Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Januari 2010

Pelihara sensitiviti beragama


BIAR pun mahkamah menangguhkan sementara keputusan membenarkan akhbar Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, namun isu tersebut tidak terhenti begitu sahaja.

Ia masih hangat diperkatakan apatah lagi selepas berlakunya insiden membakar gereja dan merosakkan surau oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang menganut agama berbeza, isu penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam sememangnya menimbulkan kontroversi dan jika gagal ditangani secara bijak boleh saja mengheret tragedi lebih besar.

Paling dibimbangi, isu tersebut akan menjejaskan keharmonian antara kaum sekali gus memberi kesan kepada keamanan serta pembangunan negara. Di Kuala Lumpur, wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID menembual Dr. Uthman El Muhammady bagi mendapat pandangan beliau berhubung isu tersebut dan sejauh mana kesannya terhadap keharmonian agama di kalangan rakyat negara ini. Tokoh Maal Hijrah 2005 itu menegaskan bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya memaki berhala dan objek ketuhanan orang lain. Uthman juga menarik perhatian mengenai usaha yang sepatutnya diberi tumpuan oleh umat Islam iaitu kembali bersatu padu ke arah memupuk toleransi lebih tulen. Uthman juga mengingatkan umat Islam supaya menjadi lebih beradab, bertenang dan jangan biadab ketika berhadapan dengan isu seperti itu.

Wartawan HAMDEN RAMLI di Kota Kinabalu, Sabah pula meninjau pandangan tokoh Kristian, Webley Disim mengenai isu tersebut dan pendiriannya tentang saranan supaya tuntutan penggunaan kalimah Allah digugurkan. Tokoh itu berterus terang tentang kebimbangannya terhadap isu tersebut yang dilihat telah merebak kepada isu-isu lain sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum. Bagi penggiat agama Kristian itu, kebebasan mengamalkan ajaran agama di kalangan rakyat Malaysia adalah jelas, justeru sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama termasuk menghina agama lain perlu dihentikan segera.

MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat isu perebutan penggunaan kalimah Allah?

UTHMAN: Barangkali sebelum kita terus kepada isu ini kita perlu memandang ke belakang untuk memahami mengapa suasana seperti ini timbul. Masalah ini timbul kerana masyarakat kita mula melihat kekuasaan sudah nampak menjadi lebih tipis berbanding dulu. Dan bila kekuasaan itu kelihatan tipis, pihak lain timbul keberanian untuk mengambil peluang membuat tuntutan-tuntutan. Kenapa pula kebelakangan ini kekuasaan menjadi semakin tipis. Ia kerana masyarakat kita dipecahkan. Mereka mempunyai pendapat berlainan dalam perkara-perkara pokok berkaitan dengan agama, kesetiaan kepada negara dan kemaslahatan umat.

Jika kita pergi ke belakang lagi kita lihat punca pendapat-pendapat ini jadi berbeza. Ini berlaku kerana wacana yang menjadi intipati dalam tamadun kita sudah terpecah. Mengapa wacana itu terpecah? Ini kerana sesetengah dari orang kita sudah menerima wacana berlainan dari dulu yang menjadi arus perdana iaitu Ahli Sunnah. Wacana yang baru ini berlainan dengan Ahli Sunnah dan ia menjadikan orang berani mempersoalkan kekuasaan sultan, Majlis Fatwa dan pemimpin negara. Di dalam al-Quran ia disebut Ulul Amri. Ini mengakibatkan orang mula berani menyanggah kekuasaan raja dan pemimpin.

Maka kini kita lihat ada orang yang berani selepas sembahyang Jumaat bertindak menyekat kereta pemimpin dan keluarga diraja. Pada hal dalam tamadun kita dahulu kesepaduan wacana ini jelas terbayang dalam kata- kata tradisional iaitu hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitabullah. Ini adalah satu gabungan yang sangat lengkap dan bersepadu.

Mengapa tuntutan ini perlu digugurkan?

UTHMAN: Kita boleh lihat betapa tidak munasabahnya tuntutan ini terutama dengan budaya di Semenanjung. Walau apa pun pendapat yang diberikan, orang Melayu mempunyai satu sikap yang sangat kental tentang agama dan budayanya. Sehinggakan seorang penulis barat Dr. Thomas Arnold dalam bukunya The Preaching of Islam menyebut di kalangan bangsa Melayu Semenanjung, mereka begitu kuat menjaga disiplin agama. Malah kita boleh lihat nama negeri pun seperti Kedah di letak Darul Aman di belakangnya, Terengganu Darul Iman dan sebagainya.

Mana ada negara lain di dunia yang negeri di bawahnya dipadan dengan nama-nama yang berkait dengan agama. Oleh itu dalam konteks budaya, tuntutan ini tidak patut dilakukan. Dan mereka yang tidak bersetuju dengan langkah membenarkan penggunaan kalimah Allah pula ada banyak sebab. Pertama takrif nama Allah itu dalam ajaran Islam adalah jelas dalam surah Al-Ikhlas. Ia jelas bahawa Allah itu Esa, tidak ada dua atau tiga. Allah adalah kekal abadi dan tidak melahir dan dilahirkan serta tidak menyerupai sesiapa. Maka kalau dibenarkan seruan itu selain daripada Allah maka itu adalah pencabulan yang kekal abadi dalam kitabullah.

Jika kita memberi kebenaran untuk orang lain menggunakan kalimah Allah ia umpama menghina Tuhan bagi orang Islam. Apatah lagi dengan cara menggunakan kalimah Allah untuk objek- objek yang tidak benar. Ini adalah satu kesalahan yang besar kepada kita sebagai orang yang mempunyai kekuasaan membenarkan orang lain menyalahguna nama Allah secara tidak langsung.

Nama Allah itu begitu agung sehingga bagi umat Islam untuk dibawa ke dalam tandas pun tidak boleh. Jadi adakah munasabah kita mahu membenarkan orang lain untuk mengguna pakai kalimah Allah. Selagi kita ada kekuasaan selagi itu kita perlu mempertahankannya sampai habis dengan sedaya upaya. Maka jika orang kita tidak faham tentang perkara ini maka ia adalah satu kesilapan besar bagi kita atau saya panggil muflis dari segi rohani dan naif intelektualnya.

Ada juga orang Islam yang bersetuju supaya kalimah Allah ini digunakan oleh pihak bukan Islam. Apa pandangan Dr.?

UTHMAN: Adalah tidak kena jika kita membandingkan dengan budaya yang diamalkan di Asia Barat. Walaupun ia sudah menjadi satu lumrah antara agama yang berlainan. Tetapi itu adalah soal budaya. Ini kerana mereka semua bercakap bahasa Arab. Jadi jika kita menggunakan satu budaya yang berbeza dengan kita dan mengambilnya sebagai contoh untuk membenarkannya maka tidak betul kerana ia membabitkan soal kelainan budaya.