Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 Februari 2009

Mandian cahaya Jonker Walk


Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


Jonker Walk di waktu malam.

Budaya kuno tanglung serlah keunikan Melaka

BAYANGKAN anda dikelilingi kerlipan ribuan lampu tanglung aneka warna terutama rona merah dalam pelbagai bentuk. Hati siapa yang tidak teruja? Sejak mula diamalkan, dipercayai pada abad 250 masihi, budaya memasang tanglung setiap kali tibanya tahun baru terus dipertahankan masyarakat cina. Begitulah senario yang dilihat di bandar raya bersejarah, Melaka.

Jika anda teringin menikmati 'mandian' cahaya tanglung, apa kata berkunjung ke Jonker Walk di Melaka. Di sepanjang lokasi popular ini, anda akan melihat lebih 10,000 tanglung digantung di sepanjang 52 jalan melingkari zon ini. Perhatikan saja visual yang dirakamkan jurugambar pada halaman ini, menarik bukan?


Pemasangan lebih 10,000 tanglung dan lampu neon ini adalah inisiatif Persatuan Jonker Walk dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Melaka sempena sambutan Karnival Tahun Baru Cina 2009.

Karnival Tahun Baru Cina 2009 bukan saja menambah kemeriahan sambutan tahun baru di kalangan masyarakat Cina, malah memberi peluang kepada rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama untuk berkongsi keunikan perayaan ini. Program ini yang disokong kerajaan Melaka dan Kementerian Pelancongan, dirasmikan Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Sepanjang karnival ini, pelbagai acara menarik seperti malam wushu Melaka; persembahan kebudayaan; kutipan dana; pesta lagu Mandarin; tarian moden; pertandingan catur; pertunjukan tarian singa; tarian naga dan malam amal bersama anak yatim dianjurkan.

BERANEKA bentuk tanglung terdapat di Jonker Walk

Walaupun pada zahirnya, Tahun Baru Cina disambut masyarakat Cina, namun pengisian acara karnival di Jonker Walk ini menjadikan negeri kelahiran Hang Tuah ini sebagai tempat tumpuan ramai termasuk pelancong asing. Ini dapat dilihat sepanjang dua minggu lalu apabila kawasan ini sentiasa dipenuhi pengunjung, termasuk pada malam hari.

Suasana di Jonker Walk dijangka lebih meriah mulai malam ini hingga lusa ketika Tahun Baru Cina diraikan dengan cuti panjang.

Menyusuri tapak karnival yang disinari kerlipan lampu tanglung memberi peluang kepada pengunjung meninjau setiap kedai. Premis perniagaan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan menarik seperti barangan antik, galeri seni, kraftangan hinggalah tukang emas.

Pengunjung pasti leka dengan pelbagai barangan antik hingga tidak sedar masa terus berlalu. Jika rajin menjelajah, pengunjung boleh berjumpa kedai menjual terompah buatan tangan iaitu seni yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Terompah Melaka menjadi antara cenderamata utama yang dicari pelancong setiap kali berkunjung ke Jonker Walk.


Selain menjual pelbagai barangan, variasi juadah tempatan serta deretan restoran menambah tarikan Jonker Walk. Hidangan Laksa Nyonya, gula ketuk, cendol dan sotong bakar boleh mendekatkan lagi pengunjung dengan cita rasa tempatan.

Pengerusi Pengelola Karnival Tahun Baru Cina 2009, Datuk Gan Tian Loo, berkata Karnival Tahun Baru Cina 2009 mensasarkan kunjungan lebih 100,000 pelancong tempatan dan luar negara.

Gan berkata, kerajaan Melaka memasang kira-kira 50,000 lampu tanglung di seluruh negeri termasuk Joker Walk bagi memeriahkan kedatangan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, karnival ini bermula 3 Januari lalu dan akan melabuhkan tirainya pada 21 Februari depan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula berkata, lebih 500 lampu hiasan termasuk tanglung bernilai RM1.8 juta dipasang di sepanjang pesisir Sungai Melaka bagi menerangi dan mengindahkan kawasan itu sempena Tahun Baru Cina kali ini.

Langkah itu, katanya, bertujuan menggalakkan penduduk tempatan serta pelancong membawa keluarga bersiar-siar menikmati keunikan tanglung pada waktu malam.

"Pelbagai jenis bentuk hiasan cahaya lampu seperti replika naga, rusa, ayam, itik, gajah, burung, pintu gerbang, kereta lembu, bangunan, jam besar dan beca dipasang di sepanjang Sungai Melaka sejauh 4.5 kilometer.

"Beberapa hiasan juga diletakkan di kawasan sama secara tetap sebagai tarikan waktu malam," katanya.

Mohd Ali berkata, sebanyak 420 lampu hiasan pelbagai motif dan bentuk yang setiap satunya menggunakan lampu jenis LED serta 120 tanglung dipasang di sepanjang Sungai Melaka bertujuan menyerlahkan seni bina bangunan bersejarah berhampiran.

Program : Karnival Tahun Baru Cina 2009
Lokasi : 52 Jalan di sekitar Jonker Walk dan bandar raya Melaka
Tarikh : Mulai 3 Januari hingga 21 Februari 2009.

INFO: Jonker Walk

  • Jonker Walk atau Jalan Hang Jebat yang merangkumi laluan sepanjang 400 meter adalah lokasi wajib dikunjungi di Melaka.

  • Jonker Walk menjadi lubuk barangan antik, galeri seni, barangan kraf serta deretan bangunan lama zaman penjajah. Pengaruh dan gaya seni bina mencerminkan interaksi budaya pada era itu hingga mewujudkan pengaruh serta budaya peranakan atau Baba dan Nyonya serta Serani.

  • Jonker Walk merujuk laluan pejalan kaki di Jalan Hang Jebat dan di Jalan Tun Tan Cheng Lock (dulu dikenali sebagai Heeren Street) di pusat bandar Melaka.

  • Mengikut fakta, kedai barangan antik dan seni yang di Jonker Walk wujud sejak awal 1950-an. Dua peniaga barang antik terawal termasuk TK Kutty dan Haji Abu Bakar.

  • Perniagaan di Jonker Walk bermula jam 10 pagi hingga 6 petang pada hari biasa dengan waktu perniagaan dilanjutkan hingga jam 10 malam pada hujung minggu. Malah, pada hujung minggu, jalan berkenaan ditutup kepada lalu lintas bagi membolehkan pengunjung berjalan kaki sambil menikmati keindahan seni bina serta 'mencuci mata' dengan pelbagai barangan jualan.
  •