Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

01 Disember 2008

Lonjak industi terjemahan


ANTARA karya-karya agung yang sehingga kini masih diulang cetak dan dibaca ialah Gone With the Wind (1936) karya Margaret Mitchell, To Kill a Mockingbird (1960) oleh Harper Lee dan Valley of the Dolls (1966) karya Jacqueline Susan.

Kelangsungan buku-buku ini sehingga mampu menarik pembaca daripada beberapa generasi selain sarat dengan nilai seni dan estetikanya, juga disebabkan adanya usaha menterjemahkannya ke dalam pelbagai bahasa.

Sehingga kini, karya tersebut sudah diterjemah ke dalam 44 bahasa, sekali gus memberi gambaran bahawa usaha penterjemahan sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar kepada sesebuah karya untuk dikenang sepanjang zaman.

Di Malaysia, dunia penterjemahan buku dan karya-karya agung masih belum diteroka sepenuhnya meskipun bidang ini diketahui merupakan salah satu jambatan kepada perkembangan intelektual.

Karya-karya bahasa Inggeris terutamanya, sangat mudah ditemukan dalam bentuk asalnya, berbanding versi buku yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa Melayu.

Keadaan ini mungkin disebabkan kebanyakan masyarakat kita menguasai bahasa Inggeris dengan baik, justeru usaha menterjemah karya bahasa itu ke bahasa Melayu dilihat seolah-olah tidak perlu.

Namun adalah satu kerugian kepada perkembangan karya-karya agung itu sendiri kerana tidak semua kelompok pembaca mampu menguasai bahasa Inggeris, sekali gus menjadikan versi buku bahasa Melayu sebagai pilihan, sekiranya terdapat di pasaran.

Selain merancakkan lagi industri penerbitan dengan karya-karya agung yang boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat, usaha penterjemahan itu juga memberi kelebihan kepada bahasa Melayu sendiri dalam konteks pengkayaan bahasa dan kosa kata.

Ia juga melambangkan kesungguhan masyarakat kita dalam menggiatkan salah satu bidang perkembangan intelektual di negara ini, sekali gus merancakkan lagi industri yang dipandang sepi sejak sekian lama.

Perlu juga difahami karya-karya yang mendapat sambutan luar biasa tidak semuanya dalam bahasa Inggeris, sebaliknya masih banyak buku-buku agung dari pelbagai bahasa yang dihasilkan di seantero dunia.

Di sinilah pentingnya usaha menterjemah karya-karya agung itu dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, supaya khalayak pembaca di negara ini tidak ketinggalan daripada arus perkembangan sastera dan budaya antarabangsa.

Bagaimanapun, usaha penterjemahan buku atau karya ini juga tidak boleh mengelak daripada perdebatan mengenai mutu dan keaslian karya asli setelah diterjemah ke bahasa lain.

Proses menterjemah bukanlah semata- mata mengulang cetak ke dalam bahasa yang diinginkan, sebaliknya perlu dipastikan jiwa dan roh karya itu tidak sedikit pun berganjak seperti apa yang cuba disampaikan oleh penulis dalam versi bahasa asalnya.

Inilah yang menjadi cabaran utama kepada dunia terjemahan itu sendiri kerana kegagalan mengangkat buku atau karya terjemahan setanding dengan bahasa asal akan menjauhkan khalayak pembaca yang merasakan adalah lebih baik membaca dalam versi asal.

Dalam memperkatakan tentang usaha penterjemahan buku juga, ia sebenarnya tidak terhad kepada menterjemah buku bahasa asing ke bahasa Melayu. Sebaliknya, apa yang lebih utama ialah menterjemah karya bahasa Melayu ke bahasa-bahasa lain. Usaha ini mungkin tidak begitu meluas ketika ini, barangkali kerana kesukaran mencari rakyat Malaysia yang benar-benar mahir bahasa asing sehingga mampu menterjemah sebuah buku. Namun, ia perlu dilihat sebagai cabaran kepada semua pihak terutamanya Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dalam menggalakkan pembabitan orang ramai terutamanya kalangan intelek di institut pengajian tinggi (IPT) untuk terlibat secara aktif dalam usaha penterjemahan.

Karya-karya bahasa Melayu yang diterjemah ke bahasa-bahasa lain seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Urusan INTM, Mohd. Khair Ngadiron, merupakan salah satu jambatan dalam memperkenalkan negara ke serata dunia.

Pendekatan mempromosi negara secara intelektual itu katanya, bukan sahaja murah dan mudah, malah memberi kesan yang mendalam serta berpanjangan kepada khalayak pembaca di seluruh dunia.

Ia juga secara tidak langsung membuka mata masyarakat antarabangsa, betapa negara juga tidak kurang hebatnya dengan penulis-penulis berbakat yang setanding dengan tokoh berjiwa seni dunia yang lainnya.

Mengambil contoh kartun Datuk Mohd. Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat iaitu Kampung Boy, karya ini sudah merentas pelbagai benua dan diterjemah ke dalam kira-kira 10 bahasa.

