Maju Melayu Perkasa!

30 Disember 2008

Mahasiswa lemah minda


Oleh Suliati Asri






DULU pembabitan dunia politik dijadikan punca pelajar institut pengajian tinggi (IPT) memperoleh keputusan corot dalam pelajaran selain tidak berdaya saing.

Kini, timbul pula isu pelajar kita terutama di IPT lemah minda bukan disebabkan mereka berpolitik, tetapi malas sehingga pengetahuan am mereka turut lemah.


Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Tinjauan dan temu duga yang dilakukan mendapati pelajar IPT begitu lemah pengetahuan am dan tidak mengikuti perkembangan isu semasa.

Selain itu, kebanyakan pelajar IPT hanya membaca dan mengharapkan nota yang diberikan pensyarah dan malas membuat rujukan terutama buku berbahasa Inggeris.

Mungkin kalau dilihat dari satu sudut, pendedahan itu ada kebenaran. Mana tidaknya, pelajar kini lebih cenderung menghabiskan masa berseronok dengan pelbagai aktiviti terutama hiburan.

Kebanyakan mereka ini juga hanya belajar serta membaca buku apabila ada ujian atau peperiksaan.

Namun, bagaimana pula dengan pencapaian pelajar kita yang saban hari, bulan dan tahun meraih anugerah dan pengiktirafan peringkat antarabangsa?

Adakah pencapaian itu semua tidak cukup untuk menunjukkan pelajar IPT mempunyai daya asing yang tinggi dan mempunyai minda yang bijak?

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata pihaknya menyangkal pendedahan itu dan tidak bersetuju dengan apa yang dibahaskan.

Menurutnya, memang tidak dapat dinafikan ada segelintir pelajar IPT yang mempunyai sikap malas tetapi tidak semua dan pendedahan ini diibaratkan sebagai mewakili semua pelajar IPT.

"Amat tidak adil kenyataan yang diberikan Datuk Tajuddin kerana bukan semua pelajar bersikap sedemikian dan pendedahan itu mengguris hati pelajar IPT.

"Jika pelajar IPT lemah mindanya, bagaimana sesetengah mereka diberikan anugerah dekan, anugerah diraja atau apa-apa anugerah di majlis konvokesyen yang diadakan setiap tahun," katanya.

Menurutnya, pelajar kini bukan seperti pelajar yang dulu. Kini, mereka lebih berfikiran jauh dan sentiasa inginkan pembaharuan dalam pemikiran mereka.

"Keupayaan minda pelajar IPT kini lebih maju dan mereka mampu menghasilkan yang terbaik. Buktinya, hasil kerja dan idea mereka diterima di peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, pertandingan mencipta robot, satelit, mesin perindustrian dan banyak lagi. Mereka bukan saja mendapat pengiktirafan dalam negara tetapi juga di luar negara.

"Ini juga sedikit sebanyak menarik pelajar dari luar negara untuk belajar di negara ini," katanya.

Selain itu juga, pelajar IPT dalam jurusan kedoktoran, kejuruteraan, multimedia dan jurusan lain yang memerlukan pelajar banyak berfikir mereka sentiasa mempunyai idea yang bernas serta menghasilkan produk dan hasil kerja yang bermutu.

Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran juga kini lebih banyak mengadakan pelbagai program memberi peluang kepada pelajar terutama pelajar IPT yang mampu menjana minda mereka serta memberi peluang untuk mereka mencungkil bakat dalam pelbagai bidang.

Semua itu dilaku dan dianjurkan bagi memberi pengetahuan serta menggalakkan pelajar berfikir lebih jauh serta boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian, kenyataan pelajar IPT malas dan lemah minda adalah tidak wajar dan ini cukup mengguris hati pelajar.

"Kita sepatutnya memberi galakan kepada pelajar kita untuk berfikir lebih kreatif dan menimba ilmu yang lebih dari apa yang diberikan di bilik kuliah, bukannya menjatuhkan semangat mereka untuk belajar," katanya.

Sementara itu, Pemangku Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad, turut tidak bersetuju dengan pendedahan itu kerana tidak semua pelajar yang mempunyai sifat sedemikian disebabkan mereka kini mencari ilmu dengan berhutang.

"Pelajar kini bukan menimba ilmu dengan percuma sebaliknya kebanyakan mereka terpaksa berhutang dengan mana-mana tabung pendidikan terutama pelajar di institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Jadi, pastinya mereka ada semangat yang lebih tinggi untuk mencapai kecemerlangan agar memperoleh kerjaya yang baik selepas menghabiskan pengajian," katanya.

Menurutnya, isu pelajar hanya bergantung kepada nota pensyarah itu sebenarnya tidak seharusnya menjadi punca pelajar dilabelkan sebagai malas.

"Pelajar yang lemah mindanya mungkin tidak punya teknik pembelajaran yang betul dan ini menyebabkan mereka dianggap tidak berpengetahuan. Selain itu juga, tahap penerimaan mereka juga perlu dilihat.

"Oleh yang demikian, pensyarah seharusnya memberikan teknik belajar yang terbaik dan sentiasa memastikan pelajarnya tidak ketinggalan," katanya.