Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Ogos 2009

Nelayan bandar raya terakhir


Selepas 100 tahun, penduduk di Kampung Senibong terus berharap pada potensi ternakan siakap dan kupang mereka demi memanjangkan survival kampung pinggir laut terakhir di bandar raya Johor Bahru.




HANYA satu kilometer. Itulah jarak yang perlu dilalui oleh seseorang yang baru sahaja menghirup caramel macchiato di kafe Starbucks dekat pusat beli-belah Jaya Jusco Permas Jaya, untuk menjejakkan kaki ke sebuah kampung nelayan di bandar raya Johor Bahru.

Betapa dekatnya lokasi itu, perbatasan suasana kota moden yang sibuk akan segera ditinggalkan sejurus pengunjung yang berkenderaan memandu melewati selekoh berdekatan blok-blok kediaman mewah Kondominium The Straits View.

Persimpangan jalan raya yang berlampu isyarat pun kelihatan bertukar kepada laluan kampung yang dihiasi belukar liar dan pokok rimbun. Jelas sungguh kampung itu terasa tempias pembangunan di sekitarnya.

Aset utama di kampung itu jelas terletak pada suasananya yang tenang dan berciri tradisional.


RUMAH rakit Baharudin dilatari pemandangan kondominium The Straits View.


Selain ramai yang melepaskan 'gian' memegang joran dan beradu tenaga di sebuah kolam pancing air masin, tempat ini juga dikenali ramai kerana menawarkan pelbagai hidangan makanan laut.

"Ia popular khususnya pada hujung minggu di kalangan orang tempatan dan juga pengunjung dari Singapura yang hendak menjamu selera.




"Mereka seronok menghabiskan waktu senggang di sini sambil menyaksikan panorama seberang tambak," ujar Baharudin Hassan, 44.

Menurut pengusaha ikan dan kupang sangkar itu, Kampung Senibong yang mempunyai populasi seramai 400 orang yang menghuni kira-kira 80 buah rumah itu baru sahaja menyambut ulang tahun yang ke-100 pada Februari lalu.

Sambutan tersebut antara lain mengingatkan diri mereka sebagai warisan generasi nelayan yang sejak lama menghuni di sudut tanah pinggir laut itu.

Selat Tebrau pastinya sumber rezeki mereka. Aktiviti paling aktif di atas dada laut yang jarang berombak kuat itu adalah perusahaan ternakan kupang dan ikan sangkar.

"Ramai pasti bersetuju kalau saya katakan bahawa kupang dan ikan siakap yang diternak di perairan Kampung Senibong ini antara yang terbaik kualitinya.

"Walaupun hasil tuaiannya masih belum dapat menampung permintaan pasaran tempatan, ia tetap menjadi perhatian pemborong dari Singapura hinggalah ke Hong Kong," terang Baharudin.

Rahsia kupang Senibong

Kru Jurnal turut dipelawa ke rumah rakit di sangkar kupang dan ikan yang diusahakan Baharudin.

Bekas pelayar berpengalaman yang tahu selok-belok ilmu pembinaan ini sempat menerangkan serba sedikit tentang keistimewaan ternakan yang dijalankan oleh kira-kira 14 pengusaha sangkar di situ.

"Air di Selat Tebrau ini sangat ideal untuk ternakan kupang kerana kandungan garam yang mencukupi serta kehadiran mikroorganisma yang baik untuk pemakanannya.

"Arus yang tenang juga memudahkan benih kupang melekat pada tali sangkar.

"Terdapat lokasi ternakan lain di negara ini menghadapi masalah pencemaran air dan ketidaksesuaian kandungan garam. Akhirnya ia kupang akan mati dan gugur," jelasnya.

Baharudin berpendapat kerancakan projek pembangunan mampu memberi kesan terhadap pengusaha ternakan sangkar di kawasan Teluk Danga (sebelah barat Tambak Johor). Dia berharap agar Kampung Senibong tidak akan terkena impak pembangunan seperti itu.

Kalau ada jambatan gantung

Ramai maklum bahawa Tambak Johor tidak jadi dirobohkan dan jambatan gantung hanya tinggal keindahan pada khabar dan ilustrasi arkiteknya. Kisah jambatan itu juga mengundang pelbagai pendapat dan reaksi.

"Alangkah beruntungnya golongan nelayan dapat mencari rezeki melepasi sebelah tambak sana. Air pun boleh bertambah bersih kerana pengaliran arus yang sihat.

"Selain kupang, ternakan ikan juga lebih berpotensi kerana kualiti air yang bagus," kata Baharudin.


SELAIN kupang, penternak sangkar di Kampung Senibong juga mengusahakan ternakan siakap.


Namun, Pengarah Pejabat Perikanan Daerah Johor Bahru, Abdul Hamid Yasin, mempunyai teori yang sebaliknya.

"Walaupun ada kebenaran tentang kualiti air yang bertambah baik jika Tambak Johor dirobohkan, terfikir juga kalau arus itu akan menghanyutkan benih-benih kupang daripada melekat dengan subur di sangkar ternakan.

"Hari ini, pengeluaran kupang di Selat Tebrau menampung sehingga 80 peratus permintaan pasaran di seluruh negara dan diakui bermutu.

"Saya pernah terfikir jika teori itu benar dan akan memberi kesan," kata Abdul Hamid.


PEMANDANGAN lazim di kampung yang terkenal dengan ternakan kupang.



SIAKAP Senibong belum tentu cukup untuk kegunaan tempatan.


Begitupun, pihak jabatan perikanan sentiasa menjalankan kerja-kerja kajian dan pemantauan kualiti air bagi menyokong industri agrikultur di Selat Tebrau.

"Pihak kami setakat ini lebih banyak menumpukan perhatian di sebelah kawasan Danga, terutama bagi memastikan proses pembangunan yang berlangsung di situ tidak terlalu teruk menjejaskan kualiti air, habitat semula jadi dan kepentingan golongan nelayan.


PROJEK naik taraf sistem perparitan sedang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru.


"Kampung Senibong sehingga kini belum 'diganggu' pembangunan yang berisiko," jelas Abdul Hamid.

Bagi orang luar, Kampung Senibong adalah tempat untuk menjamu selera di restoran makanan laut, bertemu nelayan sangkar, dan lokasi untuk menghela nafas tenang.


KUPANG Senibong popular di restoran-restoran makanan laut.


Tetapi bagi penduduknya pula, kampung mereka adalah tempat tumpahnya rasa cinta pada keluarga dan kehidupan kerana tinggal itu sahaja yang mahu mereka pertahankan.

Dalam pada menghitung hari dan menduga nasib tentang masa depan Kampung Senibong untuk tempoh lima atau 10 tahun lagi, penduduknya tetap ramah menyambut kunjungan orang luar ke halaman mereka.