Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Ogos 2009

Berdakwah dalam bas


Oleh Hazirah Che Sab


Peserta program bergambar bersama Abdul Halid (berbaju batik) dan Tok Batin Andak Pendek, (baju hijau) dan penduduk Orang Asli Kuala Pangsun.

Pemimpin agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura laksanakan pendekatan dakwah mendekati golongan muda cara bersantai

TIDAK cukup ruang dan waktu sebenarnya untuk membicarakan soal remaja dengan perilaku masing-masing, baik atau buruk kerana golongan itu sukar diduga. Ketika mudah sangat terpengaruh dengan gejala negatif, hati mereka sebaliknya sekeras waja apabila dihadapkan dengan unsur agama dan moral.

Mereka mencipta 1,001 alasan untuk tidak terbabit dalam program berbentuk keagamaan yang dianggap menyekat kebebasan tanpa menyedari tindak tanduk berlandaskan al-Quran dan sunnah sebenarnya memberikan mereka erti kebebasan mutlak. Sukar benar menarik golongan berkenaan mendekati program berunsurkan agama, usah disebut mengenai ceramah, kuliah dan majlis ilmu. Justeru, pendekatan bagaimanakah yang sesuai melembutkan hati golongan yang satu hari nanti akan mengambil alih pentadbiran negara?


Membiarkan mereka terus hanyut nyata bukan pilihan kerana jiwa mereka perlu diisi dengan pengetahuan agama yang menjadi perisai paling ampuh menahan golongan berkenaan membawa diri menuju kehancuran.

Menyedari keperluan membekalkan golongan belia dan remaja dengan bekalan agama mencukupi untuk menyediakan mereka sebagai pemimpin masa depan, empat negara Asean - Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura - sepakat meneroka kaedah terbaik mendekati golongan muda masing-masing untuk menyampaikan dakwah dengan halus dan paling penting, disenangi mereka.

Lantaran itu, terhasillah program julung kali yang diberi nama Bas Belia MABIMS - singkatan kepada Menteri Agama

Peserta program Bas Belia MABIMS di Air Terjun Sungai Gabai.

Brunei, Indonesia, Malaysia,Singapura - dilancarkan dengan setiap negara menghantar lapan peserta tidak termasuk urus setia untuk menyertai pelbagai acara yang disusun selain bertukar pandangan dan cuba menerapkan bentuk dakwah yang diperoleh di setiap negara.

Program sepanjang lapan hari itu bermula di Singapura pada 6 Ogos lalu dan berakhir di Malaysia 14 Ogos lalu, sehari selepas berakhirnya Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra. Ia juga bersempena majlis sambutan ulang tahun MABIMS ke-20.

Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Halid Sintol, berkata pendekatan yang diambil melalui program ini tidak lari daripada konsep dakwah tetapi lebih sesuai dengan jiwa remaja.

"Belia adalah pemimpin negara pada masa depan. Kita tidak mahu negara diwariskan kepada belia yang rapuh iman dan jati dirinya. Memandangkan golongan itu tidak begitu tertarik dengan program agama yang biasa dianjurkan seperti ceramah, kuliah dan sebagainya, kita perlu tampil dengan cara lebih segar dan mudah diterima mereka.

"Lahirlah idea Bas Belia MABIMS ini yang pertama kali dicadangkan oleh Singapura pada mesyuarat pegawai kanan MABIMS di Yogyakarta pada November 2004. Ia boleh dikatakan sebagai satu program baru menggunakan pendekatan baru dan mencari sasaran baru.

"Pengisian program ini lebih kepada memberikan peluang kepada belia untuk bertukar pandangan mengenai sosial dan kebajikan untuk golongan itu. Di samping berdakwah, ia juga menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim belia empat negara ini.

"Dengan menggunakan bas sebagai medium pengangkutan, mereka boleh bercampur dan beramah mesra selain diberi pendedahan maklumat seperti tayangan video dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, wakil Malaysia dipilih daripada peserta yang menunjukkan komitmen serta minat yang tinggi dalam Program Kembara Dakwah yang dilaksanakan pada 3 hingga 10 Julai lalu.

Di Singapura, peserta program mengadakan aktiviti bermula 6 hingga pagi 9 Ogos sebelum bertolak ke Malaysia pada tengah harinya. Sepanjang hampir tiga hari itu, pengisiannya lebih kepada pembentangan kertas kerja oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), perkongsian idea mengenai usaha membangunkan belia dan perkara berkaitan.

Aktiviti di Malaysia bermula dengan sambutan hangat yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor sebelum bertolak ke Melaka pada hari sama untuk program seterusnya. Pada hari kelima program berkenaan, peserta dibawa melawat Institut Kemahiran Belia Negara Dusun Tua sebelum menjalani latihan fizikal melakukan jungle trekking di Sungai Gabai.

Seterusnya, mereka dibawa melawat perkampungan Orang Asli Kuala Pangsun, Ulu Langat dan disambut dengan persembahan tarian sewang. Rombongan turut dijamu dengan buah-buahan tempatan seperti durian, pulasan, langsat, rambutan dan manggis.

Sepanjang berada di Malaysia, peserta turut berpeluang mengikuti Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa yang berakhir 13 Ogos lalu selain melakukan lawatan ke agensi berkaitan agama seperti Universiti Sains Islam Malaysia, Bahagian HabHalal Jakim, Darul Quran dan Institut Profesional Baitulmal untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut mengenai fungsi masing-masing.

