Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Februari 2009

Ikan sungai enak

MENIKMATI keenakan ikan sungai liar yang segar sesuatu yang sukar dilakukan di kota besar. Namun dengan pembukaan restoran yang mengkhusus kepada ikan sungai liar di Desa Melawati, Kuala Lumpur, peminat hidangan itu tidak perlu pergi jauh ke luar kota.

Air tangan daripada chef tiga beradik, Kamarul Ariffin Hamzah, 33, Hamizatun, 35, dan Hishammudin, 31, dari Temerloh adalah resipi turun temurun diperolehi daripada Allahyarham bapa mereka, Hamzah Kanin yang mengusahakan kedai makan di bandar ikan patin itu, suatu masa dulu.


Restoran Ikan Sungai yang diusahakan Besta Corporation Sdn Bhd dengan kolaborasi tiga beradik itu menyajikan hidangan dengan konsep eksklusif bagi memartabatkan makanan kampung.

Antara menu yang dihidangkan ialah gulai masak asam, gulai lemak cili api, gulai masak tempoyak, ikan sungai goreng panas dan ikan sungai bakar kunyit. Jenis ikan sungai pilihan bagi masakan itu ialah ikan patin, baung, kerai, tengalan dan temoleh.

Menurut Kamarul, setiap pelanggan akan diberitahu jenis ikan yang ada pada hari berkenaan kerana tidak semua menu dapat dipenuhi disebabkan bergantung pada bekalan. Bagaimanapun, terdapat bekalan kira-kira 15 jenis ikan liar dalam satu-satu masa.

Ikan sungai liar lain yang turut menjadi menu istimewa ialah tapah, sebarau, toman, jelawat, lampam, lais, terbul, keli selain udang galah.

Pengarah Urusan Besta Corporation Sdn. Bhd, Jasmay Shah, berkata cabaran utama Kamarul ialah mendapatkan bekalan ikan sungai liar mencukupi untuk restoran beroperasi. Bekalan ikan sungai liar diperolehi daripada peraih dari Perak dan Pahang.

“Jika ikan yang dipelihara di sangkar mempunyai saiz yang sama kerana diberi makanan diproses, ikan sungai liar pula berusaha mencari makan sendiri. Jadi, kami tidak dapat tentukan saiznya dan perlu menerima apa juga saiz ikan daripada peraih. Harga ditentukan mengikut timbang atau satu hidangan, misalnya 140 gram,” katanya.

Menurutnya, disebabkan ikan sungai liar berusaha mencari makan sendiri, ia kurang lemak dan rasanya lebih manis berbanding ikan yang dibela dalam sangkar.

Melengkapi sajian, sayur kampung yang sukar didapati seperti gulai lemak batang keladi, pucuk ubi masak tempoyak, gulai lemak rebung, gulai lemak kulat sisir, acara rempah asli, gulai nangka tumis darat dan gulai lemak nangka dihidangkan bersama ikan sungai yang baru dimasak.

Kamarul berkata, tidak ketinggalan, ulam seperti pucuk ubi, ulam raja, daun selom, tenggek burung, petai, jering, pegaga dihidangkan satu set bersama sambal belacan, air asam dan sambal tempoyak.

“Gulai ikan sungai memang pedas tetapi sebaik memasuki kereta, rasa pedas itu akan hilang. Bak kata pelanggan dari Negeri Sembilan, eloklah ‘nasi paneh, lauk podeh.’ (nasi panas, lauk pedas).

“Untuk menghilangkan rasa pedas sajian istimewa itu, pencuci mulut seperti aiskrim tapai, tapai pulut dan buah-buahan potong disediakan,” katanya.

Selain menu ikan sungai dan sayuran kampung, restoran itu turut menyediakan makanan lain seperti nasi lemak dan ayam kampung, nasi dagang, mi rebus, laksa Pahang dan ayam kampung goreng.

Selain minuman panas merangkumi teh, kopi, milo dan nescafe, minuman sejuk seperti air kelapa, jus buahan dan sirap soda selasih turut disediakan sebagai pembasah tekak.