Maju Melayu Perkasa!

23 Februari 2009

Perketat disiplin tangani gejala pelajar samseng



ISU mengenai pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, kes pergaduhan membabitkan pelajar berlaku saban tahun. Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila mangsa dipukul itu akhirnya menemui maut seperti berlaku ke atas Muhd Hadzrin Mohamad, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, yang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), kira-kira jam 1 pagi kelmarin di sisi ahli keluarganya. Mangsa dibelasah sekumpulan 24 lelaki dipercayai juga pelajar pada jam 9.30 malam 13 Februari lalu didakwa berikutan perebutan teman wanita. Muhd Hadzrin tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepalanya akibat dipukul dengan besi dan topi keledar. Kita bersetuju dengan pendapat Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng bahawa sudah sampai masanya peraturan atau pendidikan mengenai undang-undang diperkenalkan di sekolah terutama sekolah menengah supaya masalah disiplin tidak menjadi lebih serius. Di samping itu, Kementerian Pelajaran juga harus memperkemas segala bentuk peraturan di sekolah dengan memberi kefahaman mengenai matlamat, kesan dan usaha mengemaskini peraturan sedia ada perlu dilakukan secepat mungkin untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Kelonggaran disiplin di sekolah menjadi penggalak kepada tindakan drastik pelajar dan lebih mendukacitakan apabila mereka berada di luar sekolah, mereka membawa budaya yang diamalkan di sekolah untuk mereka melebarkan pengaruh di dalam masyarakat.

Pernah satu kajian dibuat pada September 2006 yang mendapati ada antara pelajar direkrut oleh kumpulan samseng di luar dan selepas mereka tamat persekolahan, mereka inilah yang menjadi 'raja' di luar. Kita juga menyokong saranan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, supaya ditubuhkan jawatankuasa khas di setiap sekolah, dianggotai wakil guru, Jabatan Pelajaran Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi menyiasat secara terperinci sama ada pelajar mereka terbabit dalam kegiatan kumpulan samseng yang berkemungkinan boleh menjurus kepada perlakuan jenayah. Kita berpendapat, penyertaan cergas ibu bapa dan guru, berupaya membendung gejala jenayah di sekolah kerana guru lebih tahu tingkah laku muridnya dan ibu bapa lebih arif sikap anak mereka. Kerjasama erat kedua-dua pihak ini amat penting terutama ibu bapa yang tidak boleh lagi menyerahkan kepada pihak sekolah untuk menjaga disiplin anak mereka. Kita sudah sedia maklum bahawa tindakan gantung sekolah dan buang sekolah dianggap tidak relevan kerana ramai berpendapat bahawa kalangan pelajar yang dibuang sekolah inilah yang bakal menjadi sampah masyarakat. Mereka yang terumbang-ambing di luar inilah yang bakal menambah jumlah pesalah sosial seperti melepak, ragut, mencuri dan sebagainya.