Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

14 November 2008

Kemerosotan Kuantan cerminkan mutu kepimpinan


MANUSIA yang berhijrah dari tempat asalnya sering mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kota atau kampung yang ditinggalkan.

Selepas tidak melihat kota dan kampung itu dalam satu tempoh yang lama, lazimnya mereka akan merasai perubahan, sama ada perubahan ke arah yang lebih baik atau bertambah buruk.

Seperti berjuta-juta anak Malaysia yang membesar di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), saya juga meninggalkan kampung dan kota tempat saya dibesarkan untuk menimba ilmu dan kemudian mencari rezeki.

Pada tahun ini, jumlah tahun saya bekerja di perantauan adalah lebih banyak daripada masa yang saya habiskan semasa kecil dan zaman sekolah di kampung asal saya.

Saya meninggalkan rumah keluarga saya di Kuantan, Pahang ketika berusia 19 tahun untuk belajar di universiti di Kuala Lumpur pada tahun 1980-an, dan pada tahun ini saya mula menyedari bahawa sebenarnya lebih separuh daripada hidup saya telah dilalui di luar Kuantan.

Kuantan, ibu negeri Pahang, ialah sebuah bandar tepi laut yang menghadap Laut China Selatan. Sungainya yang luas menjadikan Kuantan - jika dibangunkan secara terancang dan bersungguh-sungguh - berpotensi untuk menjadi lebih cantik daripada sesetengah kota lain, termasuk kota-kota di Eropah, yang didirikan di muara sungai.

Kecuali infrastruktur jalan rayanya yang semakin baik serta kemunculan banyak kawasan perumahan baru, dalam tempoh dua dekad lalu sebenarnya tidak banyak perubahan yang boleh dibanggakan di Kuantan.

Kepada orang yang balik sekali-sekala ke Kuantan seperti saya, transformasi yang ketara di bandar itu ialah kawasan perkuburan lama di tebing Sungai Kuantan sudah tiada lagi.

Setiap malam, khususnya pada malam minggu, kawasan itu yang dulunya dikenali sebagai Benteng menjadi tempat tumpuan anak-anak muda bersuka ria dan bercengkerama.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa suatu waktu dulu kawasan berlibur itu merupakan sebuah tanah perkuburan, sebagaimana juga ramai yang tidak sedar Kuantan sebenarnya mempunyai lebih 135 buah kelab malam, disko dan pusat hiburan serta lebih 40 buah rumah urut berlesen.

Pada suatu malam Rabu lalu, ketika berbual-bual dengan rakan-rakan lama, seorang teman saya menceritakan betapa susahnya kehidupan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri di Kuantan.

Katanya, perkhidmatan pengangkutan bas awam dalam bandar sudah tiada lagi di Kuantan. Bas-bas Kuantan Town Service yang menjadi kenderaan awam yang dinaiki para pelajar untuk ke sekolah semasa saya kecil dahulu sudah tidak beroperasi.

Saya yang sedang bercuti tidak mempercayai kata-kata teman saya itu. Jadi, saya menangguhkan kepulangan saya ke Kuala Lumpur untuk merasai sendiri perkhidmatan bas di Kuantan. Semalam, dari pukul 9 pagi sehingga ke tengah hari, saya meninggalkan kereta untuk menaiki bas awam di Kuantan.

Sekiranya anda turun di Terminal Bas Makmur yang terletak dekat Stadium Darul Makmur, tidak ada perkhidmatan bas di Kuantan yang boleh membawa anda ke kawasan-kawasan perumahan seperti Bukit Setongkol, Cenderawasih, Bukit Sekilau, Semambu, Alor Akar, Teluk Sisek, Tanjung Lumpur dan banyak lagi.

Sistem pengangkutan awam pincang. Anda hanya boleh sampai ke tempat-tempat itu dengan menaiki teksi yang tambangnya amat mahal. Ada sesetengah pemandu teksi mengenakan tambang sebanyak RM20 untuk membawa penumpang ke pantai peranginan Teluk Chempedak yang jaraknya cuma enam kilometer.

