Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mac 2009

Asean guna semula






HUA HIN (Thailand): Desakan pemimpin Asia Tenggara supaya tindakan dilaksanakan bagi menangani krisis kewangan dunia mungkin tidak banyak membantu menyelamat ekonomi negara anggota Asean yang bergantung terhadap eksport mereka.

Sepuluh anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) itu membuat kenyataan bersama selepas persidangan tahunan yang berakhir semalam, mendesak kerjasama, reformasi sistem kewangan antarabangsa dan perubahan dasar perlindungan produk.

Namun, permintaan yang menurun daripada pengimport utama, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memperlihatkan kerapuhan negara Asean melindungi jutaan pekerja yang kini berdepan risiko dibuang kerja.

“Mereka boleh mencuba untuk melawan keadaan ini tapi hakikatnya, tidak banyak kerjasama yang mereka mampu laksanakan. Saya tak percaya kenyataan yang mereka suarakan itu akan membawa perubahan serta-merta. Masalah pada masa ini amat meruncing,” kata penganalisis Ekonomi Asia yang beribu pejabat di Singapura, David Cohen.




Jika sebelum ini, situasi rantau Asean agak stabil, Asia Tenggara kini mula merasai kesan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia. Singapura kini mengalami kemelesetan ekonomi dan nilai eksportnya dilapor jatuh 35 peratus pada Januari, kejatuhan tertinggi sejak kerajaan menyimpan rekod eksport sejak 30 tahun lalu.

Thailand, ekonomi kedua terbesar Asean pula mengalami penyusutan ekonomi pada suku terakhir tahun lalu dan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva memberi amaran ia mungkin berulang pada suku pertama tahun ini.

Satu daripada langkah terbaik yang diambil Asean ialah bersetuju dengan China, Jepun dan Korea Selatan meningkatkan dana kecemasan kepada RM420 bilion pada hujung tahun ini.

Penganalisis Universiti John Hopkins, AS, Bridget Welsh bagaimanapun menyatakan, Asean masih menggunakan pendekatan sama seperti yang dilaksanakan ketika berdepan krisis kewangan Asia 1997.

“Asean masih tidak menerima realiti krisis yang dihadapinya. Langkah pertama iaitu mengadakan dialog telah diadakan tapi pendekatan yang dilaksana tidak setaraf dengan kesan yang dihadapi sekali gus menunjukkan ketidakpekaan terhadap kesan kemelesetan ekonomi yang dihadapi rantau itu,” katanya.

Satu-satunya langkah yang dilaksanakan ialah menandantangani perjanjian dagangan bebas dengan Australia dan New Zealand yang dianggap Welsh sebagai hanya satu simbol tapi tidak bermakna.

Abhisit turut menetapkan beberapa pendekatan lagi, termasuk meminta setiap negara Asean memaklumkan kepada negara anggota pendekatan dan polisi ekonomi yang dilaksanakannya selain pada masa sama memantau sebarang kemungkinan perlindungan produk berlaku.

Penganalisis Thailand, Aat Pisanwanich menyatakan, pelan Asean menubuhkan pakatan seperti Kesatuan Eropah menjelang 2015 yang disahkan dalam deklarasi ditandatangani pemimpin negara itu semalam dilihat sebagai langkah penting melindungi rantau itu daripada masalah ekonomi di masa akan datang.

“Kita perlu tingkatkan penggunaan menyeluruh Asean dan mengurangkan penggantungan import oleh AS dan pasaran Eropah,” kata Pengarah Kajian Dagangan Antarabangsa Universiti Dewan Dagangan Thailand itu.

Namun Cohen berkata, desakan Asean supaya kerjasama antarabangsa dan serantau ditingkatkan mungkin tidak memperoleh sambutan terutama kerana mereka lebih cenderung memastikan kestabilan di tanah air sendiri.

“Mungkin perjanjian pelaksanaan pakatan global hanya dapat dilihat pada mesyuarat G20 yang berlangsung di London bulan depan. Bagi Asean, ia tidak mampu membawa sebarang perubahan pada masa ini,” katanya lagi. - AFP