Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mei 2009

Hari Pekerja ketika gawat tuntut pengorbanan


Oleh Hasliza Hassan

Toleransi majikan, kakitangan kekal sumber pendapatan untuk kebaikan bersama

SAMBUTAN Hari Pekerja yang disambut di negara ini hari ini bermula 37 tahun lalu apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, mengumumkan 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja pada 1972.

Keputusan itu dibuat dengan harapan pergerakan buruh akan menganggap 1 Mei sebagai satu hari dedikasi sesuai dengan cita-cita kebangsaan serta berharap gerakan pekerja akan didorong dan berasa terikat kepada cita-cita berkenaan.


Pengumuman itu dianggap penting bukan saja kerana pengiktirafan diberikan terhadap sumbangan pekerja, tetapi secara tidak langsung menunjukkan Malaysia turut bersetuju dengan keputusan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) meluluskan 1 Mei sebagai Hari Pekerja atau May Day.

Jika pada peringkat awalnya, Hari Pekerja disambut sebagai hari untuk memperjuangkan kebajikan pekerja, hari ini ia dilihat sebagai sambutan yang dikongsi semua pihak, termasuk majikan serta kerajaan.

Makna Hari Pekerja dan cara menyambutnya makin berubah sejajar perubahan situasi politik, ekonomi dan sosial dalam negara serta pelbagai isu dibangkitkan berkaitan kepentingan atau hak pekerja.

Kita masih bertuah kerana sambutan Hari Pekerja tidak sampai mencetuskan pergolakan atau kacau-bilau seperti di negara lain yang berhadapan dengan suasana tegang oleh kejadian tidak diingini akibat rasa tidak puas hati pekerja terhadap majikan atau kerajaan.

Hari Pekerja menjadi acara sambutan yang dikongsi kesatuan pekerja, kerajaan, anggota masyarakat dan pelbagai organisasi dengan pelbagai acara seperti perhimpunan serta bermacam program menarik sempena cuti umum.

Hubungan antara kerajaan dan kesatuan mewakili suara pekerja yang ramai juga sentiasa baik, walaupun ada ketikanya agak tegang menerusi pendekatan diamalkan kedua-dua pihak iaitu menyelesaikan masalah melalui perundingan bukan konfrontasi, dapat meredakan suasana.

Namun, krisis ekonomi global yang tempiasnya turut mengena negara, menjadikan sambutan Hari Pekerja yang jatuh hari Jumaat kali ini disambut gembira oleh mereka yang masih bekerja kerana cuti umum dan perasaan kecewa bagi yang sudah diberhentikan kerja.

Menurut statistik Kementerian Sumber Manusia dari 1 Oktober 2008 hingga 29 April lalu, 32,638 pekerja diberhentikan dengan 24,339 berhenti kekal, manakala 8,299 mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS). Daripada jumlah itu, 24,561 adalah pekerja tempatan.

Sementara 43,474 pekerja terbabit dalam pemberhentian sementara (10,403 pekerja) dan pemotongan gaji (33,071) sebagai langkah majikan mengurangkan kos operasi dan pada masa sama memastikan kebajikan pekerja masih terjamin.

Dalam kehidupan hari ini yang mana pekerjaan adalah segala-galanya bagi memastikan kehidupan diri serta keluarga dapat diteruskan, pastinya tiada siapa mahu datang ke tempat kerja dan tiba-tiba diberitahu, "Anda diberhentikan kerja."

Atau, rutin biasa dilakukan setiap hari bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kilang yang selama ini menjadi tempat mencari rezeki tiba-tiba ditutup. Lebih teruk lagi, jika tiada sebarang notis atau amaran awal diberi.

Mengulas kemelut yang sedang melanda industri pekerjaan tanah air, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata jangan dilihat tindakan majikan memberhentikan pekerja sebagai satu yang negatif.

Sebaliknya, mereka yang ditamatkan perkhidmatan perlu mengambil peluang disediakan kerajaan untuk menimba kemahiran baru atau menceburi bidang lain bukan berkeluh kesah dengan dugaan yang melanda.

Pada masa sama, beliau mengingatkan majikan supaya lebih berperikemanusiaan dalam mengambil langkah memberhentikan pekerja dan biarlah tindakan yang diambil dilakukan secara terhormat serta tidak membelakangkan undang-undang.

"Kita perlu melihat pekerja sebagai manusia yang mempunyai naluri serta keperluan berbeza. Pekerja juga perlu dihormati, oleh itu, apa pun tindakan yang terpaksa diambil hendaklah dilakukan mengikut undang-undang," katanya.

Sementara tindakan majikan mengurangkan gaji adalah antara langkah dirasakan perlu buat masa ini, Shamsuddin berharap, pekerja dapat memberi sokongan terhadap usaha memastikan syarikat terus bernafas dan mereka tetap mempunyai pekerjaan serta pendapatan.

Katanya, langkah mengurangkan kos operasi dilakukan bukan atas dasar suka-suka, tetapi mengambil kira kepentingan pekerja walaupun ia bermakna mengurangkan bayaran gaji antara 20 hingga 30 peratus.

"Jika dilihat dari segi logik, buat masa ini mendapat 70 atau 80 peratus daripada gaji setiap akhir bulan masih memadai daripada hilang ditutup terus dan ini akan lebih menyusahkan. Harapan kita supaya pekerja memberi sokongan dan memastikan tidak ramai diberhentikan," katanya.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamed melahirkan pandangan berbeza kerana bukan semua terkesan dengan masalah krisis ekonomi global ini.

Justeru katanya, tidak adil situasi itu dijadikan alasan dengan membungkus semua dalam satu bungkusan dan MTUC akan terus memperjuangkan nasib pekerja melalui tema sambutan kali ini iaitu 'Hapuskan diskriminasi dan martabatkan hak pekerja'.

"Malaysia amalkan sistem ekonomi bebas dan terbuka, jadi apabila berlaku seperti di Amerika Syarikat, sebahagian kita memang terkena kesannya. Namun, itu tidak bermakna apabila keadaan begini berlaku, MTUC akan berhenti berjuang.

"Jangan terperangkap dalam satu kerangka fikiran apabila keadaan teruk, kita minta pekerja bersama menghadapinya. Waktu rugi, pekerja juga perlu menanggung kerugian, tetapi ketika untung kenapa tidak pekerja sama merasai keuntungan itu," katanya.

Beliau berkata, MTUC berpendapat pekerja masih lagi berada dalam tahap tidak dapat dibanggakan martabat mereka

terutama dari segi segi upah atau gaji yang jauh daripada cukup untuk menampung kehidupan.

Syed Shahir melahirkan harapan Hari Pekerja peringkat kebangsaan dapat membuka mata kerajaan untuk meningkatkan martabat pekerja dan cadangan MTUC untuk penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja yang diperjuangkan sejak 10 tahun lalu dipertimbangkan secara serius.