Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21 Mei 2009

Perancang perkahwinan


Oleh Hasnidarwina Hasim

Mula membudaya dalam masyarakat Melayu moden kini

MASYARAKAT Melayu memang terkenal dengan adat resam dan budaya sehingga lahir pepatah, biar mati anak, jangan mati adat, tetapi nilai sedemikian semakin luntur akibat asakan pemodenan yang berlaku apalagi ketika dunia dilanda langit terbuka.

Semangat bergotong-royong yang berakar umbi dalam diri masyarakat Melayu bagi menjayakan sesuatu acara termasuk kenduri-kendara turut dilanda perubahan apabila semakin ramai yang memilih menggunakan khidmat perancang perkahwinan.


Justeru muafakatnya sesama ahli keluarga dan penduduk sekampung bagi sesebuah majlis perkahwinan yang dijayakan secara bergotong-royong dulu, kini semakin terhakis apabila khidmat perancang perkahwinan digunakan bagi memenuhi selera bakal pengantin.

Kecenderungan mengadakan majlis perkahwinan mengikut konsep dan tema tertentu seperti Garden Wedding dan English Wedding semakin mendapat tempat dalam masyarakat Melayu bandar khususnya, hanya kerana mahu majlis mereka kelihatan bergaya dan bercita rasa tinggi.

Jika dulu, masyarakat Melayu terutamanya yang menetap di kawasan perkampungan, akan bermesyuarat bagi membahagikan tugas agar keluarga pengantin tidak terlalu terbeban dengan tugas menjelang hari bahagia itu, kini tugas itu dipikul sepenuhnya perancang perkahwinan.

Di luar sedar, masyarakat Melayu hakikatnya menggalakkan terhakisnya hubungan erat sesama ahli keluarga dan penduduk satu kariah serta semangat gotong-royong apabila khidmat perancang perkahwinan digunakan secara terus menerus.

Tutor Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Mohd Faizal Md Nor, melihat kecenderungan menggunakan perancang perkahwinan tidak mendatangkan masalah kerana ia relevan bagi masyarakat moden.

“Mereka perlu bergerak pantas dan kekangan masa kerana tuntutan kerjaya menyebabkan tidak banyak masa dapat diperuntukkan untuk berbincang sesama ahli keluarga mengenai persiapan dan memaksa mereka memilih mereka menggunakan khidmat perancang perkahwinan,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di pejabatnya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, sesetengah individu memilih menggunakan khidmat perancang perkahwinan kerana keluarga mereka tiada pengalaman menguruskan majlis seumpama itu dan ditambah pula jemputan mencecah ribuan orang serta mengelak risiko.

”Melalui perkhidmatan perancang perkahwinan banyak kerja dapat dipermudahkan. Tuan rumah atau mempelai tidak perlu risau akan penyediaan kelengkapan perkahwinan dan mereka hanya perlu memaklumkan kepada perancang perkahwinan mengikut harga dipersetujui,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohd Faizal tidak menafikan gaya hidup dan pengaruh luar terutamanya dari barat semakin mendominasi idea dan pemikiran pasangan muda masa kini, tambahan pula dengan kehadiran majalah seperti Wanita, Keluarga, Glam, Bazaar dan Faces.

“Beberapa majalah hiburan tempatan yang memaparkan fesyen terkini artis dan selebriti serta pakaian pengantin dan tema yang diketengahkan mempunyai pengaruh yang besar kepada bakal pengantin hari ini,” ujarnya.

Pensyarah Psikologi, Jabatan Asas Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rahil Mahyuddin pula berkata, setiap perkahwinan perlu ada perancangan terutama dari sudut kewangan agar tidak berlaku pembaziran.

“Jika dilihat dari sudut agama sekalipun, kita tidak digalakkan membazir dan tujuan majlis adalah untuk mengumumkan kepada masyarakat bahawa kita sedang meraikan pasangan yang bernikah secara sah dan majlis sewajarnya sederhana,” katanya.

Dr Rahil tidak menafikan masyarakat Melayu kini semakin terikut-ikut dengan budaya lain terutamanya barat yang sering dipaparkan dalam majalah fesyen dan pengantin yang dipasarkan di negara ini.

“Masyarakat kita mudah terpengaruh dengan perkahwinan artis yang diuar-uarkan sebagai ‘perkahwinan terindah sepanjang tahun’ dan cuba meniru sedangkan kenyataannya perkahwinan seseorang artis, kebanyakannya ditaja pihak berkepentingan,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan bakal pengantin agar tidak terperangkap dalam hutang hanya semata-mata mahukan majlis perkahwinan seumpama artis tertentu kerana kelompok terbabit tidak perlu berbelanja besar kerana sentiasa ada penaja.

“Saya berharap konsep bergotong-royong masyarakat dulu dihidupkan semula kerana melalui majlis perkahwinan hubungan silaturahim sesama jiran dapat dieratkan selain dapat membina masyarakat bersatu padu dan perpaduan ini akan menguatkan lagi jati diri bangsa kita,” tegasnya.

Baginya, walaupun perancang perkahwinan dapat membantu pasangan pengantin dalam memastikan majlis berjalan lancar, tetapi dalam masa sama ada kemungkinan keluarga kedua-dua pengantin akan berasa kecil hati dan tersinggung apabila berasa mereka tidak dibenarkan mencampuri sebarang urusan berkaitan majlis perkahwinan anak mereka.

”Relevan dari sudut kewangan, tetapi tapi tidak perlu menunjuk-nunjuk dengan majlis bertema secara besar-besaran kerana tidak semua saudara-mara pengantin dalam kelompok elit dan akan menyebabkan saudara mara dari kampung berasa tidak selesa.” ujarnya.