Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 Mac 2009

Asean guna semula






HUA HIN (Thailand): Desakan pemimpin Asia Tenggara supaya tindakan dilaksanakan bagi menangani krisis kewangan dunia mungkin tidak banyak membantu menyelamat ekonomi negara anggota Asean yang bergantung terhadap eksport mereka.

Sepuluh anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) itu membuat kenyataan bersama selepas persidangan tahunan yang berakhir semalam, mendesak kerjasama, reformasi sistem kewangan antarabangsa dan perubahan dasar perlindungan produk.

Namun, permintaan yang menurun daripada pengimport utama, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memperlihatkan kerapuhan negara Asean melindungi jutaan pekerja yang kini berdepan risiko dibuang kerja.

“Mereka boleh mencuba untuk melawan keadaan ini tapi hakikatnya, tidak banyak kerjasama yang mereka mampu laksanakan. Saya tak percaya kenyataan yang mereka suarakan itu akan membawa perubahan serta-merta. Masalah pada masa ini amat meruncing,” kata penganalisis Ekonomi Asia yang beribu pejabat di Singapura, David Cohen.




Jika sebelum ini, situasi rantau Asean agak stabil, Asia Tenggara kini mula merasai kesan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia. Singapura kini mengalami kemelesetan ekonomi dan nilai eksportnya dilapor jatuh 35 peratus pada Januari, kejatuhan tertinggi sejak kerajaan menyimpan rekod eksport sejak 30 tahun lalu.

Thailand, ekonomi kedua terbesar Asean pula mengalami penyusutan ekonomi pada suku terakhir tahun lalu dan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva memberi amaran ia mungkin berulang pada suku pertama tahun ini.

Satu daripada langkah terbaik yang diambil Asean ialah bersetuju dengan China, Jepun dan Korea Selatan meningkatkan dana kecemasan kepada RM420 bilion pada hujung tahun ini.

Penganalisis Universiti John Hopkins, AS, Bridget Welsh bagaimanapun menyatakan, Asean masih menggunakan pendekatan sama seperti yang dilaksanakan ketika berdepan krisis kewangan Asia 1997.

“Asean masih tidak menerima realiti krisis yang dihadapinya. Langkah pertama iaitu mengadakan dialog telah diadakan tapi pendekatan yang dilaksana tidak setaraf dengan kesan yang dihadapi sekali gus menunjukkan ketidakpekaan terhadap kesan kemelesetan ekonomi yang dihadapi rantau itu,” katanya.

Satu-satunya langkah yang dilaksanakan ialah menandantangani perjanjian dagangan bebas dengan Australia dan New Zealand yang dianggap Welsh sebagai hanya satu simbol tapi tidak bermakna.

Abhisit turut menetapkan beberapa pendekatan lagi, termasuk meminta setiap negara Asean memaklumkan kepada negara anggota pendekatan dan polisi ekonomi yang dilaksanakannya selain pada masa sama memantau sebarang kemungkinan perlindungan produk berlaku.

Penganalisis Thailand, Aat Pisanwanich menyatakan, pelan Asean menubuhkan pakatan seperti Kesatuan Eropah menjelang 2015 yang disahkan dalam deklarasi ditandatangani pemimpin negara itu semalam dilihat sebagai langkah penting melindungi rantau itu daripada masalah ekonomi di masa akan datang.

“Kita perlu tingkatkan penggunaan menyeluruh Asean dan mengurangkan penggantungan import oleh AS dan pasaran Eropah,” kata Pengarah Kajian Dagangan Antarabangsa Universiti Dewan Dagangan Thailand itu.

Namun Cohen berkata, desakan Asean supaya kerjasama antarabangsa dan serantau ditingkatkan mungkin tidak memperoleh sambutan terutama kerana mereka lebih cenderung memastikan kestabilan di tanah air sendiri.

“Mungkin perjanjian pelaksanaan pakatan global hanya dapat dilihat pada mesyuarat G20 yang berlangsung di London bulan depan. Bagi Asean, ia tidak mampu membawa sebarang perubahan pada masa ini,” katanya lagi. - AFP

Samseng sekolah


Oleh Suliati Asri



ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, saban tahun, ada saja kes pergaduhan membabitkan pelajar.
Malah, jika menatap akhbar sepanjang minggu lalu, banyak kes membabitkan pergaduhan pelajar sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, saban tahun, ada saja kes pergaduhan membabitkan pelajar.

Malah, jika menatap akhbar sepanjang minggu lalu, banyak kes membabitkan pergaduhan pelajar sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.


Terbaru, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia selepas seminggu koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja yang dipercayai pelajar sekolah.

Apakah ini trend pelajar masa kini, hanya berebut seorang gadis, pelajar terbabit dipukul dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain ditendang tanpa belas kasihan.

Ada pula pengawas sekolah dibelasah 10 pelajar berikutan tidak puas hati ditegur ketika membuat bising di dalam kelas dan kereta baru guru sebuah sekolah dibakar kerana ditegur tidak menyiapkan kerja sekolah.

Walaupun masih berhingus, jangan terkejut jika pelajar sekolah mempunyai kumpulan atau geng tertentu untuk melakukan huru-hara.

