Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

24 September 2009

Meriam buluh sukan nakal


Oleh Nazmi Yaakub

Mainan budak kampung sempena Ramadan dan Syawal

MERIAM buluh adalah sebahagian daripada 'sukan nakal' dalam budaya Melayu ketika menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal sehingga ada yang sanggup menanggung risiko semata-mata untuk mendapatkan kepuasan mendengar bunyi dentuman termasuk 'berperang' dengan rakan seusia sama ada sekampung atau dari kampung jiran.

Meskipun permainan meriam buluh mempunyai risiko yang merisaukan ibu bapa dan membingitkan telinga, ia ada kedudukan tersendiri dalam usaha memeriahkan Ramadan, terutama masyarakat Melayu dulu yang belum disentuh kemajuan dan kemodenan.


Ini kerana meriam buluh bukan saja menjadi antara segelintir hiburan yang ada pada orang Melayu, bahkan turut menjadi tanda dan isyarat kepada masyarakat di kampung untuk mengetahui waktu penting dalam bulan puasa berkenaan.

Ketua 1 Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata budaya meletupkan meriam buluh yang menjadi tradisi di Kampung Awat, Segamat sepanjang Ramadan membantu penduduk memberi isyarat masuknya waktu berbuka puasa dan mengejutkan penduduk bangun bersahur.

“Lagipun orang dulu bermain meriam buluh sekadar untuk berhibur seadanya, selain memeriahkan kedatangan dan sambutan Ramadan yang sangat dinanti-nantikan ketibaannya setahun sekali dan bukannya untuk ‘berpesta’ sehingga mencederakan diri seperti sekarang,” katanya.

Amiruddin menjelaskan, buluh yang digunakan sebagai meriam juga tebal sehingga tidak mudah pecah, berbeza dengan remaja kini yang tidak mengira ketebalan buluh sehingga buluh bersaiz kecil pun ‘dibedal’ sehingga ada kalanya mereka cedera.

“Mencari buluh yang sesuai untuk dijadikan laras meriam tidaklah sukar kerana tanaman itu banyak tumbuh di sekitar kampung. Sekiranya orang kampung melihat meriam buluh yang dijadikan permainan budak-budak, mereka tidak akan membuangnya, tambahan orang tua sentiasa memberi nasihat kepada kami,” katanya.

Pengalaman itu sedikit berbeza dengan Penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abdul Ghaffar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi yang mengakui ibu bapa pada zaman kanak-kanaknya di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, pada 1950-an tidak senang hati dengan ‘sukan nakal’ itu, tetapi tidak sampai mengongkong mereka.

“Memang ada yang cedera akibat meriam buluh atau meriam katak seperti yang kami panggil sehingga dihantar ke hospital, tetapi ia tidak menghalang kami meneruskan permainan itu. Lazimnya kecederaan berlaku apabila laras meriam pecah dan lebih berbahaya jika terkenan karbait kerana ia boleh melecurkan kulit,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Fakulti Seni Kreatif dan Artistik (FTKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam, dekat sini.

Bagi mengelakkan buluh pecah, mereka mencari buluh yang tebal, tetapi ketebalannya tidaklah sampai menyebabkan ia mengurangkan kekuatan bunyinya dan untuk menyukarkan buluh berkenaan daripada pecah, kanak-kanak zaman itu mengikat hujungnya dengan dawai.

“Selepas membuat takikan pada buluh, kami menggunakan besi yang panas untuk membentuk lubang yang sempurna kerana ketebalan itu menyukarkan kami berbuat demikian. Kedudukan meriam katak itu sama dengan meriam sebenar dan selalunya kami mengalasnya dengan daun rumbia untuk mengelakkannya daripada terhempas dengan kuat,” katanya.

Agi berkata, meriam itu selalunya dihalakan ke arah kampung jiran, Kampung Sesapan Batu Rembau, untuk bertanding meriam siapakah yang paling kuat meletup sehingga menyebabkan kanak-kanak dan remaja seusia mereka dari kampung terbabit berasa kagum.

“Bagaimanapun, kami tidak akan meletupkan meriam buluh ketika solat Tarawih kerana tidak mahu imam menyampaikan ‘pesan’ kepada ibu bapa yang sudah tentu memalukan mereka. Kanak-kanak yang dikejutkan sahur dan tidak menolong di dapur, akan meletupkan meriam buluh sehingga penduduk kampung terkejut untuk bangun bersahur,” katanya.