Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 Disember 2008

Jangan eksploit gadis Islam di litar lumba


SEDIH rasanya apabila melihat di dalam akhbar tempatan anak-anak gadis Melayu Islam bergambar di samping pelumba kereta atau pelumba motor di dalam litar lumba dengan pakaian yang menjolok mata.

Wanita dipandang tinggi oleh Islam kerana kejadiannya yang unik, cantik dan berguna untuk membentuk sesebuah masyarakat yang bahagia.

Wanita juga merupakan sayap kiri kepada kaum lelaki kerana mereka tidak akan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan kaum wanita yang mungkin bergelar isteri, ibu, nenek, guru, jururawat, doktor, peniaga dan sebagainya.

Sekiranya wanita dalam sesebuah masyarakat dan negara rosak akhlaknya maka generasi di bawah didikannya akan lebih rosak lagi.

Oleh sebab itu, Islam menggariskan bahawa wanita perlu dijaga, dihormati dan ditatang sebaik-baik mungkin kerana sebarang kepincangan kepada wanita akan mengakibatkan kepincangan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara.

Sebenarnya, tindakan menggunakan gadis-gadis Melayu Islam untuk menjadi pengiring atau pembawa payung kepada para pelumba di litar lumba jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Tindakan sedemikian seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita yang disamakan seperti pengiring murahan.

Untuk melengkapkan penyertaan mereka di litar lumba, mereka diarahkan untuk memperagakan jenis-jenis pakaian yang menjolok mata yang bertentangan dengan Islam dan budaya Timur.

Dilarang

Tambah menyedihkan lagi sesetengah akhbar harian tempatan mulai menyiarkan biodata sesetengah gadis litar yang beragama Islam. Seolah-olah Islam pada para gadis ini hanyalah satu agama keturunan yang langsung tidak boleh memagari tindakan mereka daripada terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah dan dilarang oleh Islam.

Usahlah digadaikan maruah diri hanya kerana mengharap habuan bayaran yang tidak seberapa dan kemasyhuran yang sekejap.

Janganlah segala budaya asing di litar lumba hendak dicedok untuk mencari kesesuaian. Sikap selektif terhadap sebarang pengaruh luar perlu dimiliki oleh para penganjur sukan sebegini kerana kita tidak perlu malu dengan identiti sopan orang Islam dan Timur.

Jika fenomena ini dibiarkan berleluasa, tidak mustahil suatu hari nanti, anak gadis Melayu Islam akan bertambah berani melakukan sesuatu kemungkaran menjangkau batasan agama dan budaya Timur setanding masyarakat Barat yang sudah jauh menyimpang daripada norma agama dan budaya.

Pihak kerajaan melalui pihak berautoriti agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertindak segera untuk menangani masalah yang mungkin disangka kecil ini.

Sepatutnya pihak pengajur perlu bijak dalam penganjuran acara seperti ini kerana acara tersebut masih boleh berjalan lancar dengan keuntungan yang besar tanpa kehadiran gadis-gadis litar yang berpakaian menyakitkan mata.

Allah telah memuliakan kita dengan akal untuk berfikir. Oleh itu, fikirkanlah.