Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 Disember 2008

Nasib pekerja dilindungi


Sifat ekonomi negara yang global dan dengan status sebuah negara berdagang memudahkan pasaran buruhnya dipengaruhi oleh kitaran ekonomi global. Dalam krisis ekonomi pada masa ini, pekerja dalam syarikat dan kilang akan mudah diberhentikan oleh majikan apabila permintaan ke atas produk negara daripada rakan dagangan utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mulai mengecil.

Dengan senario ekonomi dunia yang meleset, kerajaan sedar akan berlaku pemberhentian pekerja dalam ekonomi negara dan mengunjur kadar pengangguran kepada 4 peratus pada 2009.

Kerajaan juga menyedari jualan produk negara ke pasaran antarabangsa telah mulai merosot. Sekadar contoh, syarikat global Jepun di Malaysia seperti S&O Electronics (M) Sdn. Bhd yang mempunyai hampir 2,000 pekerja dan pengeluar barangan audio visual menjangkakan perolehan eksport bagi tahun kewangan 2008 jatuh kepada RM800 juta daripada RM880 juta (2007).

Jumlah eksport khususnya bagi pasaran AS, Eropah dan Timur Tengah adalah lembap berikutan kegawatan ekonomi selain sikap para pengguna mengamalkan sikap berjimat cermat.

Implikasi

Kejatuhan eksport mempunyai implikasi ke atas nasib pekerja dalam syarikat dan kilang yang mudah terjejas dengan krisis ekonomi, khususnya syarikat dan kilang milik tempatan dan multinasional yang berorientasikan eksport. Iaitu pasaran mereka menumpu di luar negara.

Dalam kalangan syarikat dan kilang itu, tempias ke arah pemberhentian pekerja dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) adalah lebih tinggi. Industri E&E, kebanyakannya dimiliki oleh syarikat global milik AS, EU, Jepun, Taiwan, dan Korea Selatan.

Syarikat global ini menggunakan Malaysia sebagai platform eksport produk mereka dan menjual semula ke negara asal dan ke negara ketiga.

Terdapat hampir 390,000 pekerja dalam sektor E&E negara dan hasil eksportnya merupakan punca pendapatan negara yang utama.

Dengan krisis ekonomi global yang semakin meruncing, kita tidak mahu berlaku pemberhentian kerja secara besar-besaran dalam sektor elektrik dan elektronik seperti yang pernah berlaku pada tahun 1985-86 apabila AS dan EU yang merupakan rakan dagangan utama mengalami kemelesetan ekonomi.

Kita juga tidak mahu berulangnya fenomena penganggur berijazah. Pengangguran besar-besar jika dibiarkan berpanjangan boleh mengakibatkan kesan sosial yang negatif dalam masyarakat, dan pada satu tahap ekstrem boleh menjatuhkan sebuah kerajaan.

Situasi pasaran buruh di AS pada masa ini adalah membimbangkan. Sejak ia berdepan dengan kelembapan ekonomi pada Disember 2007, hampir 1.9 juta pekerjanya telah diberhentikan. Malah, untuk November lalu sahaja, syarikat dan kilangnya telah memberhentikan kira-kira 533,000 pekerja dan kadar pengangguran di AS telah meningkat kepada hampir 7 peratus berbanding 4 peratus di Malaysia.

Dalam industri automotifnya, 1.6 juta pekerja akan menganggur jika kerajaan AS tidak menyuntik AS$25 bilion dalam industri itu.

Di EU, situasi pasaran buruhnya adalah hampir sama di AS. Kelembapan ekonomi blok Eropah akan mengakibatkan satu juta pekerja akan hilang pekerjaan pada tahun 2009.

Pada tahun 2009 Keluaran Dalam Negara Kasarnya diunjur berkembang 0.4 peratus berbanding 1.4 peratus pada tahun ini. Kadar penganggurannya meningkat daripada 7 peratus kepada 7.8 peratus.

Sekadar contoh, dalam industri perbankan dan kewangan EU, syarikat kewangan global Credit Suisse akan memberhentikan 5,300 pekerja berikutan kerugian AS$2.5 bilion dalam bulan Oktober dan November. Begitu juga dengan Nomura yang beroperasi di United Kingdom akan memberhentikan 1,000 pekerjanya.

