Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 April 2009

Pasukan antirempit


PDRM Kontinjen Pulau Pinang menubuhkan Skuad 42 iaitu pasukan khas trafik bagi membanteras kegiatan lumba haram di negeri itu.


SESETENGAH mat rempit sanggup melarikan diri dengan kecederaan yang dialami bagi menyelamatkan diri daripada ditahan polis.


Kegiatan lumba haram yang berkait rapat dengan tingkah laku liar mat rempit merupakan gejala sosial yang kian menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Lebih meresahkan, kebanyakan individu yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini ialah remaja dalam lingkungan belasan tahun.

Pihak berkuasa menjalankan pelbagai usaha untuk menangani gejala sosial yang kini menjadi masalah ketara di dalam negara, namun ia masih berleluasa dan seolah-olah mereka yang terlibat tidak langsung takut dengan undang-undang.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras gejala negatif ini, walaupun penguatkuasaan harian secara rutin dan ad-hoc dilakukan, berpendapat satu tindakan yang benar-benar tegas perlu diambil untuk membendungnya.

Sehubungan itu, PDRM Kontinjen Pulau Pinang menubuhkan Skuad 42 iaitu pasukan khas trafik bagi membanteras kegiatan lumba haram di negeri itu.

Pasukan khas yang namanya mengambil sempena Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 melibatkan kesalahan menunggang secara berbahaya dan melulu kini berusia lebih setahun. Ia diwujudkan sejak 4 Januari tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, banyak kejayaan yang dicapai dalam usaha membanteras gejala lumba haram di sekitar negeri ini.

Skuad 42

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, tujuan penubuhan Skuad 42 ini adalah untuk menyelaras perancangan dan tindakan yang perlu diambil oleh pasukan khas trafik Pulau Pinang dalam menangani masalah lumba haram.

"Skuad 42 dianggotai tiga orang pegawai dan 21 anggota, dibahagikan kepada dua pasukan yang ditempatkan di tanah besar (daerah Seberang Perai Tengah, Utara dan Selatan) dan pulau (daerah Timur Laut dan Barat Daya)," katanya.

Beliau berkata, selain menjalankan rondaan, membuat tangkapan, mengeluarkan saman dan mendapatkan maklumat risikan, pasukan khas ini juga menjalankan penyamaran bagi mengenal pasti lokasi tertentu aktiviti lumba haram.

"Tangkapan yang dibuat ke atas pelumba haram ialah mengikut kesalahan di bawah APJ 1987 ataupun kanun keseksaan manakala proses tangkapan juga mengikut Kanun Prosedur Jenayah," kata Wan Aziz.

Operasi, tangkapan dan kejayaan

Wan Aziz berkata, sejak penubuhan Skuad 42 pada awal Januari 2008 hingga 23 Februari lalu, skuad ini mengadakan 687 operasi.

Sebanyak 40,509 kenderaan diperiksa dan 963 kenderaan disita.

"Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 18,883 saman dikeluarkan dan 367 tangkapan dilakukan. Daripada jumlah tangkapan, 269 melibatkan remaja Melayu, 58 Cina, 24 India dan 16 lain-lain bangsa," katanya.

Beliau berkata, hasil usaha berterusan skuadnya itu juga berjaya 'mematikan' kegiatan lumba haram di dua tempat yang dikenal pasti paling digemari kumpulan mat rempit iaitu Jelutong Expressway (JE) dan Butterworth-Kulim Expressway (BKE).

"Sebelum ini, kedua-dua tempat itu memang menjadi pilihan mat rempit dan boleh dikatakan pada setiap malam minggu, kira-kira 200 orang berkumpul bagi berlumba dan menyaksikan perlumbaan di situ," katanya.

Wan Aziz yang berbangga dengan kejayaan yang dicapai skuad khas itu berkata, bagi setiap operasi dijalankan, skuad itu akan berbincang dulu bagi mengatur strategi.

Modus operasi lumba haram

Menurut Wan Aziz, selalunya perlumbaan haram bermula kira-kira pukul 2 pagi.

Terdapat sekurang-kurangnya lima lokasi popular pilihan mat rempit setiap kali aktiviti lumba haram diadakan. Mereka akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain secara serentak tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.

