Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

25 November 2008

Mekanisme baru perlu dicari tangani al-Arqam


Rencana Pengarang

SELEPAS 14 tahun diharamkan, ajaran al-Arqam masih hidup subur di kalangan segelintir pengikutnya yang terus mengamalkan Aurad Muhammadiah dan bergerak melalui pelbagai badan dan syarikat bagi mengelirukan pihak berkuasa dan masyarakat tempatan. Terbaru, sebuah syarikat yang dipelopori pengikut setia bekas pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammmad, ditubuhkan bagi menggantikan Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd yang diharamkan Jabatan Agama Islam Selangor dua tahun lalu. Pengaruh kumpulan itu mula dikesan berikutan pengedaran video Sajak Kematian yang menjadi kontroversi selepas ditayang kepada murid sekolah rendah baru-baru ini. Malah, akhir tahun lalu pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang menahan pengikut bekas pemimpin al-Arqam ketika beramai-ramai meraikan ulang tahun kelahiran ke-67 pengasas kumpulan itu. Rentetan peristiwa itu mendapati pengikut setia kumpulan berkenaan masih ada dan terus aktif secara sembunyi melalui pelbagai badan yang sah mengikut undang-undang bagi mengelirukan pihak berkuasa. Hakikatnya, kumpulan yang diharamkan pada 1994 itu, masih bergerak aktif dan terus meresapi pengikut yang terlalu taksub dengan Ashaari. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam kaedah pengawasan pihak bertanggungjawab, terutama jabatan agama Islam negeri. Kita dapati, walaupun ramai pengikut Ashaari berjaya dipulihkan akidah dan pegangan mereka selepas mengikuti kursus intensif anjuran jabatan agama, masih ada pengikut setia Ashaari. Begitu juga pembuangan pemimpinnya ke Wilayah Persekutuan Labuan, tidak mengurangkan pengaruhnya di kalangan pengikut setia mereka.

Sehubungan itu, sesuatu perlu dilakukan terutama oleh jabatan agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membanteras terus kumpulan berkenaan sehingga ke akar umbi. Kegagalan pihak berkuasa menghalang bekas pengikut kumpulan itu dan kumpulan ajaran sesat lain di negara ini, dikhuatiri boleh mengancam akidah masyarakat Islam. Justeru, pendekatan dan mekanisme baru perlu dilaksanakan pihak berkuasa agama bagi memastikan tindakan yang diambil terhadap kumpulan al-Arqam dan ajaran sesat lain lebih berkesan. Hal ini perlu bagi memastikan pihak berkuasa terus dihormati sebagai penegak undang-undang Islam di negara ini, manakala kumpulan berkenaan dapat dihapuskan bagi memastikan masyarakat Islam tidak terus didedahkan dengan penyelewengan akidah. Kita berpendapat, sudah sampai masanya Jakim dan jabatan agama negeri menggembleng kepakaran bagi menangani ajaran yang bercanggah dengan Islam. Sejak kebelakangan ini semakin bercambah kumpulan agama yang diragui ketika masyarakat dahagakan ajaran Islam sebenar. Berdasarkan laporan, banyak ajaran sesat baru terus muncul, sedangkan ajaran sesat yang sekian lama bertapak masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya. Ini sudah tentu merunsingkan kita mengenai tahap pengawasan dan pemantauan yang dilakukan pihak berkuasa agama di negara ini. Sebagai umat Islam, kita juga tidak seharusnya mudah terikut atau terpengaruh dengan pujuk rayu pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi.