Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 April 2009

Pasukan antirempit


PDRM Kontinjen Pulau Pinang menubuhkan Skuad 42 iaitu pasukan khas trafik bagi membanteras kegiatan lumba haram di negeri itu.


SESETENGAH mat rempit sanggup melarikan diri dengan kecederaan yang dialami bagi menyelamatkan diri daripada ditahan polis.


Kegiatan lumba haram yang berkait rapat dengan tingkah laku liar mat rempit merupakan gejala sosial yang kian menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Lebih meresahkan, kebanyakan individu yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini ialah remaja dalam lingkungan belasan tahun.

Pihak berkuasa menjalankan pelbagai usaha untuk menangani gejala sosial yang kini menjadi masalah ketara di dalam negara, namun ia masih berleluasa dan seolah-olah mereka yang terlibat tidak langsung takut dengan undang-undang.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras gejala negatif ini, walaupun penguatkuasaan harian secara rutin dan ad-hoc dilakukan, berpendapat satu tindakan yang benar-benar tegas perlu diambil untuk membendungnya.

Sehubungan itu, PDRM Kontinjen Pulau Pinang menubuhkan Skuad 42 iaitu pasukan khas trafik bagi membanteras kegiatan lumba haram di negeri itu.

Pasukan khas yang namanya mengambil sempena Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 melibatkan kesalahan menunggang secara berbahaya dan melulu kini berusia lebih setahun. Ia diwujudkan sejak 4 Januari tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, banyak kejayaan yang dicapai dalam usaha membanteras gejala lumba haram di sekitar negeri ini.

Skuad 42

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, tujuan penubuhan Skuad 42 ini adalah untuk menyelaras perancangan dan tindakan yang perlu diambil oleh pasukan khas trafik Pulau Pinang dalam menangani masalah lumba haram.

"Skuad 42 dianggotai tiga orang pegawai dan 21 anggota, dibahagikan kepada dua pasukan yang ditempatkan di tanah besar (daerah Seberang Perai Tengah, Utara dan Selatan) dan pulau (daerah Timur Laut dan Barat Daya)," katanya.

Beliau berkata, selain menjalankan rondaan, membuat tangkapan, mengeluarkan saman dan mendapatkan maklumat risikan, pasukan khas ini juga menjalankan penyamaran bagi mengenal pasti lokasi tertentu aktiviti lumba haram.

"Tangkapan yang dibuat ke atas pelumba haram ialah mengikut kesalahan di bawah APJ 1987 ataupun kanun keseksaan manakala proses tangkapan juga mengikut Kanun Prosedur Jenayah," kata Wan Aziz.

Operasi, tangkapan dan kejayaan

Wan Aziz berkata, sejak penubuhan Skuad 42 pada awal Januari 2008 hingga 23 Februari lalu, skuad ini mengadakan 687 operasi.

Sebanyak 40,509 kenderaan diperiksa dan 963 kenderaan disita.

"Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 18,883 saman dikeluarkan dan 367 tangkapan dilakukan. Daripada jumlah tangkapan, 269 melibatkan remaja Melayu, 58 Cina, 24 India dan 16 lain-lain bangsa," katanya.

Beliau berkata, hasil usaha berterusan skuadnya itu juga berjaya 'mematikan' kegiatan lumba haram di dua tempat yang dikenal pasti paling digemari kumpulan mat rempit iaitu Jelutong Expressway (JE) dan Butterworth-Kulim Expressway (BKE).

"Sebelum ini, kedua-dua tempat itu memang menjadi pilihan mat rempit dan boleh dikatakan pada setiap malam minggu, kira-kira 200 orang berkumpul bagi berlumba dan menyaksikan perlumbaan di situ," katanya.

Wan Aziz yang berbangga dengan kejayaan yang dicapai skuad khas itu berkata, bagi setiap operasi dijalankan, skuad itu akan berbincang dulu bagi mengatur strategi.

Modus operasi lumba haram

Menurut Wan Aziz, selalunya perlumbaan haram bermula kira-kira pukul 2 pagi.

Terdapat sekurang-kurangnya lima lokasi popular pilihan mat rempit setiap kali aktiviti lumba haram diadakan. Mereka akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain secara serentak tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.

"Mereka bergerak berkumpulan dan tidak akan berhenti pada mana-mana lampu merah sambil beraksi lagak Superman sedang terbang.

"Bila ada yang sedang berlumba, anggota kumpulan ini juga akan sepakat menutup setiap simpang jalan bagi menghalang kenderaan atau pengguna lain mengganggu program mereka," katanya.

Biasanya mereka sanggup datang dari daerah seberang ke pulau semata-mata untuk menjayakan perlumbaan. Kumpulan mat rempit sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

Biasanya, setiap kali perlumbaan, kumpulan ini akan bermula dari Jalan Padang Kota ke Bulatan Bayan Baru, kemudian bergerak ke Jalan Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

"Dari PISA, mereka bergerak ke kawasan Bukit Gambir dan berakhir di Tanjung Tokong. Kemudian mereka akan berhenti rehat dan keadaan sekitar akan kembali seperti sediakala macam tidak ada apa-apa yang berlaku," kata Wan Aziz.

Beliau berkata, lokasi pilihan Mat Rempit bagi menjalankan aktiviti di daerah seberang ialah di Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Menurutnya, Skuad 42 sedang memantau aktiviti lumba haram yang dilakukan oleh Geng RXZ kerana mereka dikenal pasti sebagai kumpulan yang paling bahaya dan ganas.