Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Disember 2008

Berkorban mendidik jiwa


SEJAK semalam, seluruh umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha, yang disebut juga sebagai Hari Raya Korban. Pengorbanan dikaitkan dengan makna dan nilai kasih sayang yang berlaku antara dua pihak atau lebih. Ia menuntut keikhlasan, kejujuran dan kekuatan yang bukan sedikit untuk dilihat dengan pancaindera dan dihayati dengan naluri.

Sebenarnya Aidiladha juga menyimpan pelbagai gambaran yang berbentuk pengajaran dan teladan yang harus diterjemahkan sendiri oleh setiap umat Islam. Dalam melakukan ibadat korban umpamanya, dilarang sama sekali seseorang itu bersifat riak, sama ada sebelum atau sesudah melakukan ibadat tersebut.

Melakukan korban semata-mata ingin menunjuk-nunjuk bahawa seseorang individu itu berada atau mempunyai wang yang banyak adalah ditegah oleh agama.

Sesudah binatang yang dijadikan korban itu disembelih dan disempurnakan dagingnya, maka adalah disunatkan ia disedekahkan kepada fakir miskin dan jiran tetangga yang tidak melakukan korban dan juga yang kurang berada.

Sesungguhnya Allah akan memberikan satu lagi ganjaran pahala kepada orang yang telah melakukan korban tersebut.

Dari peristiwa pengorbanan hati dan perasaan Nabi Ibrahim yang terpaksa melakukan sebesar-besar pengorbanan dengan menyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail kerana taatkan perintah Allah, maka setiap umat Islam perlulah mengambil iktibar dengan sebaik-baik mungkin untuk memikir dan merenungi mengapa kita perlu berkorban dalam hidup ini.

Perbuatan

Bukan saja setakat melakukan pengorbanan pada Hari Raya Aidiladha, tetapi sanggup berkorban dalam melakukan apa saja tindakan dan perbuatan seharian selagi ia tidak tergelincir daripada landasan agama.

Untuk mencapai apa saja bentuk kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup, kita mesti sanggup berkorban. Bukan setakat wang ringgit, tetapi juga jiwa dan raga andai kata itulah yang sebenarnya yang diperlukan.

Namun perlu diingat bahawa Islam tidak menyuruh kita untuk berkorban secara membuta tuli terutama yang melibatkan rohani dan jasmani kerana Islam telah mengehadkan batas-batas pengorbanan yang harus dilakukan oleh setiap umat Islam.

Sekiranya pengorbanan tersebut menuju ke arah mengkufuri Allah, maka ia wajib dijauhi. Tetapi jika memang sesuatu yang hak, maka teruskanlah berkorban kerana sesungguhnya jika perkara itu benar di sisi Allah, maka Dia pasti akan bersama-sama dengan setiap individu yang benar-benar ikhlas melakukannya.

Usahlah dijadikan ibadat korban sebagai pesta makan menjamu selera semata-mata yang menyebabkan ia menjadi amalan yang sia-sia dan membazir dan telah melupakan untuk menyedekahkan sebahagian daripadanya kepada orang yang patut menerimanya.

Lantaran itulah Islam amat menitikberatkan soal niat dan amalan yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur, membanggakan diri dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah dan nescaya sia-sialah ibadat korban yang dilakukan.