun didakwa sudah 70 tahun dijalankan. Kebanyakan kajian dan penerbitan mengenainya dilakukan dalam bahasa Russia dan Jerman.

BCRO menjalankan prosedur xenotransplan bersandarkan kajian dan hasil kajian oleh Prof Dr Franz Schmid di Jerman pada awal 1950-an yang mendakwa 62 peratus daripada 3,000 kanak-kanak sindrom down yang dirawat pada usia muda dapat menghadiri tabika awam dan 27 peratus dapat ke sekolah biasa bersama kanak-kanak normal lain.

Berbanding xenotransplan sel stem, kajian dan eksperimen mengenai xenotransplan yang membabitkan organ haiwan kepada manusia dimulakan secara saintifik sejak 1960 dan berterusan hingga kini. Misalnya, pada 1993 sum-sum tulang dan buah pinggang seekor babun dilakukan di Pittsburgh, Amerika. Namun, penerimanya berhadapan dengan jangkitan 26 hari kemudian.

Xenotransplan organ sangat mengujakan kerana secara umum, dunia perubatan barat merekodkan 10 orang meninggal dunia kerana kegagalan mencari ganti organ yang bermasalah. Justeru, untuk saintis, kemungkinan haiwan menjadi penderma organ kepada manusia adalah berita paling menggembirakan.

Sehingga kini, binatang yang dianggap paling sesuai sebagai ‘lubuk organ gantian’ adalah babi. Sehingga kini juga, banyak kajian dan penyelidikan mengenainya dilakukan

Bagaimanapun dalam konteks xenotransplan sel stem pula, BRCO memperoleh sumber sel stem daripada koloni arnab yang dibiak secara tertutup.

Justeru, kata Dr Abdul Halim, sel stem daripada janin arnab ini tidak sama dengan sel stem embrionik manusia atau pun darah tali pusat.

Sel stem janin arnab ini katanya, berpotensi merangsang pertumbuhan semula tisu yang rosak. Dalam konteks pesakit sindrom down pula, ia berupaya menghilangkan ciri wajah mongoloid selain membantu perkembangan motornya.

Sel stem yang disuntik kepada pesakit itu pula adalah mengikut jenis sel pada tisu atau organ yang rosak. Justeru, wujud kemungkinan pesakit memerlukan suntikan lebih daripada satu jenis sel untuk penyakit yang membabitkan kerosakan beberapa jenis sel badan.

“Pesakit sindrom down berhadapan dengan masalah pertumbuhan saiz badan yang lebih kecil berbanding rakan seusia mereka dan perkembangan kognitif yang lembap.

“Justeru, rawatan sepatutnya dimulakan pada peringkat awal (antara usia 0 hingga 12 bulan),” katanya.

Katanya, mungkin hanya satu sel (satu suntikan) diperlukan bagi kanak-kanak pada usia 0 hingga 12 tahun tetapi bagi kanak-kanak yang berusia dua ke tiga tahun setengah, mereka mungkin memerlukan dua suntikan.

“Satu sel bersamaan satu suntikan pada bahagian punggung manakala kos untuk satu suntikan adalah RM27,000 dan prosedur itu dijalankan di Malaysia oleh BCRO,” katanya.

Kata Dr Abdul Halim, kesan terhadap kanak-kanak secara umumnya akan dilihat antara dua ke empat bulan selepas suntikan. Jika tiada kemajuan, mungkin satu lagi sesi diperlukan.

Walaupun hampir semua pesakit sindrom down memiliki ciri-ciri yang sama, mereka berbeza personaliti. Justeru, semua faktor itu diambil kira selain usia memulakan rawatan dan tahap kerosakan sel otak.

“Sel terapi digunakan memperbaiki fungsinya setara manusia sihat bukan untuk memulihkan sindrom down. Ia penyakit yang tiada ubat setakat ini kerana sindrom down masalah genetik,” katanya.

Mengapa fetus arnab? Dr Abdul Halim berkata, haiwan lain berhadapan dengan pelbagai penyakit misalnya lembu dengan penyakit lembu gila, tetapi tidak pada arnab apatah lagi arnab yang dibiak khas dalam koloni yang tertutup sejak beberapa generasi.

Tambahan lagi, katanya, penerima sel stem janin arnab tidak perlu mengambil ubat anti penolakan seperti yang perlu dilakukan oleh penerima organ.

Teknologi yang dibangunkan BCRO mungkin baik, namun satu hakikat yang tidak boleh ditolak, sel stem belum dibuktikan secara saintifik sebagai ubat ajaib yang boleh menyembuhkan semua jenis penyakit.

Malah, keberkesanan sel stem dari darah tali pusat bayi juga masih diperdebatkan manfaatnya. Justeru, apabila ada pihak mendakwa sel stem (walau daripada mana sumbernya) boleh menangani pelbagai penyakit, ia adalah dakwaan yang kurang tepat.

Sehingga kini, keberkesanan sel stem dalam menyembuhkan penyakit masih pada peringkat kajian. Belum ada bukti klinikal yang diiktiraf dunia perubatan antarabangsa mengenai keberkesanan sel stem.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek sebelum ini meminta orang ramai mendapatkan pengesahan dan pandangan kedua sebelum menjalani rawatan penyakit menggunakan sel stem.

Katanya, belum ada kajian dan bukti sainstifik dalam bidang perubatan mengenai keberkesanan penggunaan sel stem untuk merawat pelbagai penyakit termasuk diabetis dan sindrom down.