"Mereka bergerak berkumpulan dan tidak akan berhenti pada mana-mana lampu merah sambil beraksi lagak Superman sedang terbang.

"Bila ada yang sedang berlumba, anggota kumpulan ini juga akan sepakat menutup setiap simpang jalan bagi menghalang kenderaan atau pengguna lain mengganggu program mereka," katanya.

Biasanya mereka sanggup datang dari daerah seberang ke pulau semata-mata untuk menjayakan perlumbaan. Kumpulan mat rempit sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

Biasanya, setiap kali perlumbaan, kumpulan ini akan bermula dari Jalan Padang Kota ke Bulatan Bayan Baru, kemudian bergerak ke Jalan Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

"Dari PISA, mereka bergerak ke kawasan Bukit Gambir dan berakhir di Tanjung Tokong. Kemudian mereka akan berhenti rehat dan keadaan sekitar akan kembali seperti sediakala macam tidak ada apa-apa yang berlaku," kata Wan Aziz.

Beliau berkata, lokasi pilihan Mat Rempit bagi menjalankan aktiviti di daerah seberang ialah di Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Menurutnya, Skuad 42 sedang memantau aktiviti lumba haram yang dilakukan oleh Geng RXZ kerana mereka dikenal pasti sebagai kumpulan yang paling bahaya dan ganas.

Mencipta karakter animasi


Pelukis animasi perlu membayangkan gaya berjalan, ekspresi muka, cara duduk, cara bercakap dan setiap gerak-geri dan perlakuan yang diperlukan oleh karakter yang ditulis




INDUSTRI animasi di Malaysia mungkin masih terlalu baru jika dibandingkan dengan industri yang sama di Jepun mahupun negara-negara Barat.

Namun, kita masih boleh berbangga kerana kini banyak siri televisyen dan filem berbentuk animasi ditayangkan di Malaysia. Sambutannya juga sangat menggalakkan.

Terbaru, filem animasi 3D, Geng: Pengembaraan Bermula yang diadaptasi daripada siri televisyen Upin dan Ipin berjaya menarik perhatian penonton yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa.

Filem yang dihasilkan sepenuhnya oleh produksi milik tempatan itu menelan belanja sebanyak RM4 juta. Sekali gus, ia membuktikan bahawa orang kita juga sebenarnya boleh menghasilkan karya yang bermutu dan berkualiti tinggi setanding dengan produksi luar.


PENCIPTAAN karakter berpandukan watak yang sesuai adalah antara cabaran utama bagi pelukis animasi.


Kini, sebuah lagi karya animasi bertajuk Silang bakal menemui penonton di kaca televisyen bermula Mei ini di saluran Radio Televisyen Tempatan (RTM).

Siri animasi 13 episod terbaru itu mengisahkan sekumpulan haiwan yang hidup di dalam hutan yang diketuai oleh seekor anak burung helang yang dipanggil Silang.

Orang yang bertanggungjawab di sebalik penghasilan pelbagai karakter dan watak yang terdapat dalam animasi Silang itu ialah pelukis animasi daripada syarikat Oscar Hallmark Sdn. Bhd. (OHSB).

Pengarah Animasi OHSB, Norizal Ngah, 33, berkata, pihaknya menggalas satu tanggungjawab yang besar apabila ditugaskan menghasilkan karakter dan watak yang ada dalam animasi tersebut.

"Dalam menyiapkan tugasan ini, banyak cabaran yang kami hadapi terutama dalam mencipta karakter yang bersesuaian berpandukan perwatakan seperti yang dikehendaki penulis atau tukang cerita.

"Sebagai pelukis animasi, mereka perlu membayangkan gaya berjalan, ekspresi muka, cara duduk, cara bercakap dan setiap gerak-geri dan perlakuan yang diperlukan oleh karakter yang ditulis supaya gaya dan cara percakapan karakter itu dapat disampaikan dengan baik melalui pergerakan lukisan.

"Bagi pelukis bahagian reka letak juga, ada cabaran yang perlu mereka hadapi. Contohnya apabila mereka dikendaki melukis kawasan hutan yang menyeramkan, pulau yang menjadi sarang penyamun atau lanun dan penempatan penduduk pada zaman prasejarah, mereka perlu memikirkan apa yang perlu ada di tempat-tempat begitu seperti bentuk muka bumi, prop dan sebagainya.

