Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mac 2009

Kuasa pekerja ilmu


Pekerja ilmu yang sebenar akan mewarnai ekonomi bentuk baru yang berteraskan pengetahuan atau juga dikenali sebagai k-ekonomi.


GOLONGAN bekerja dan ahli profesional dalam firma perkongsian tidak menganggap kemahiran mereka sesuatu yang luar biasa, tetapi sebagai kenyataan hidup. - Gambar hiasan


"KERJA bukan sekadar pekerjaan," kata mahaguru pengurusan tersohor, Charles Handy dalam bukunya yang klasik, The Future of Work.

"Pada masa lalu, perniagaan menjadi majikan kepada semua mereka yang ingin bekerja. Pada masa depan, akan terdapat banyak pelanggan tetapi tidak banyak pekerjaan," ujar Handy yang tidak menjangka syarikat akan menjadi sebuah organisasi kebajikan.

Tugas sebarang perniagaan adalah untuk menjadi seberapa berkesan yang boleh tetapi beliau menjangka harapan dan amalan kerja akan mengalami perubahan asas.

Tujuan utama sesebuah syarikat bukanlah membuat untung semata-mata. Tujuannya membuat untung adalah supaya dapat terus melakukan sesuatu, berbuat dengan lebih baik dan lebih banyak.

Keuntungan mestilah menjadi cara untuk mencapai matlamat lain dan bukannya matlamat itu sendiri. Handy menegaskan betapa perlunya organisasi dan manusia memupuk kesedaran tentang kesinambungan, hubungan dan haluan sebagai satu ciri penting dalam dunia pekerjaan yang diwarnai oleh bentuk ekonomi baru.

Pandangan Handy juga menegaskan kepada kita bahawa jika organisasi, pola kerja dan sikap orang terhadap kerja akan berubah, maka kehidupan mereka di luar dunia pekerjaan akan turut berubah.

Dengan bilangan pekerja sepenuh masa semakin berkurangan, tanggungjawab yang perlu dijalankan adalah menghasilkan portfolio kerja.

Orang yang ragu-ragu boleh mengatakan portfolio itu berkemungkinan pekerjaan sambilan yang rendah upahnya. Bagaimanapun, Handy percaya kita perlu mendukung kemungkinan yang lebih positif. Portfolio kerja termasuk kerja yang dapat dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu kerja berupah dan kerja berbayar (yang mendatangkan wang), kerja rumah, kerja hadiah, dan kerja belajar (yang tidak mendatangkan wang).

Bagi kebanyakan orang, pembahagian itu dirasakan idealistik. Namun cara itulah lebih fleksibel dan lebih teratur untuk mengenal pasti unsur dalam kebanyakan kehidupan kita. Fleksibeliti sebegini sukar dihadapi oleh mereka yang bekerja untuk organisasi besar yang menyediakan laluan kemajuan kerjaya, gaji bulanan tetap dan faedah istimewa.




Bagaimanapun, kefleksibelan itu sesuai dengan dunia yang dialami oleh banyak golongan bekerja sendiri yang biasa dengan tekanan dan barangkali keseronokan dalam mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi membeli sesuatu.

Jika mereka mahu komputer baru, mereka tahu mereka perlu mencari jalan 'imaginatif lain' untuk mendapatkan wang bagi membelinya, bukan sekadar menelefon jabatan teknologi maklumat untuk memesan sebuah komputer baru.

Golongan bekerja sendiri, di samping ramai lagi dalam perniagaan kecil dan ahli profesional dalam firma perkongsian, tidak menganggap hal seumpama itu atau kemahiran mereka sebagai luar biasa, tetapi sebagai kenyataan hidup.

Ini merupakan satu portfolio tersendiri buat mereka. Dengan kata lain, lebih ramai pekerja sepenuh masa akan mengambil pendekatan ini jika mereka ingin membina portfolio mereka.

Langkah Handy membangunkan konsep portfolio menjadi jawapan kepada gagasan masyarakat senang-lenang. Handy berpendapat masyarakat tersebut adalah idealisme semata-mata.

Manusia tidak dijadikan untuk menghabiskan waktu lapang dengan bersenang-senang sahaja. Sebaliknya, waktu lapang perlu dilihat sebagai sebahagian portfolio seimbang yang berupa minat dan aktiviti yang mendatangkan hasil sama ada wang atau ganjaran lain.

Gambaran Handy menjadi realiti apabila manusia boleh bekerja secara formal atau informal dengan berada di mana-mana saja berkat teknologi informasi dan komunikasi.

Gambaran itu juga menjelaskan rupa bentuk organisasi masa depan seperti mana yang dibayangkan oleh Wiliam Davidow dan Michael Malone dalam buku The Virtual Corporation.

"Organisasi masa depan nampaknya 'tidak bertepi' dengan hubungan yang telus dan sentiasa berubah antara syarikat, pembekal dan pelanggan. Dari dalam firma, apa yang dilihat juga tidak tentu bentuknya kerana pejabat, jabatan dan bahagian operasi yang tradisional sentiasa dibentuk semula mengikut keperluan," ulas buku itu.

Idea tentang hierarki formal dan kaku berasaskan kriteria beku tidak lagi berlaku. Apa yang penting adalah kemahiran teknikal, saintifik atau artistik serta kebolehan untuk mewujudkan hubungan dengan pelanggan.

Hierarki fungsional digantikan oleh apa yang disebut oleh Thomas Stewart dalam Intellectual Capital: The New Wealth of Organizations sebagai kuasa kepintaran atau modal intelektual iaitu kuasa yang ada pada pekerja untuk mencipta dan mengawal stok aset yang tidak nampak (intangible) seperti data, imej jenama, idea, pengetahuan teknologi dan modal tenaga.

Apa yang disebut oleh Stewart juga bertepatan dengan apa yang diramalkan oleh Peter Drucker tentang kemunculan 'satu jenis' golongan pekerja yang dikenali sebagai pekerja ilmu atau Knowledge Workers.

Pekerja ilmu sebenarnya akan mewarnai ekonomi bentuk baru yang berteraskan pengetahuan atau juga dikenali sebagai k-ekonomi.

Pekerja ilmu akan mempunyai aset berharga berbentuk modal intelektual, suatu bentuk modal yang tidak nampak, namun memberi sumbangan besar pada kekayaan organisasi.

Pekerja ilmu sama ada berkerja di organisasi atau bekerja secara persendirian (self-employed) akan mencipta pelbagai bentuk atau jenis kerja yang lazim atau tidak lazim, yang tradisi atau konvensional, yang lama atau baru dan kesemuanya itu bermodalkan pengetahuan dan maklumat.

Inilah bentuk masa depan pekerjaan yang sedang dan bakal kita lalui. Orang tidak perlu lagi ke pejabat, cukup sekadar beroperasi di rumah atau di mana saja yang disukai, dan hanya perlu memanfaatkan modal intelektual yang ada pada diri mereka serta mempunyai sentuhan menggunakan mesin-mesin digital serta keupayaan melayar dunia Cyberspace.

Dengan kata lain, dunia pekerjaan masa depan sebenarnya berada pada kebolehan dan kemampuan kita untuk memanipulasi peluang yang berada di dunia Cyberspace.