Maju Melayu Perkasa!

11 Mac 2009

Buluh madu berkualiti jadi tanaman komersial


Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid


AHMAD melihat pekerjanya, Baharom Hamid mencungkil tunas buluh madu untuk dijadikan semaian.

BULUH adalah antara tumbuh-tumbuhan yang dicipta mempunyai 1001 guna. Sejak zaman awal kehidupan manusia, buluh digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, masyarakat kuno sebelum terciptanya peralatan logam menggunakan buluh sebagai senjata tajam seperti tombak untuk melawan musuh, selain sembilu yang tajam turut digunakan untuk memotong sesuatu seperti pisau. Bentuk fizikal buluh yang beruas dan berlubang di dalamnya turut membolehkan ia digunakan untuk memasak nasi atau lemang.

Ia juga dijadikan bahan binaan utama untuk membuat kediaman masyarakat dulu kala dan kini ia masih digunakan Orang Asli, sama ada tiang, lantai, dinding dan alang bumbung. Bagi pengangkutan pula, beberapa batang buluh yang diikat boleh dijadikan rakit oleh penduduk yang tinggal di pinggir sungai atau laut.


Buluh juga digunakan dalam sektor pembuatan kraf tangan yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat, walaupun pada zaman moden ini menyaksikan pelbagai bahan baru dicipta.

Namun, peredaran masa, kemajuan dan perkembangan teknologi yang pesat menyebabkan buluh semakin terpinggir dan di sesetengah kawasan ia agak sukar ditemui kerana pupus.

Di negara ini, buluh terdiri daripada pelbagai jenis dan ia berbeza mengikut saiz dan ketebalan mahupun warna kerana ada di antaranya yang hijau dan ada yang kuning.

Kebanyakan generasi muda kini tidak mengetahui buluh sebenarnya menjadi sumber makanan penting, iaitu rebungnya atau anak buluh yang masih muda.

Rebung buluh adalah sayuran yang kaya dengan pelbagai nutrien, termasuk iaitu vitamin B, vitamin C, protein, serat dan karbohidrat.

Bagi seorang penduduk Kampung Perik, Kuala Nerang di Kedah, Ahmad Daud, 66, beliau menjadikan buluh sebagai tanaman komersial yang menjadi sumber pendapatan di atas tanahnya seluas sehektar.

Namun buluh yang ditanam bukan jenis yang biasa ditemui di hutan, sebaliknya buluh madu yang saiznya lebih kecil dan dikatakan berasal dari Thailand.

Tidak dapat dipastikan kenapa ia dipanggil buluh madu kerana rebungnya tidak berasa manis.

Ahmad mengusahakan tanaman buluh madu untuk mendapatkan rebungnya yang dikatakan berkualiti tinggi dan enak jika dimasak sama ada secara segar atau dijeruk terlebih dulu.

Beliau memulakan usaha itu di atas tanah seluas 0.5 hektar, dua tahun lalu tetapi apabila mendapati permintaan amat menggalakkan Ahmad menambah keluasannya kepada satu hektar.

"Buluh madu tidak memerlukan penjagaan rapi dan boleh mengeluarkan hasil selepas empat hingga lapan bulan ditanam.

"Rebungnya juga mudah tumbuh menyebabkan ia amat sesuai ditanam untuk menghasilkan makanan," katanya yang keberatan untuk mendedahkan pendapatan daripada hasil jualan rebungnya itu.

Namun beliau menyifatkan usahanya itu berbaloi dan menguntungkan.

Ahmad akan menebang rebung yang setinggi hampir satu meter selang sehari dan ia akan dijual secara segar atau dijeruk terlebih dulu.

"Rebung mentah atau jeruk dijual dengan harga RM4 sekilogram dan setiap minggu saya mampu membekalkan antara 120 hingga 150 kilogram rebung kepada peraih.

"Selain dari Alor Setar, ada juga tempahan saya terima dari Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dan setakat ini bekalan tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan rebung masih muda dan boleh dimakan ia boleh dihiris dengan pisau seperti kita memotong sayur dan jika sudah tua pula ia agak sukar dihiris.

Ahmad yang terpaksa bertongkat selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya tidak lama dulu tidak sendirian dalam usahanya itu kerana dia dibantu isterinya, Indah Irinaningsih.

Katanya, selain rebung, beliau turut menjual anak pokok buluh madu yang siap disemai di dalam `poli beg' untuk ditanam sebagai penyeri lanskap.

INFO

Buluh


  • Tergolong dalam spesies `Gramineae' iaitu sekeluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung dan tebu.

  • Di Malaysia taburan buluh biasanya boleh didapati di kawasan ketinggian kurang 1000 meter dari paras laut.

  • Buluh hidup subur di kawasan yang mempunyai saliran yang baik khususnya yang mempunyai keasidan pada tahap pH5.0-6.5.

  • Pokok buluh yang mengeluarkan bunga adalah tanda ia akan mati.

  • Rebung hanya diambil di bahagian yang masih lembut dan kulit arinya dibuang.

  • Rebung dijeruk menggunakan air yang dicampur garam dan tanpa bahan pengawet kerana ia boleh disimpan beberapa bulan.
  •