Diharapkan program seumpama ini tidak sekadar menjadi lawatan semata-mata tetapi hasilnya jauh daripada terlaksana.

Memetik kata-kata seorang urus setia Singapura, Adnan Abdul Hamid: "Kadang-kadang kita terlalu keras dengan remaja. Di sebalik penampilan rambut merah dan memakai subang serta pakaian tidak terurus, mereka sebenarnya ingin membuat kebaikan.

"Namun keinginan itu terbantut apabila kita menghalang mereka mendekati masjid dengan penampilan sebegitu. Apa salahnya alu-alukan keinginan mereka berbuat kebaikan.

Pedulikan dulu rambut merah dan subang mereka. Hargai keinginan mereka untuk membantu, jangan asingkan mereka sebaliknya layan seperti orang lain dan secara perlahan, kita mampu mengubah mereka kerana ketika itu mereka sudah mahu berubah." katanya.

Peserta program teruja

RATA-RATA peserta yang ditemui melahirkan rasa syukur, gembira dan teruja kerana terpilih menjadi peserta program Bas Belia MABIMS yang julung kali diadakan membabitkan empat negara Asean iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Nyata pada usia belia mereka, peserta menanam keazaman tinggi untuk mengembalikan syiar Islam melalui dakwah dalam usaha menarik golongan sebaya kembali mengamalkan tuntutan agama. Menariknya, dakwah yang dibuat bukan menerusi ceramah atau kuliah yang terbukti tidak diminati golongan belia, sebaliknya mendekati mereka dengan teknologi sedia ada seperti bertepatan dengan tema program itu sendiri iaitu 'Media Baru dan Teknologi Kreatif Dalam Mendekati dan Membangun Belia dan Remaja Islam'.

Peserta dari Malaysia, Khairil Anuar Ahmad, 20, penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), berkata dia gembira terpilih menyertai program berkenaan kerana mendapat banyak pengetahuan menggunakan teknologi dalam menyampaikan dakwah.

"Saya begitu tertarik dengan cara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mendidik belia dengan menjadikan golongan berkenaan sebagai peneraju masjid. Pendekatan dakwah mereka memang menarik dan berbeza.

"Muis menjadikan masjid untuk menyatukan belia Islam di negara itu dalam program yang diadakan. Saya kagum dengan cara yang digunakan untuk mengubah penampilan remaja secara perlahan-lahan.

Kelainan yang saya dapati ialah masjid di Malaysia cuma dikunjungi warga emas sebaliknya di Singapura, masjidnya dipenuhi golongan muda.

"Saya rasa banyak yang kita perlu pelajari dari Singapura bagaimana untuk berdakwah menerusi internet kerana ia lebih relevan dengan dunia sekarang," katanya.

Pandangan Khairil Anuar dipersetujui Siti Norilhamnizah Ayu Muhammad Zahari, 26, peserta wanita dari Pusat Dakwah Islamiah Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei yang turut teruja dengan sambutan hangat diterima di perkampungan Orang Asli.

Katanya, dia gembira dapat belajar cara Singapura mendekati golongan belia menerusi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

"Saya gembira terpilih dan rasa begitu dihargai dengan sambutan hangat yang diberikan kepada kami di Johor dan di kampung Orang Asli. Saya banyak belajar daripada program ini dan dapat bekerjasama dengan delegasi negara lain.

"Saya berhasrat mengadaptasi ilmu dan pendekatan dakwah yang diperoleh sepanjang program ini di Brunei dengan sedikit ubah suai supaya ia selari dengan keadaan dan budaya di negara saya.

"Berbeza dengan Singapura, kesedaran ICT di Brunei masih rendah dan untuk menggunakan teknologi seperti internet secara keseluruhan mungkin sukar. Namun masih ada yang boleh diguna pakai dan disesuaikan dengan keadaan di Brunei," katanya.

Pegawai Pembangunan Belia dan Dakwah Masjid Al-Istighfar Singapura, Khairil Amri Abdul Hamid, 25, berkata bertepatan dengan tema program itu, republik berkenaan bersedia berkongsi teknologi untuk mendekati belia.

"Kami dapat memberi penerangan kepada rakan lain yang menyertai program ini bagaimana kami menggunakan laman web sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menyebarkan dakwah dan mendekati belia.

"Kajian di Singapura mendapati 95 peratus remaja guna teknologi dan ia tidak sepatutnya disia-siakan kerana penyebaran menerusi cara itu lebih berkesan dan pantas," katanya yang turut menekankan keperluan masjid menjadi lebih mesra remaja.

Ketua Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah yang mewakili Indonesia, Dr Muhammad Ziyad, 38, menyifatkan kerjasama serumpun itu amat penting dalam menyediakan belia dengan ilmu bagi membolehkan mereka membawa visi menerajui negara.

Di Indonesia, pergerakan belia dipantau oleh jabatan agama, lembaga dakwah Islam, organisasi kemasyarakatan Islam dan pertubuhan Islam seperti Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah sendiri.

"Program seumpama ini wajar ditingkatkan, begitu juga dengan kegiatan keagamaan di pusat pengajian tinggi untuk memastikan golongan belia dapat berdepan dengan proses globalisasi yang bukan hanya dihadapi