SESUATU yang amat menggembirakan daripada rukun Islam kelima ialah nilai kuantitinya. Jika tidak kerana kuota sudah pasti lebih ramai umat Islam Malaysia dapat mengerjakan ibadat haji di Tanah Haram.
Mungkin daripada aspek kuantiti boleh saja bertambah, bagaimana dengan kualitinya? Ini kerana ibadat haji mementingkan keprihatinan sosial umat Islam. Sejauh manakah ibadat haji sebagai perhimpunan terbesar di dunia ini dapat membantu membangunkan kembali dunia Islam ke era kegemilangannya?
Ini dapat dilihat daripada kemerosotan kualiti masyarakat Islam dan kerajaan umat Islam dari segi kemiskinan dan keterbelakangan dalam aspek-aspek seperti teknologi dan pertumbuhan ekonomi yang semakin ketara.
Perhimpunan terbesar dunia ini jugalah dapat menggerakkan usaha di kalangan para pemimpin umat bagi membincang dan membantu menyelesaikan masalah umat Islam. Ia harus dijadikan suatu pergerakan haji sejagat.
Dahulu ramai pemimpin dunia Islam apabila mengalami proses haji kembali ke tanah air membawa semangat jihad dan perjuangan membebaskan umat Islam daripada penjajahan. Perkara yang sama harus dilakukan sekarang bagi membebaskan umat Islam daripada kemerosotan dalam segala aspek kehidupan.
Oleh itu ibadat haji tidak harus dilihat sebagai ibadat individu bagi memenuhi Rukun Islam Kelima sahaja. Menunaikan haji tidak harus dianggap sebagai ibadat ritual yang tiada input keprihatinan sosial, pendidikan, ekonomi dan politik sejagat.
Ibadat haji tidak diharus disempit skopnya sekadar memenuhi keperluan dan penyucian individu atau sebagai tempat memakbulkan doa segala yang diinginkan. Ini konsep yang salah mengenai ibadat haji dan umrah.
Trend sekarang ialah menunaikan haji dan umrah ke Baitullah sebagai upacara mengabulkan doa di hadapan Kaabah contohnya untuk menambahkan rezeki, mengayakan diri, membuka peluang perniagaan, bertemu jodoh dan menyelesaikan pelbagai masalah.
Ini bukanlah tujuan dan objektif mengerjakan ibadat haji. Ini adalah suatu tanggapan dan niat yang salah dalam tujuan menunaikan haji dan umrah. Walaupun ia boleh dilakukan sebagai perkara sampingan dan atas aspek peribadi tetapi tidak harus dijadikan niat yang utama dalam mengerjakan haji dan umrah.
Ibadah haji bukan saja memerlukan persiapan material tetapi juga persediaan mental-spiritual.
Haji jelas tidak sekadar berangkat ke Mekah tanpa sedikit pun mengubah sifat dan sikap pelakunya.
Gelaran haji bukan untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk tetapi mempunyai tanggungjawab yang terpancar daripada mengerja ibadat itu.
Sebagai rukun Islam terakhir, haji bagi seorang Muslim menjadi titik penutup yang mempertemukan kewajipan individu dan tanggungjawab sosial. Balik daripada mengerjakan ibadat haji bukan bermakna tugas ibadah itu sudah selesai dan menamatkan rukun Islam.
Tetapi ia menantikan pengabdian dan tanggungjawab yang lebih tinggi. Taraf dan nilai mabrur itu mesti disalurkan secara sosial dalam pergaulan hidup bermasyarakat.