"Justeru, dalam siri Silang ini, setiap pelukis animasi memainkan peranan penting untuk memastikan ia mampu mencuri perhatian penonton apabila ditayangkan kelak," kata Norizal yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang animasi. Beliau mula menyertai bidang animasi sejak 1994 sebagai pelukis latar belakang animasi secara manual.


RASHIDAH (tiga dari kanan) dan kumpulan kartunis Cyber Oscar Hallmark yang menjadi tulang belakang animasi Silang.


Menurut Norizal, sebagai pelukis animasi rutin hariannya sama seperti pekerja daripada sektor-sektor lain, cuma bezanya dia jarang pulang mengikut waktu kerja yang ditetapkan disebabkan banyak tugas yang perlu disiapkan.

"Setiap episod dalam sesuatu siri animasi biasanya akan mengambil masa sebulan untuk disiapkan lengkap dengan rakaman suara, pergerakan, komposit dan sebagainya. Ia bergantung pada tenaga kerja dan kualiti animasi yang dimahukan.

"Untuk siri animasi Silang ini, kami dapat menyiapkannya dalam tempoh tiga minggu bagi setiap episod dengan tenaga kerja tujuh pelukis animasi yang mahir dalam bidang ini," tambah Norizal.


ANIMASI Silang yang mengisahkan sekumpulan haiwan di hutan.


Sementara itu, seorang pelukis animasi, Rashidah Abd. Rahman menjadi satu-satunya pekerja wanita yang dikelilingi oleh tujuh pekerja lelaki termasuk Norizal yang bekerja keras menyempurnakan setiap tugasan yang diberi.


PANDUAN papan cerita penting bagi menghasilkan sebuah kisah yang menarik.





Menariknya, Rashidah mengakui dia langsung tidak tertekan bekerja dalam kumpulan majoriti lelaki. Sebaliknya, wanita berusia 30 tahun itu yang satu-satunya pekerja wanita begitu serasi bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja lelaki.

"Kerjaya sebagai pelukis animasi amat sesuai dengan jiwa saya. Walaupun pada mulanya saya sekadar suka-suka menceburi bidang ini, tetapi lama-kelamaan saya semakin serius untuk menjadikannya sebagai kerjaya tetap.

"Di samping itu, kerja ini lebih fleksibel meskipun berdepan dengan takat waktu yang harus dikejar. Apa yang penting ialah bagaimana kita bekerja secara sistematik dan mampu menyiapkan segala tugas yang ada," kata Rashidah yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Menurut Norizal, Rashidah ialah seorang pekerja yang bagus dan sentiasa memberi kerjasama dalam setiap tugas yang diperolehnya.

"Di Malaysia, pelukis animasi wanita yang hebat masih kurang dan kalau ada pun boleh dikira dengan jari.

"Justeru, kredit harus diberikan pada Rashidah kerana boleh memberi saingan pada pelukis animasi lelaki dan saya yakin dia mampu melangkah lebih jauh dalam bidang ini," jelas Norizal yang telah banyak terlibat dalam lain-lain projek animasi di Malaysia termasuklah siri Sang Wira, Kenyalang, Aliff dan filem Putih selain iklan berbentuk animasi.

Seorang lagi pekerja, Mathadir Pauji @ Mawzar, 25, yang baru enam bulan melibatkan diri dalam dunia animasi berkata, dia seronok dengan kerjaya itu.

"Banyak perkara baru yang saya pelajari daripada rakan sekerja terutama Norizal yang tidak pernah jemu mengajar kami.

"Memang pada awalnya saya rasa agak tertekan kerana gagal menyiapkan tugasan dengan baik. Tetapi, Alhamdulillah, kerana minat dan semangat yang tinggi, saya dapat mengatasi tekanan yang dihadapi.

"Kalau dulu dalam masa sehari, satu babak pun sukar untuk disiapkan, tetapi kini dalam tempoh yang sama, saya mampu menyiapkan dua hingga tiga babak," tutur Mathadir sambil menambah untuk bergelar pelukis animasi, seseorang itu perlu mempunyai motivasi diri yang tinggi.