Karya animasi yang sarat dengan dengan nilai-nilai budaya dan corak hidup tradisional masyarakat Malaysia itu secara tidak langsung turut memperkenalkan budaya negara ke seluruh dunia.

Malah, sewaktu bersama-sama ITNM menyertai pesta buku terbesar antarabangsa di Frankfurt, Jerman baru-baru ini, Kampung Boy terus mencuri perhatian pengunjung yang tertarik dengan budaya tradisional Malaysia menerusi keunikan animasi yang dipersembahkan.

''Sambutan menggalakkan daripada karya Kampung Boy ini memberikan inspirasi kepada INTM untuk memperkenalkan lebih ramai penulis-penulis berbakat pada pameran buku antarabangsa pada masa depan, sebagai salah satu usaha mempromosikan negara melalui medium sastera dan budaya," katanya.

Penglibatan

Mengakui negara agak ketinggalan dalam penterjemahan karya bahasa Melayu ke bahasa asing dan sebaliknya berbanding negara jiran seperti Indonesia, INTM tambah Mohd. Khair, menggiatkan lagi usaha supaya industri penterjemahan tempatan mampu menarik penglibatan daripada segenap lapisan masyarakat.

Antaranya ialah dengan memperkenalkan Anugerah Penterjemahan dalam penganjuran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun ini, yang dibuka penyertaannya kepada orang ramai untuk menterjemah enam buah novel bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.

Enam buah novel tersebut ialah Terlepas Daripada Belenggu karya Othman Che Chin, 1515 (Faisal Tehrani), Trilogi Cinta (Siti Jasmina Ibrahim), Warisnya Kalbu (Sri Rahayu Mohd. Yusop), Kembara Amira (Amer Hamzah L. Kadir) dan Melunas Rindu (Hartini Hamzah).

Namun sesuatu yang perlu diambil kira dalam usaha penterjemahan karya-karya ke dalam pelbagai bahasa juga ialah faktor audiens, iaitu adakah kita mempunyai kelompok pembacanya?

Tanpa khalayak pembaca, usaha menterjemah karya-karya agung hanyalah sesuatu yang sia-sia dan tidak membawa sebarang makna.

Justeru di mana kedudukan masyarakat kita dalam budaya membaca?

Hakikatnya, kita masih terikat dengan tabu perbandingan yang menggambarkan bahawa rakyat Malaysia malas atau kurang membaca iaitu hanya tiga hingga empat buah buku setahun. Dalam perkembangan tamadun yang dijana oleh masyarakat berilmu ketika ini, jumlah sebanyak itu adalah sesuatu yang sangat memalukan dan menunjukkan betapa rakyat Malaysia adalah bangsa yang tidak mencintai ilmu.

Namun benarkah masyarakat kita sebegitu malas membaca buku? Apa indikator sebenar yang digunapakai dalam mengelaskan kecenderungan membaca di kalangan masyarakat kita itu?

Meskipun tidak mempunyai rekod yang tepat, namun Mohd. Khair beranggapan budaya membaca di kalangan masyarakat kita sebenarnya sangat subur. Malah tidak keterlaluan katanya, untuk menyimpulkan bahawa kita sebenarnya mempunyai kelompok 'ulat buku' yang ramai.

Jika tidak, mana mungkin toko-toko buku mampu bertahan sehingga kini. Begitu juga dengan kedai-kedai buku di bandar- bandar utama dan pekan-pekan kecil yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan mampu meneruskan perniagaan mereka kerana adanya sambutan di kalangan orang ramai. Malah, penanda aras kepada betapa masyarakat kita masih mendokong amalan membaca juga dapat dilihat menerusi banyaknya penerbitan buku-buku pelbagai jenis oleh syarikat-syarikat penerbit yang juga pelbagai.

Bagaimanapun, beliau mengakui, masih terdapat beberapa faktor yang menghalang kepada budaya membaca yang lebih menyeluruh di kalangan masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar. Antaranya harga buku yang agak mahal serta akses kepada bahan-bahan bacaan tertentu yang terhad dan sukar. ''Bagi masyarakat di luar bandar, peruntukan untuk membeli buku dalam pengagihan perbelanjaan bulanan mungkin paling akhir atau tiada, apatah lagi dalam keadaan harga keperluan lain yang semakin meningkat ketika ini,'' katanya.

Justeru dalam situasi seperti itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan dengan lebih aktif dan berkesan dalam memperkenalkan perpustakaan daerah masing-masing yang ketika ini kewujudannya seakan-akan tidak disedari oleh orang ramai. Selain mengadakan aktiviti yang boleh menggalakkan orang ramai menjadikan perpustakaan daerah itu sebagai lokasi bersantai bersama keluarga di hujung minggu atau pada cuti umum, PBT juga perlu memastikan buku-buku yang disediakan adalah keluaran terkini dan sentiasa dikemaskini.