Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

24 September 2009

Khidmat menyewa rahim



SESETENGAH negeri di Amerika Syarikat mengharamkan perkhidmatan ibu tumpang meskipun permintaannya meningkat.


DUDUK di anjung rumahnya, Brandy Hummel yang berusia 26 tahun mengusap perut untuk menenangkan bayi-bayi dalam kandungannya. Tetapi kembar yang semakin membesar itu makin rancak menendangnya. Walaubagaimanapun, kembar itu bukan anak-anaknya.

Mereka telah diimplan ke dalam rahim Hummel kira-kira enam bulan yang lalu di samping embrionya disuburkan, selepas dia bersetuju untuk menjadi ibu tumpang kepada sepasang suami isteri yang tinggal kira-kira 400 kilometer dari kota New York.

Kontrak tersebut yang menjalani proses saringan intensif itu telah dilaksanakan oleh seorang peguam, Melissa Brisman dari New Jersey.

Tindakan membayar wanita bagi tujuan 'menyewa' organ reproduktifnya diharamkan di beberapa buah negeri di Amerika Syarikat (AS) termasuk New York. Tetapi undang-undang di tempat-tempat lain seperti Pennsylvania, tempat tinggal Hummel pula bersifat mesra ibu tumpang.

Kelahiran

Pejabat Brisman mengendalikan lebih 150 kelahiran seperti itu setiap tahun. Dia menganggarkan kemungkinan terdapat sebanyak 6,000 kelahiran sebegitu di AS setahun.

Angka rasmi secara signifikan pula menunjukkan anggaran yang lebih rendah kerana kebanyakan kelahiran daripada ibu tumpang tidak dilaporkan. Tetapi berdasarkan pengalaman Brisman selama hampir 13 tahun mengatur 'aktiviti' itu, dia menyaksikan peningkatan permintaan yang dramatik.

Kebanyakan perimintaan itu berlaku dalam kalangan pasangan sama jantina, selain mereka yang datang dari negara-negara yang mengharamkan kegiatan ibu tumpang.

Amalan tersebut turut menarik minat orang ramai. Terima kasih kepada bintang siri televisyen Sex and the City, Sarah Jessica Parker yang mempunyai anak kembar perempuan bersama suaminya iaitu Matthew Broderick menerusi ibu tumpang.

Hamil

Bagi kebanyakan wanita, ibu tumpang merupakan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menimang anak apabila mereka tidak boleh hamil secara semula jadi.

Setelah sembuh daripada kanser, Dina Feivelson, ibu kandung kepada dua anak kembar itu sudah bersedia untuk memulakan keluarga baru bersama suaminya.


TERDAPAT kes ibu-ibu tumpang yang enggan mengembalikan bayi-bayi yang dilahirkan kepada ibu bapa mereka. - Gambar hiasan


Tetapi para doktor menasihatinya supaya tidak hamil kerana mendedahkan risiko kepada dirinya. Justeru, dia membuat keputusan untuk mencari seseorang yang mampu membantunya untuk mencapai impian menjadi seorang ibu.

"Kami mempunyai kira-kira 24 embrio yang telah dibekukan," jelasnya sambil duduk di atas sofa, dikelilingi oleh kepingan-kepingan gambar sonogram yang dihantar Hummel pada setiap beberapa minggu. "Kami perlu mencari jalan untuk membentuk embrio-embrio tersebut menjadi bayi.

Untuk melangsaikan kos perubatan dan bil-bil Hummel, pasangan Feivelson membayarnya sebanyak AS$2,100 (RM7,350) sebulan sepanjang tempoh menjadi ibu tumpang termasuk prosedur persenyawaan tabung uji.

Mereka hidup selesa dalam rumah yang baru dibina, kedua-duanya bekerjaya dan mempunyai wang yang mencukupi untuk menyara hidup.

Kebanyakan orang yang terlibat dalam 'aktiviti' ibu tumpang menegaskan rasa bermurah hati merupakan satu elemen yang penting.

"Saya berharap akan ada orang akan buat perkara yang sama jika saya tidak boleh hamil anak sendiri," kata Hummel.

"Saya suka mengandung. Saya berasa sangat sihat ketika hamil," ujar Hummel yang kini sibuk menjaga bayi kembar dan anaknya sendiri. Hummel tiada perancangan untuk menambah bilangan anaknya.

Ibu tumpang

Hummel pertama kali mendengar mengenai ibu tumpang di salah sebuah pusat penjagaan harian sewaktu menghantar anak lelakinya. Wanita yang mengurus pusat tersebut juga menjadi ibu tumpang kepada satu pasangan lain.

Namun, beberapa kontroversi tercetus dalam beberapa kes ibu tumpang yang enggan mengembalikan bayi-bayi tersebut setelah melahirkannya.

Sehubungan itu, agensi-agensi seperti Brisman meminta ibu-ibu tumpang supaya menjalani ujian psikologi secara intensif sebagai tambahan kepada penilaian kesihatan fizikal.

Pejabatnya menerima di antara 50 hingga 100 permohonan daripada mereka yang berpotensi menjadi ibu tumpang pada setiap minggu. Temuduga yang membabitkan 10 hingga 20 orang wanita akhirnya kira-kira lima atau enam orang akan diterima sebagai ibu tumpang.

Brisman yakin bahawa proses saringan untuk ibu-ibu tumpang terutama penilaian psikologi memastikan penyerahan bayi berjalan lancar.

"Setakat ini, saya tidak berdepan dengan ibu tumpang yang enggan menyerahkan bayi yang lahir," katanya.

Dalam kebanyakan kes, hak ibu-ibu tumpang akan dihapuskan semasa dia masih mengandung. Ia dilakukan supaya jika ibu bapa sebenar tidak menuntut bayi tersebut, bayi berkenaan akan berada di bawah jagaan seorang penjaga yang dilantik oleh ibu bapa tersebut.

Setiap kontrak dihasilkan mengikut keperluan semua pihak yang terlibat. Kontrak akan menyatakan dengan jelas tentang keselamatan ibu tumpang, masalah keguguran atau komplikasi lain yang memerlukan proses perubatan tambahan.

Dalam kontrak mereka, Feivelson dan Hummel bersetuju untuk terus berhubung antara satu sama lain setelah kelahiran bayi kembar berkenaan. Justeru, Brandy dan suaminya, Mark boleh melihat perkembangan kembar itu menerusi foto dan poskad.

"Kami memang mempunyai hubungan yang baik," kata Dina Feivelson. "Saya cukup menghormatinya kerana itu badannya. Balasannya, dia mengakui kembar tersebut sebagai anak kami'" ujarnya.