Ini berbeza dalam pasaran buruh negara, walaupun berlaku pembuangan pekerja secara kecil tetapi kerajaan sedang memantaunya. Terdapat beberapa syarikat dan kilang milik multinasional sudah mula melaksana waktu kerja yang lebih fleksibel atau lebih singkat untuk mengawal kos dan menjaga keuntungan mereka.

Bagaimanapun, menurut Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), pemberhentian pekerja adalah perkara terakhir yang majikan akan lakukan. Jika ini tidak dapat dielakkan, majikan akan terlebih dahulu menamatkan kontrak pekerja asing.

Jumlah pekerja dalam negara ialah kira-kira 12 juta orang. Pada masa ini, terdapat 2.1 juta pekerja asing dalam negara, iaitu kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada jumlah pekerja dalam industri pengilangan. Daripada segi imbangan pembayaran pula, pekerja asing menghantar pulang sebanyak RM18 bilion ke negara asal pada tahun ini. Satu aliran keluar wang yang banyak dan jika tidak dikawal boleh memberi kesan kepada imbangan pembayaran, nilai ringgit dan rezab negara. Bagaimanapun sumbangan pekerja asing dalam pembangunan infrastruktur negara tidak boleh dinafikan.

Berbanding di AS dan EU, nasib pekerja dalam negara masih mendapat perhatian dan dilindungi oleh majikan di sektor swasta dan kerajaan. Beberapa pelan tindakan kitaran balas seperti jaringan keselamatan ekonomi dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) disediakan oleh majikan dan kerajaan bagi mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Kerajaan sedang menimbang untuk memberi geran khas kepada para majikan untuk melatih semula para pekerja sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mencegah pemberhentian pekerja di negara ini.

Pada November yang lepas, kerajaan mengumumkan tabung latihan RM300 juta di bawah pakej rangsangan RM7 bilion yang bertujuan meminimumkan pengangguran selain meningkatkan kemahiran para pekerja.

Dalam sektor awam pula, kerajaan memberi jaminan tidak akan mengurangkan jumlah pekerja sektor awam atau gaji mereka walaupun krisis ekonomi dunia merebak ke negara ini.

Kerajaan masih mempunyai kemampuan kewangan dan kapasiti ekonomi yang baik untuk mengekalkan jumlah pekerja sektor awam mengikut tangga gaji sedia ada.

Berbanding di Singapura, yang kini berdepan dengan kemelesetan ekonomi, kerajaannya mahu mengurangkan gaji kakitangan awam kerana mereka mahu meningkatkan kemampuan kewangan yang ada.

Adalah menjadi tanggungjawab sosial korporat di pihak swasta dan kerajaan untuk mengelak berlakunya pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Ini boleh memberi faktor 'ceria' kepada pekerja dan memberi insentif untuk melakukan perbelanjaan penggunaan.

Upah dan gaji yang diterima oleh 12 juta pekerja dalam negara boleh mencetus semula aktiviti ekonomi menerusi kesan rantaian perbelanjaan yang mendorong syarikat dan kilang melabur semula dalam aktiviti ekonomi, lebih-lebih lagi dengan kos pinjaman yang semakin murah disediakan oleh industri perbankan dan kewangan.

Pelaburan

Pihak swasta dan kerajaan pula perlu melakukan pelaburan dengan segera dalam projek pembangunan koridor seperti dalam Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Tindakan kitaran balas menerusi aktiviti perbelanjaan pengunaan dan pelaburan oleh pekerja, majikan dan kerajaan boleh menampan tempias krisis ekonomi global.

Malah AS, EU, Jepun dan hampir semua negara yang berdepan dengan krisis ekonomi melaksana strategi kitaran balas dengan menyuntik dana dalam ekonomi masing-masing dan menyelamat industri yang bermasalah khususnya dalam industri kewangan dan automotif. Tindakan itu boleh mengelak berlakunya pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Tindakan kitaran balas yang pantas, serentak dan bersama antara negara yang berdepan dengan kemelesetan ekonomi, termasuk Malaysia, serta bantuan pinjaman yang diberi oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia kepada negara-negara yang bermasalah boleh mencergas semula ekonomi global dengan segera dan memberi nafas baru kepada semua negara dalam tadbir urus ekonomi dan membina model ekonomi yang lebih pragmatik lagi supaya tidak berlaku krisis ekonomi pada dekad yang akan datang.