Mengapa fenomena sedemikian boleh berlaku. Tidak cukupkan pendidikan agama dan moral yang mereka pelajari di sekolah dan di rumah?

Apa yang mereka mahu sehingga sanggup terbabit dengan kes yang membawa kepada kematian. Adakah mereka ini jahat, ingin menunjukkan mereka punya kuasa atau mahu menarik perhatian masyarakat?

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, berkata pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini bukan jahat tetapi ingin menunjukkan mereka kuat dan punya kuasa.

Beliau berkata, seseorang pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini akan berasa selamat dan bangga kerana mereka digeruni pelajar lain.

"Sebagai pelajar, mereka punya naluri untuk menjadi seorang yang digeruni dan dikenali di sekolah.

"Selain menjadi pelajar cemerlang, seseorang itu akan menjadi terkenal di sekolah kerana masalah disiplin yang dilakukan. Inilah yang mereka mahukan.

"Pergaduhan juga boleh membuktikan mereka adalah kumpulan yang kuat dan berasa setiap tindakan dilakukan adalah benar.

"Ia juga satu cara untuk memberi pengajaran kepada sesiapa yang menimbulkan masalah kepada kumpulan samseng sekolah ini dan simbol kekuatan kumpulannya," katanya.

Namun, ada sesetengah pelajar yang menyertai kumpulan samseng sekolah hanya untuk menjaga keselamatan diri sendiri.

Ini kerana, semangat setia kawan kumpulan samseng pelajar ini kuat dan apabila seorang ahlinya diganggu pelajar lain, mereka akan sedaya upaya mempertahankannya dan itulah punca yang mencetuskan pergaduhan.

Dr Suradi berkata, masalah samseng sekolah ini bukan saja disebabkan ingin menunjukkan kekuatan tetapi dipengaruhi pelbagai faktor lain terutama faktor keluarga dan persekitaran.

"Setiap masyarakat terutama di negara kita punya cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ada yang menyelesaikan masalah dengan cara baik dan apa pula yang menggunakan kekerasan.

"Kemungkinan pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini datangnya daripada keluarga dan tempat tinggal yang menjadikan keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah.

"Apa yang mereka lihat, ia sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan mereka ketika berhadapan dengan masalah," katanya.

Di samping itu juga, pengaruh daripada media massa salah satu faktor yang menjadi penyebab masalah samseng sekolah ini.

Jika diperhatikan, kebanyakan drama atau filem yang disiarkan di kaca televisyen sering menunjukkan setiap babak pertelingkahan akan diakhiri dengan pergaduhan.

Walaupun masalah ini bukanlah perkara baru, tindakan sewajarnya perlu diambil agar masalah keganasan samseng sekolah ini dapat diselesaikan.

Oleh itu, Dr Suradi berkata, bagi menyelesaikan masalah ini, kaunseling bukanlah jalan terbaik sebaliknya mereka ini perlu mengikuti program psikologi.

"Biasanya, masalah disiplin pelajar akan dirujuk kepada sesi kaunseling tetapi bergantung kepada keadaan kes.

"Mereka ini bukanlah bermasalah tetapi pembawa masalah. Oleh itu, kaunseling bukanlah jalan yang terbaik dalam mengatasi masalah samseng sekolah ini.

"Melalui psikologi, kita menggunakan program 'Intervensi Psikologi' untuk membawa pelajar ke pangkal jalan," katanya.

Intervensi Psikologi akan mendedahkan pelajar dengan program yang dapat membantu mereka lebih matang dan menjauhkan diri daripada kekerasan dan keganasan.

Sementara itu, Mohd Firdaus (bukan nama sebenar) yang pernah terbabit dengan kumpulan samseng sekolah lapan tahun lalu berkata, seseorang pelajar itu tidak akan bertindak ganas jika tidak dicabar pihak lain.

Menurutnya, sebagai remaja, kekuatan dan kuasa penting dalam kehidupan terutama di sekolah. Justeru jika terbabit dengan kes pergaduhan, ia memberikan satu kepuasan dan kebanggaan.

"Biasanya, sesuatu pergaduhan tercetus kerana dicabar pihak lawan ataupun mereka mengusik dan mengganggu kumpulan samseng sekolah ini.

"Selepas cabar mencabar, sesi pertemuan yang didalangi orang tengah akan dirancang dan di situlah pergaduhan tercetus," katanya.

Menurut Mohd Firdaus yang pernah dipenjara seminggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selepas membelasah pihak lawan, tidak ada apa yang dirasainya kecuali kepuasan.

Namun, selepas pergaduhan itu menjadi kes polis, barulah perasaan menyesal itu timbul.

Oleh itu, Mohd Firdaus berharap pelajar yang baru atau terbabit dengan samseng sekolah ini meninggalkan kumpulan itu demi masa depan.

"Semua orang inginkan kuasa dan nampak kuat. Namun, jangan kerana mengejar kuasa itu, kita hancurkan masa depan dan menghampakan harapan orang tua kita.

"Jangan terlalu ikutkan darah muda yang kononnya hanya boleh dirasai sekali seumur hidup kerana ia akan merosakkan dan meninggalkan kesan mendalam sepanjang hidup," katanya.