Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

14 November 2008

Sindrom 16 September bertiup lagi


KHABAR angin tentang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti bertiup kencang di Sarawak sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini 16 September telah dicanang oleh pembangkang kononnya akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan apabila berjaya menarik ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah menyertai mereka.

Bagaimanapun pada tarikh tersebut tidak ada apa yang berlaku. Semenanjung, Sarawak dan Sabah masih lagi di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Kali ini berita tersebut dicetuskan lagi cuma sindrom dan semangatnya tidaklah sampai untuk mengambil alih kerajaan sedia ada seperti 16 September lalu.

Tarikh yang menjadi pilihan ialah 15 November, tempatnya pula di Sibu. Di situ bakal berlangsung majlis makan malam bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan dihadiri oleh pemimpin PKR Sarawak serta Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR dijangka mengumumkan kemasukan 'beberapa' Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak dan juga ahli Parlimen BN ke dalam pakatan pembangkang untuk berjuang bersama mereka.

Seperti kebiasaan, sebelum tibanya tarikh tersebut khabar angin disebarluaskan bahawa seorang ADUN Bebas dan seorang ahli Parlimen dari parti komponen BN akan menyertai PKR.

Nama yang disebut-sebut ialah ADUN Ngemah, Gabriel Adit Demong dan Ahli Parlimen Kanowit, Aaron Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Turut difahamkan ialah penyertaan beramai-ramai kaum Dayak yang dikatakan melebihi 1,000 orang untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun, Presiden PRS Datuk Seri James Jemut Masing memberitahu berita tersebut hanyalah satu khabar angin.

Katanya, beliau turut mendengar dua ADUN akan menyertai PKR dalam masa terdekat ini.

''Saya tidak tahu jumlah ahli PRS yang keluar parti, kita tunggu dan lihat nanti," katanya.

Gabriel dikatakan mengambil keputusan untuk menyertai PKR selepas BN enggan menerima permohonannya bagi menyertai mana-mana parti komponen di Sarawak.

ADUN Ngemah itu berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1991 dan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) 2006, beliau menewaskan Alexander Vincent dari PRS dan Richard Lias dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Jika benar khabar angin itu menjadi kenyataan, adakah ia menunjukkan gelombang tsunami politik di Semenanjung mula membadai ke Sarawak.

Ataupun jika benar sekalipun, adakah itu petanda awal BN di negeri ini akan berdepan dengan cabaran besar pada pilihan raya umum DUN pada 2010.

Atau pun ia amaran awal tentang masalah dalaman parti komponen BN iaitu PRS.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr. Jeniri Amir dalam hal ini berpendapat PKR mengambil kesempatan daripada masalah dalaman PRS.

Beliau berkata, PKR cuba memancing sokongan kaum Iban untuk menyertai parti pembangkang itu setelah ditolak oleh kaum Melayu dan Malanau.

''Kaum Iban sebenarnya tidak berpuas hati dengan kerajaan berhubung isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang masih belum selesai sepenuhnya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Penganalisis politik itu memberitahu, suara kaum Iban amat bermakna dalam menentukan hala tuju politik di negeri Bumi Kenyalang ini.

Malah katanya, kini terdapat ramai kaum Iban yang berpelajaran tinggi dan mendapat pendedahan politik yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Malah beliau juga mendakwa terdapat khabar angin bahawa seorang menteri muda akan menyertai PKR.

Bagaimanapun, itu semua hanyalah khabar angin yang belum tentu pasti.

Tidak tahu kenapa Sarawak dan Sabah seringkali dijadikan sasaran untuk memancing wakil rakyat bagi menyertai pembangkang.

Adakah faktor geografi dan ekonomi hingga menyebabkan wakil rakyat kedua-dua negeri begitu mudah untuk ditarik menyertai pembangkang.

Sedangkan selama ini pemimpin BN memberitahu, wakil rakyat mereka sentiasa h taat setia kepada parti dan tidak akan menyertai pembangkang bagi membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Seperti juga 16 September, tarikh 15 November mungkin boleh menjadi hari yang sama iaitu satu misi yang tidak akan tercapai. Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat perkembangan Sabtu ini.