Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Februari 2009

Guna tanah lapisan ketujuh


Syarikat Sinar Murni Enterprise menyediakan perkhidmatan yang jarang ditawarkan iaitu melakukan samak di bangunan atau rumah.


SARIMAH menunjukkan perbezaan tanah. Tanah di sebelah kiri yang lebih mudah hancur tidak boleh digunakan untuk menyamak manakala tanah liat (kanan) dibolehkan.


SEORANG peniaga telah membeli sebuah premis untuk memulakan bisnes perusahaan makanan halal. Premis tersebut terletak di dalam sebuah bangunan yang selama ini terbiar. Dia diberitahu terdapat banyak anjing liar yang bertandang ke bangunan tersebut. Dia juga dimaklumkan bahawa bangunan tersebut sebelum ini turut menempatkan sebuah restoran yang menyajikan daging babi.

Sebagai seorang Islam, peniaga tersebut tahu bahawa anjing dan babi ialah najis berat (mughallazoh) yang perlu disucikan dengan menyamak. Menyamak adalah perbuatan membasuh sesuatu sebanyak tujuh kali dengan air dan salah satu daripadanya ialah air bercampur tanah. Jika tidak melakukannya, bagaimana peniaga tersebut boleh meyakinkan orang ramai bahawa produknya halal?

Memandangkan perniagaannya masih di peringkat awal, banyak perkara perlu diuruskan menyebabkan dia tidak berupaya untuk menyamak sendiri premisnya. Kepada siapakah dia boleh dapatkan bantuan?

Dalam senario seperti itu, mungkin peniaga itu boleh mendapatkan khidmat yang ditawarkan oleh sebuah syarikat pembersihan, Sinar Murni Enterprise (SME). Syarikat itu bukan sahaja menawarkan kerja-kerja pembersihan biasa, perpaipan dan pembuangan sampah, malah ia juga menawarkan perkhidmatan menyamak bangunan dan rumah. SME dipercayai syarikat pertama yang menyediakan perkhidmatan seumpama itu di negara ini. Syarikat itu ditubuhkan pada 2005.

Pengurus Operasi Sinar Murni Enterprise, Sarimah Othman, 43, berkata, syarikat itu mula menawarkan khidmat menyamak apabila dilantik sebagai kontraktor bahagian pembersihan projek Perbadanan Industri Halal Berhad (PIHB), kompleks Hab Halal. Hab Halal merupakan kompleks yang menjual produk halal 100 peratus.

SME ialah syarikat yang bertanggungjawab melakukan proses menyamak bangunan lima tingkat kompleks Hab Halal di Selayang, Selangor pada Ogos lalu. Pengerusi PIHB, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Pengarah Urusan Kumpulan PIHB, Datuk Norashikin Shahrom turut hadir pada majlis menyamak bangunan tersebut.


Hasarrudin membancuh tanah untuk menyamak bangunan Kompleks Hab Halal Selangor pada Ogos lalu.


Kompleks Hab Halal yang merupakan bangunan asal pasar raya Warta Selayang milik bukan Bumiputera itu dijangka beroperasi pada pertengahan tahun ini.

"Tidak ramai yang tahu tentang perkhidmatan kami. Setakat ini kami hanya mempunyai empat pelanggan untuk khidmat menyamak. Selain bangunan, kami juga menyediakan khidmat menyamak rumah kediaman," kata Sarimah ketika ditemui Kosmo! di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagi memastikan proses menyamak menepati syarak, Sarimah memberitahu, pihaknya melakukan samak seperti yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Bahkan, setiap kerja-kerja menyamak akan diselia oleh ustaz-ustaz daripada kedua-dua jabatan tersebut.

"Sebelum mengambil tanah, kami perlu maklumkan kepada jabatan berkenaan tempat terletaknya tanah tersebut. Ustaz-ustaz itu juga akan menentukan sama ada tanah itu sah atau tidak untuk menyamak.