Jika anda ingin mendapatkan perkhidmatan bas ke kawasan-kawasan lain pula yang masih mempunyai perkhidmatan bas, anda perlu pergi ke sebuah hentian bas lain di Benteng yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Terminal Makmur.

Malangnya, tiada bas yang boleh membawa seseorang terus ke Benteng, kata pemandu teksi yang saya temui.

Saya terpaksa menaiki teksi itu untuk ke hentian bas di Benteng. Bayarannya ialah RM7 untuk perjalanan selama enam minit.

Pilihan bas di Benteng amat terhad dari segi kawasan liputan perkhidmatannya dan kebanyakan bas sudah agak uzur. Boleh dikatakan semua bas berada dalam keadaan yang kotor.

Lantai salah sebuah bas yang saya naiki untuk ke kawasan perumahan Sri Inderapura yang terletak 12 kilometer dari Kuantan mungkin seminggu tidak dicuci. Tambangnya ialah RM2.50 untuk perjalanan sehala.

Dari bas yang bergerak, kita dapat melihat begitu banyak perhentian bas kosong di Kuantan. Tiada orang menunggu bas. Sebuah perhentian bas tempat saya berhenti begitu kotor dengan kulit rambutan, longan, kertas berterbangan dan pelbagai sampah sarap lain.

Setelah meninjau perhentian-perhentian bas itu, saya dapati tiada bakul sampah disediakan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sebahagian perhentian bas, menyebabkan orang ramai bertindak membuang sampah merata-rata.

Di belakang sebuah perhentian bas lain, kawasan itu menjadi tempat penduduk sekitarnya membuang sampah. Perut ayam pun dilonggok di situ. Tanah di tepi jalan dibiarkan tanpa rumput sehingga berlopak-lopak apabila hari hujan.

Sebagai seorang yang berasal dari Kuantan, tentulah saya berasa amat kecewa dengan kemerosotan yang dialami oleh ibu negeri Pahang itu khususnya dari segi kebersihan dan kemudahan pengangkutan awam untuk orang ramai.

Banyak penduduk sekitar Kuantan kini sudah pun mempunyai persepsi negatif terhadap pentadbir bandar itu.

Mereka tertanya-tanya, adakah kerana dalam pilihan raya umum lalu mereka mengundi parti pembangkang - iaitu proses politik yang membolehkan kawasan Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota dimenangi oleh wakil rakyat pembangkang - menyebabkan peluang mereka untuk memperoleh pengangkutan bas awam di kawasan-kawasan tertentu dinafikan.

Saya tentulah tidak bersetuju dengan pandangan itu, tetapi tertanya-tanya apakah punca penduduk Kuantan mengundi pembangkang: adakah kerana pihak pentadbir bandar itu tidak mempedulikan keadaan hidup penduduknya selama ini seperti yang dibuktikan dalam kes ketiadaan perkhidmatan bas di tengah-tengah bandar tersebut?

Jika pada tahun 1980-an Kuantan dikenali sebagai antara bandar terbersih dan tercantik di Malaysia, hari ini ia mungkin boleh diberi panggilan yang sebaliknya.

Kenapakah gejala ini berlaku?

Sebuah ibu negeri yang diuruskan dengan baik sepatutnya menjadi semakin cantik, kemas dan menarik selain menjanjikan peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk.

Saya percaya, dalam bentuk pembangunannya sekarang, Kuantan yang mempunyai penduduk seramai 420,000 orang telah diuruskan dengan cara yang tidak kompeten.

Mutu kepimpinan yang rendah di beberapa peringkat di Kuantan dan di Pahang mungkin menjadi penyebab mengapa kota itu menjadi sedemikian rupa.

Sebelum kekotoran menjadi suatu budaya, sebelum sikap sambil lewa diangkat sebagai kehebatan dan sebelum nasib rakyat miskin tanpa kenderaan dijuarai oleh parti-parti pembangkang, tindakan segera perlu diambil.

Kuantan perlu diselamatkan daripada dekaden.