Maju Melayu Perkasa!

21 Februari 2009

Santai di bawah satu bumbung


Oleh Fadzlena Jafar


ANTARA kolam untuk bermandi-manda bersama keluarga.

Tiara Beach Resort janji percutian indah untuk sekeluarga

CUTI hujung minggu lazimnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk diluangkan bersama keluarga. Ada yang berhujung minggu bersama keluarga sekadar di rumah sambil menikmati hidangan dan menonton televisyen, tetapi ada juga yang mungkin memanfaatkannya dengan membawa anak makan angin di kawasan peranginan atau taman tema yang lazimnya sesuai untuk percutian sekeluarga.

Jika anda mencari destinasi yang menyediakan kegiatan menarik untuk si kecil seperti taman tema yang mempunyai pelbagai kemudahan, kunjungi Tiara Beach Resort yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan. Walaupun kedudukannya berhampiran pantai, dua kolam rekreasi yang disediakan di situ khusus untuk pengunjung sudah mencukupi untuk bermandi-manda.


Jika membawa anak kecil, mungkin kolam cetek yang menyediakan beberapa permainan khusus untuk si kecil seperti buaian dan gelungsur sesuai dituju, atau jika anak sudah meningkat remaja pilih ke kolam satu lagi yang lebih luas, tetapi agak dalam.

Apa yang penting, anda tidak perlu bimbang memikirkan keselamatan anak kerana pengusaha menyediakan penyelamat yang sentiasa memantau kegiatan di kedua-dua kolam.

Beberapa kegiatan lain turut disediakan seperti basikal yang disewakan untuk pengunjung sama ada dewasa mahupun kanak-kanak. Ada juga disediakan bilik permainan untuk kanak-kanak kecil dan juga bilik permainan video yang menarik.

DATARAN di tengah blok penginapan untuk kegiatan seperti berbasikal dan menonton wayang.

Istimewa di pusat peranginan itu, ada beberapa kegiatan disediakan seperti permainan untuk kanak-kanak di tepi kolam dan juga senamrobik yang dikendali pihak pengurusan. Pada malam hari pula anda pasti tidak bosan kerana ada disediakan panggung wayang terbuka di kawasan dataran yang mengingatkan anda kepada suasana di kampung satu ketika dulu.

Ringkasnya, kunjungan anda ke situ tidak membosankan kerana ada pelbagai aktiviti disediakan setiap masa. Malah, unit penginapan yang disediakan membolehkan anda membawa keluarga bersama untuk bercuti.

Ada dua bilik disediakan dalam setiap unit (yang dikunjungi penulis, baru-baru ini) dan dua bilik air. Kemudahannya menyeluruh walaupun tiada disediakan sarapan seperti hotel kerana ada beberapa kedai di situ yang menyediakan pelbagai hidangan atau jika inginkan kelainan, kunjungi pelbagai restoran di sekitar Port Dickson.

Apa yang penting, percutian di pusat peranginan ini cukup menarik kerana semua kegiatan berada dekat dengan blok unit penginapan, sekali gus memudahkan anda memantau kegiatan setiap ahli keluarga.

RUANG luas di unit penginapan dengan dua bilik.