Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 Ogos 2009

Lukisan debu


Oleh Hazirah Che Sab


Wade melukis sebuah kereta di dalam kereta.

Scott Wade jadikan kotoran lakaran menarik

KREATIVITI insan serba boleh menghasilkan sesuatu yang unik menggunakan benda di luar jangkauan akal, sememangnya menakjubkan. Tambahan pula bakat itu cuma hadir pada segelintir orang dan selebihnya hanya mampu mengagumi kebolehan itu.

Scott Wade misalnya, adalah antara insan yang memiliki kreativiti itu kerana mampu menukar kotoran yang terpalit pada cermin keretanya sebagai kanvas paling sempurna bagi menterjemahkan bakatnya.


Ketika ramai mengelak daripada memandu kereta di jalan berdebu kerana boleh mencacatkan penampilan kenderaan, Wade yang juga rakyat Amerika Syarikat berulang alik meredah jalan sedemikian bagi mengumpul kotoran.

Baginya, kotoran itu bukanlah satu gangguan, sebaliknya tempat beliau mempamerkan kepakarannya melakar dan mengumpulkan koleksi menakjubkan daripada imej sukar seperti lukisan Mona Lisa karya pelukis agung, Leonardo Da Vinci kepada potret Albert Einstein.

Imej yang dihasilkan Wade begitu mengagumkan sehingga mendorong pemandu dan penumpang keluar dari kereta masing-masing ketika berhenti di lampu isyarat untuk melihat dengan lebih dekat.

Antara karya kreatif Scott Wade

Beliau yang bertugas sebagai pereka grafik dari Wimberley, Texas, mampu menghasilkan lakaran termasuk wajah pemain bola sepak terkenal, Ronaldinho pada tingkap belakang keretanya serta isteri. Wade melukis menggunakan jari dan pelbagai berus lain.

"Hampir ke mana saja kami pergi, kereta kami pasti menjadi tumpuan orang ramai yang berkumpul untuk bergambar dan bertanya soalan. Pernah satu ketika, isteri saya berhenti di lampu merah dan orang di dalam kereta belakang keluar untuk mengambil gambar dengan kamera telefon bimbit mereka.

"Malah seorang lelaki pernah menghalang saya keluar dari tempat letak kereta, meminta saya menunggu sebentar kerana anak untuk membeli kamera pakai buang," kata Wade.

Wade memperuntukkan sehingga empat jam untuk menyempurnakan lukisan kotoran debu itu dan mengakui hujan lebat boleh memusnahkan kerja kerasnya dalam sekelip mata.

"Mengejutkan kerana angin ketika memandu tidak banyak menjejaskan lukisan itu tetapi hujan lebat boleh memusnahkannya. Kadang-kadang saya rasa agak kesal apabila lukisan itu dipadam tetapi juga berasa seronok kerana ia bermakna saya boleh membuat satu lukisan lain.

"Jika hari cerah, lukisan itu boleh bertahan sehingga sebulan tetapi ia akan terpadam perlahan-lahan dalam tempoh itu. Bentuk seni tidak kekal ini adalah antara perkara paling saya suka. Bagi perkara lain, ia membantu saya tidak memandangnya terlalu serius dan berseronok dengannya," kata Wade.

Wade tidak selalu menunggu keretanya menjadi kotor untuk mempamerkan kemahirannya itu. Malah beliau sering mengotorkan kenderaan itu bagi menghasilkan lakaran baru.

Tekniknya ialah dengan menyapu minyak pada tingkap, membeli beberapa beg tanah dan menggunakan pengering rambut untuk menerbangkan debu dan pasir ke tingkap berkenaan.

Proses itu lebih cepat dari tujuh hari yang diambil Wade untuk memperoleh kanvas 'semula jadi' dengan memandu berulang alik di trek berdebu.

"Saya sukakan 'kanvas semula jadi' tetapi kadang-kadang tidak praktikal untuk mencari jalan berdebu dan memandu melaluinya berulang kali untuk mengumpul kotoran. Ia mengambil masa seminggu untuk memperoleh kanvas sempurna - jika cuba lakukannya dalam masa sehari, debu tidak melekat pada tingkap," katanya.

Wade berkata, seni debu keretanya bermula sebagai contengan ringkas pada kotoran di tingkap belakang keretanya.

"Saya tinggal berhampiran jalan berdebu yang panjang lebih 20 tahun. Kereta kami selalu kotor dan saya selalu menconteng debu di tingkap belakang kereta. Selalunya saya melukis wajah lucu, kemudian mula mencuba dengan pelbagai cara untuk menggelapkan bahagian tertentu lukisan.

"Pada awalnya saya cuma menggunakan jari dan berus untuk mendapatkan tona kelabu. Pernah sekali kayu sebagai berus dan saya sukakan kesannya. Jadi, saya mula menggunakan berus lukisan dan akhirnya teknik jari yang saya sampai gunakan hari ini," katanya.