Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Januari 2009

Bukan membebankan tetapi demi keselamatan


RAKYAT Malaysia dikejutkan dengan begitu banyak berita tentang kemalangan maut yang silih berganti berlaku sebaik sahaja bermula tirai 2009. Antaranya nahas tiga buah kenderaan yang meragut 10 nyawa di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kelantan pada 2 Januari lalu, diikuti kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Pagoh, Johor yang meragut nyawa dua beranak.

Sehari selepas itu, berita empat sahabat maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di ibu negara turut menghiasi dada-dada akhbar, diikuti pada hari yang sama, tiga sekeluarga maut apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Sungai Terap, Kuala Selangor, Selangor.

Selain ajal maut yang ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa, kita tentunya sedih membaca berita-berita nahas ini seolah-olah nyawa rakyat Malaysia begitu murah untuk menjadi korban jalan raya.

Saban hari, berita kemalangan maut sering kita baca dan ia amat menggerunkan sesiapa sahaja, namun nahas itu sepatutnya mampu dielakkan jika pengguna kenderaan kembali kepada sikap mematuhi peraturan lalu lintas.

Sikap manusia khususnya pengguna kenderaan perlu diubah bagi mengelak daripada berulangnya kemalangan dan kita perlu menanam tekad bahawa mematuhi peraturan itu bukan disebabkan takut untuk dikenakan tindakan, sebaliknya untuk keselamatan diri sendiri dan keluarga yang menumpang dalam kenderaan.

Ironinya, kemalangan yang berlaku saban hari ini hanya beberapa hari selepas kerajaan menguatkuasakan peraturan pemakaian tali pinggang keledar belakang untuk penumpang kenderaan persendirian mulai 1 Januari 2009.

Penguatkuasaan tali pinggang keledar belakang bukanlah untuk membebankan pengguna kenderaan, tetapi sebaliknya lebih kepada usaha mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan, sekali gus mengamalkan kaedah keselamatan yang paling asas.

Sebaik sahaja peraturan ini dikuatkuasakan awal tahun ini, terdapat pro dan kontra di kalangan rakyat, ada yang memberi alasan mereka mempunyai anak yang ramai untuk dibawa dalam kenderaan. Sudah pasti peraturan memakai tali pinggang belakang itu sukar dipenuhi jika pemilik kereta itu mempunyai anak yang ramai.

Selain itu, ada juga memberi alasan peraturan ini sukar dipatuhi kerana bayangkan jika mereka hanya memiliki kereta kompak seperti Perodua Kancil, sedangkan anak-anak bersaiz besar, tentu sukar dan tidak selesa untuk memakai tali pinggang.

Tidak kira apa jua alasan yang diberikan, segelintir pihak yang membantah penguatkuasaan itu seolah-olah menyalahkan kerajaan kerana memperkenalkan peraturan yang mungkin membebankan.

Itulah hakikatnya sikap segelintir rakyat di negara ini, gemar berfikiran negatif terhadap sesuatu usaha yang sebenarnya bagus untuk keselamatan.

Bak kata pepatah, 'sudah terhantuk baru tengadah', kemalangan di Gua Musang, sebagai contoh baru-baru ini, mungkin dapat menyelamatkan nyawa penumpang belakangnya jika pemakaian tali pinggang keledar itu dipatuhi.

Nahas di Kelantan itu misalnya, polis memaklumkan hasil siasatan awalnya mendapati, kesemua penumpang dalam kereta Perodua Kancil dan Perodua Kenari yang terbabit dalam kemalangan itu tidak memakai tali pinggang keledar yang dikuatkuasakan.

Untuk itu, wajar kita menjadikan pemakaian tali pinggang keledar itu sebagai satu amalan dan bukannya dipakai untuk mengelak daripada disaman pihak berkuasa.

Tidak rugi jika kita mengamalkan peraturan itu kerana ia adalah baik bagi mengurangkan risiko kemalangan maut yang ditakuti oleh semua pihak.

Berbalik kepada isu peningkatan jumlah kemalangan maut sejak awal tahun ini, sesuatu perlu dilakukan kepada papan-papan tanda yang terdapat di lokasi-lokasi yang berisiko berlaku kemalangan di negara ini, kerana terdapat papan tanda yang sudah hilang, uzur dan gagal memberi panduan kepada pengguna.

Peringatan dan tanda amaran kawasan bahaya itu sekurang-kurangnya mampu memberi kesedaran kepada pengguna kenderaan, malah pemasangan lampu di kawasan yang berbahaya dan berselekoh tajam juga dapat mengurangkan risiko kemalangan, khususnya pada waktu malam.

Akhir sekali, faktor sikap adalah elemen paling penting bagi mengurangkan kemalangan maut. Tidak ada gunanya jika kerajaan sibuk menggalakkan kempen pemakaian tali pinggang keledar, tetapi sikap pemandu di negara ini yang masih tidak berubah, nescaya apa jua kempen tidak akan berkesan.

Peliknya, sikap negatif pemandu itu sukar untuk dibaca. Sebagai contoh, kita tidak tahu seseorang itu yang berperwatakan baik dan sopan di luar, tetapi sebaik sahaja memegang stereng, sikap dan kesopanannya itu akan hilang.

Jadilah pemandu yang sentiasa tidak mementingkan diri sendiri. Pesanan ini sudah sering didengar dan dibaca, tetapi itulah hakikatnya, sukar untuk membentuk sikap rakyat di negara ini agar bersopan dan berhemah seperti pemandu di negara maju lain.