"Mereka akan membaca doa selamat sebelum proses menyamak dilakukan. Mereka juga memantau apabila proses menyamak selesai sama ada ia sempurna atau tidak," kata Sarimah sambil memberitahu dirinya juga perlu menghadiri kursus menyamak dengan jabatan tersebut sebelum menyediakan perkhidmatan berkenaan.

"Adakalanya kami diarah membasuh sehingga lebih tujuh kali untuk memastikan ia benar-benar sempurna. Walaupun tujuh kali sudah memadai tetapi sebagai ustaz, mereka lebih terang hati dan biasanya dapat merasakan sama ada ia sudah sempurna atau tidak," tambahnya.

Ditanya apakah ciri-ciri tanah yang dibolehkan untuk proses menyamak, Sarimah berkata, tanah yang dipilih itu mestilah betul-betul suci.

"Kami tidak mengambil sebarangan tanah. Kami perlu pastikan tanah diambil dari kawasan yang diyakini tidak dicemari najis. Kami juga perlu mengorek tanah dalam-dalam, adakalanya sehingga dua meter untuk menemui tanah yang liat," katanya sambil memberitahu kebiasaannya mereka mengorek tanah lombong.

"Tanah yang liat berada pada lapisan ketujuh tanah. Tanah ini kurang daya resapan dan dipercayai paling bebas najis," jelasnya.


LIMA pekerja sedang menyamak bangunan Kompleks Hab Halal Selangor.


Menurut Sarimah, pihaknya menggunakan khidmat jengkaut untuk mengorek tanah dan lori untuk membawa tanah ke lokasi yang hendak dibersihkan.

Syarikat itu dan jabatan agama Islam juga perlu mendapatkan keizinan atau membeli tanah daripada pemilik tanah terlebih dahulu.

"Kos mendapatkan jengkaut dan lori sahaja sudah RM1,500. Disebabkan faktor-faktor itu jugalah, bayaran minimum untuk khidmat menyamak ialah RM2,500," katanya sambil memberitahu harganya turut dipengaruhi saiz bangunan atau rumah yang hendak disamak dan jarak kemudahan mendapatkan tanah.

Tempoh melakukan samak bagi rumah kecil biasanya tiga hari manakala rumah besar selama seminggu. Bagi Kompleks Halal Hab yang berupa bangunan lima tingkat, ia mengambil masa hampir dua minggu.

"Secara peribadi, saya tidak merasakan amalan menyamak sebagai membebankan, sebaliknya ia benar-benar membuatkan kita yakin dalam menunaikan amal ibadat," katanya.

Baru-baru ini, wartawan Kosmo! turut ditunjukkan demonstrasi menyamak. Melihat ada di antara pekerjanya yang terdiri daripada orang bukan Islam, Sarimah berkata, untuk mengharapkan orang Melayu tempatan dalam pekerjaan seperti itu amat susah.

"Syarikat saya ialah syarikat pembersihan. Orang Melayu dan Islam tidak suka terlibat dalam kerja-kerja ini. Saya terpaksa mendapatkan khidmat pekerja bukan Islam dan warga asing untuk tujuan ini termasuk menyamak. Tetapi, pekerja bukan Islam itu tidak memegang peranan utama dalam kerja-kerja menyamak, Mereka hanya melakukan tugasan bilasan. Lagipun, proses menyamak 'dirasmikan' dahulu oleh seorang ustaz," katanya yang mempunyai hampir 20 pekerja.

Seorang pekerja bukan Islam, M. Jayanthi, 37, berkata, dia amat memahami keperluan umat Islam untuk membersihkan diri daripada najis.

"Saya tahu keperluan orang Islam. Menantu saya juga beragama Islam. Saya tahu tentang makna najis anjing dan babi bagi orang Islam," katanya sambil dicelah rakan sekerjanya yang merupakan warga Indonesia, Faizatul Abrar,24.

"Di Surabaya, Indonesia, kami tidak memanggilnya samak, tetapi kami memanggilnya 'dikasi suci'," ujar Faizatul.


