Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 Mei 2009

Masuk kampung Orang Asli


Daripada sebuah surau, jawatankuasa Masjid Al-Ghufran berjaya menggerakkan masjid itu dengan pelbagai aktiviti.


YANG di-Pertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin pernah menjadi tetamu kehormat dalam majlis anjuran Masjid Al-Ghufran.


SELAIN mahu dikenali sebagai masjid yang dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur moden, jawatankuasa pentadbir Masjid Al-Ghufran turut mengutamakan aktiviti berdakwah dalam kalendar program tahunan mereka.

Sejak tahun 2007, Program Dakwah Orang Asli di Bukit Kala, Batu 12, Gombak, Selangor yang dilaksanakan oleh Masjid Al-Ghufran berjaya membuahkan hasil.

Ini terbukti dengan pengislaman kira-kira 70 buah keluarga Orang Asli di kawasan itu berkat dakwah yang dilakukan oleh pihak pengurusan masjid berkenaan.

Program yang diilhamkan sendiri oleh Pengerusi Masjid Al-Ghufran, Hassanuddin Ali itu menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyebarkan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

"Alhamdulillah, matlamat kami untuk mengislamkan masyarakat Orang Asli di kawasan itu berjaya dicapai dengan izin Allah.

"Sekarang, kami dalam proses mengubahsuai sebuah surau yang dibina untuk penduduk di situ. Dengan itu, dapatlah mereka beribadat seperti solat jemaah, solat sunat Aidilfitri, Aidiladha dan lain-lain dengan selesa.

"Surau itu dibina hasil dana yang kami peroleh daripada bayaran sewaan kemudahan yang ada di Masjid Al-Ghufran," ujar Hassanuddin yang mengakui gembira dan bersyukur dengan kejayaan tersebut.


KAUM wanita saling membantu dalam majlis korban yang dianjurkan oleh Masjid Al-Ghufran.


Di samping program dakwah itu, jawatankuasa masjid juga aktif mengadakan pelbagai aktiviti seperti kuliah agama pada waktu Subuh dan Maghrib, kuliah bahasa Arab, tajwid, tadabbur, sirah dan fekah yang dikendalikan oleh ustaz jemputan pada setiap minggu.

Menurut Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Masjid Al-Ghufran, Bashah Awang, kuliah-kuliah ilmu tersebut turut dihadiri oleh jemaah dari luar Taman Tun Dr. Ismail.

"Ada di antara mereka yang hadir datangnya dari Bangi, Kajang dan Bukit Jelutong. Selain itu, kami turut menjalankan siri ceramah kesihatan, kelas masakan, kelas pemakaian tudung dan ceramah-ceramah khas mengenai isu terkini yang berlaku seperti murtad, bunuh diri dan lain-lain lagi.

"Pada setiap hari Rabu pula, jemaah wanita akan mengikuti tadarus al-Quran bermula pukul 9 hingga 10.30 pagi. Biasanya, jemaah akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan membaca mengikut surah atau juzuk tertentu.

"Insya-Allah, program ini akan terus diadakan sepanjang bulan Ramadan," jelas Bashah mengenai aktiviti yang dijalankan oleh pihak masjid.

Pada hari-hari tertentu seperti Maulidur Rasul, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban, jawatankuasa pentadbiran masjid juga tidak ketinggalan mengadakan sambutan sempena hari istimewa tersebut.


MASYARAKAT Orang Asli sering menjadi keutamaan dalam program dakwah anjuran Masjid Al-Ghufran. Selain itu, masjid ini turut aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.


Sebagai sebuah institusi keagamaan yang mempunyai imej tersendiri, Masjid Al-Ghufran sering menerima kunjungan orang kenamaan negara.

Malah, masjid ini pernah menerima kunjungan tiga sultan yang bergelar Yang di-Pertuan Agung sejak ia ditubuhkan iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan juga Sultan Mizan Zainal Abidin.