Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

01 Januari 2008

NUTP syor kaji semula Kesusasteraan Melayu



Subjek jana modal insan, terap nilai murni tangani gejala sosial

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah untuk menerapkan nilai murni kepada pelajar dalam menangani gejala sosial.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata subjek ini berupaya menjana modal insan seperti dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berdaya saing serta berfikiran matang.


"Ia satu resolusi seminar Kesusasteraan Melayu dalam Pendidikan yang diadakan pada 4 dan 5 Jun yang lalu di sini. Seminar itu anjuran bersama NUTP serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)," katanya pada sidang media di Wisma NUTP di sini, semalam.

Beliau berkata, NUTP akan membentangkan resolusi seminar itu kepada Kementerian Pelajaran secepat mungkin.

Dalam pada itu, Dr Lim Swee Tin selaku Penyelaras Memorandum Seminar Kesusasteraan Melayu dalam Pendidikan berharap kerajaan memastikan pemilihan karya yang akan dijadikan teks pembelajaran Kesusasteraan Melayu kelak menggunakan karya ciptaan Sasterawan Negara dan penerima S.E.A Write Award.

"Dalam resolusi ini, kami turut mencadangkan Kesusasteraan Melayu dijadikan mata pelajaran elektif (pilihan) kepada semua pelajar sekolah menengah mulai Tingkatan Satu lagi. Pada awalnya, kami mahu subjek ini diajar kepada murid sekolah rendah tetapi mungkin timbul kerumitan kepada kerajaan melaksanakannya.

"Kokurikulum Kesusasteraan Melayu perlu memasukkan unsur sastera daripada pelbagai etnik seperti suku kaum Sabah dan Sarawak serta etnik lain kerana jalan ceritanya lebih menarik dan tidak ramai yang mengetahuinya," katanya.

Lim berkata, bilangan kelas yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu bagi peringkat menengah atas, iaitu Tingkatan empat, lima dan enam semakin berkurangan.

Katanya pada 2006, sebanyak 1,059 kelas saja yang menawarkan subjek itu, namun untuk tahun ini bilangan kelas berkurangan kepada 982.

"Perkara ini serius dan kami berharap kerajaan mengkaji semula subjek Kesusasteraan Melayu agar menjadi satu mata pelajaran yang mampu menarik minat pelajar dan tidak terpinggir," katanya. � Bernama