TANAH diangkut menggunakan jengkaut untuk dipindahkan ke lori.


Sementara itu, Ustaz Hasarrudin Musa yang bertindak memimpin kerja-kerja menyamak kompleks Hab Halal Selangor berkata, cara terbaik untuk melakukan samak adalah dengan melalukan air terlebih dahulu bagi membolehkan ain atau fizikal najis dihilangkan.

"Basuhan kali kedua kemudian dimulakan dengan air bercampur tanah, diikuti dengan lima bilasan air suci," katanya yang kini tidak lagi bertugas di JAWI.

Hasarruddin menerangkan, tidak diharuskan menyamak seluruh bangunan, sebaliknya pada tempat yang dipercayai boleh terkena najis. Perhatian lebih diberikan kepada tandas dan dapur bagi rumah dan premis perniagaan tidak halal di sesebuah bangunan.

"Tanah pula tidak semestinya perlu dikorek dalam-dalam, memadai jika anda yakin yang ia bersih dan suci. Tetapi, bagi mereka yang menjadikannya sebagai perkhidmatan, semestinya mereka perlu bersumberkan tanah yang paling diyakini kesuciannya," katanya.

Hasarruddin mengingatkan umat Islam agar tidak mengambil ringan tentang perkara itu.

"Walaupun terdapat beberapa pandangan tentang najis anjing, misalnya, namun ulama sependapat bahawa air liur anjing ialah najis. Jika najis tidak dibersihkan dan kita terkena najis itu, ibadat kita tidak sah," katanya.

Untuk mendapatkan khidmat Sinar Murni Enterprise, bolehlah hubungi talian 012-3472412.


TANAH yang telah diambil akan dilindungi dengan plastik bagi memastikan ia tidak dicemari najis.


Sabun untuk menyamak

MEMANDANGKAN adakalanya kita sukar untuk mendapatkan tanah yang suci untuk menyamak najis mughallazoh (anjing dan babi), syarikat Taharah Global (M) Sdn. Bhd. mengambil inisiatif memperkenalkan sabun tanah liat Taharah. Langkah syarikat itu boleh diberikan pujian.

Sabun Taharah yang bermaksud suci itu telah berada di pasaran sejak tahun 2004. Ia boleh dilakukan untuk bersuci dan menyamak dengan syarat menggunakan kaedah syarak iaitu sekali dengan air sabun Taharah diikuti dengan enam kali basuhan air bersih. Ini bermakna anda tidak perlu menggunakan tanah yang dikorek.

"Sesetengah mufti dari negeri Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan turut menyatakan sokongan terhadap produk ini. Kami mengambil masa selama empat tahun untuk penyelidikan dan pembangunan manakala satu setengah tahun untuk memperoleh fatwa," kata pengarah syarikat Taharah Global, Azian Mahmud ketika dihubungi Kosmo!.

"Kandungan sabun yang mengandungi 90 peratus tanah liat ini boleh digunakan untuk menyamak," kata Azian.


SABUN Taharah diperbuat daripada 90 peratus tanah liat.


Azian berkata, produk yang diperbuat daripada tanah liat itu juga baik untuk memperbaiki kulit bermasalah seperti panau, kurap, cacar air, kudis, ruam, gatal-gatal kulit, kelemumur dan rekahan tumit kaki.

"Khasiat tanah amat baik untuk manusia. Hikmahnya, manusia sendiri berasal dari tanah. Tanah juga mempunyai fungsi pembasmi kuman semula jadi," katanya.

Sabun Taharah sesuai untuk semua jenis kulit dan sesuai untuk kulit bayi. Ia juga mampu melembapkan kulit yang kering dan memperbaiki sel-sel kulit yang mati.

Menurut Azian, sabun itu juga boleh mencerahkan dan menghaluskan kulit.

Sabun itu dijual pada harga RM5.90 setiap satu buku. Untuk keterangan lanjut, hubungi talian 03-62763416 atau 012-243 1110.