Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 Disember 2008

Pemantauan berterusan projek lereng bukit elak tanah runtuh berulang

SELEPAS tragedi Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 orang, semua pihak sama ada kerajaan, pemaju, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pembeli rumah, bersetuju tiada lagi pembangunan di lereng bukit. Kini janji yang sama dilontarkan berikutan tragedi ranapnya 14 banglo di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa dan kerugian berjuta-juta ringgit Sabtu lalu.

Selepas tragedi Highland Towers, banyak kajian dibuat, malah hingga dibawa ke mahkamah yang hanya berakhir pada 2006. Pelbagai kajian sebelum dan selepas tragedi 1993 itu membuktikan hakikat bahawa bukit sebagai pembentukan geologi, mengambil masa berbilion tahun untuk dibentuk dan stabil. Tetapi kegiatan manusia boleh menyebabkannya tidak stabil dan gondol dalam tempoh beberapa minggu. Punca tanah runtuh seperti terkandung dalam siasatan kes Highland Towers adalah sama iaitu pembinaan yang tidak terkawal, aliran air yang tidak diurus dan pembinaan dinding murah yang tidak boleh menahan tekanan tanah disebabkan aliran air. Cara terbaik untuk menangani masalah itu ialah kerajaan dan PBT perlu bertegas.

Sekarang ini, pendedahan terbaru mengenal pasti kawasan sekitar Bukit Antarabangsa mempunyai lebih 70 cerun yang perlu dikaji ketahanannya bagi memastikan keselamatan kira-kira 5,000 penduduk di situ. Pakar kaji bumi berpendapat, kestabilan struktur setiap cerun di kawasan itu perlu dipastikan bagi membolehkan risiko keruntuhan tanah dan langkah pencegahan yang berkesan dapat diambil bagi menjamin keselamatan penempatan terbabit.


Kajian itu penting kerana kawasan bukit berkenaan dan sekitarnya terbentuk daripada gabungan struktur berpasir dan keladak yang tinggi, manakala kandungan tanah liatnya pula rendah, sekali gus mudah runtuh jika dilanda hujan berpanjangan. Namun, kita berharap langkah tegas diambil untuk memberhentikan serta-merta segala bentuk projek pembangunan di situ dan tindakan itu memerlukan ketegasan, bukan saja tegas pada masa sekarang. Malah, setiap negeri juga perlu berbuat demikian.

Kita tidak bersetuju dibuat dasar menyeluruh untuk memberhentikan segala projek di kawasan berbukit, termasuk projek perumahan. Ada kawasan lereng bukit yang dibangunkan tidak mendatang masalah kerana jumlah pembinaan projek atau rumah tidak padat, selain masih mengekalkan tumbuhan seperti pokok di kawasan lereng dan celah bukit dan pemantauan aliran air bawah tanah.

Apa yang penting ialah kajian kesesuaian tanah perlu dilakukan terlebih dulu bukan saja sebelum sesuatu projek dilaksanakan, malah ketika dan selepas pembinaan siap, terutama memantau saliran air bawah tanah. Menurut pakar, langkah itu perlu kerana penanaman pokok dan pembinaan tembok penahan saja sebenarnya tidak cukup untuk mencegah runtuhan tanah jika sistem saliran air bawah tanah di kawasan terbabit tidak diperbaiki secara sistematik. Ini bermakna pihak kerajaan negeri dan PBT perlu ada mekanisme untuk memantau projek di lereng bukit, terutama selepas siap pembinaan.