Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

01 Januari 2008

Pekerja tempatan tidak suka kerja berat


Oleh ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Sikap rakyat tempatan yang tidak gemar melakukan kerja berat walaupun dibayar upah tinggi menyebabkan majikan lebih berminat untuk menggaji pekerja asing.

Naib Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Bateri, Ariffin Abdul Aziz berkata, sikap sedemikian menyebabkan banyak kilang tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil pekerja asing demi meneruskan operasi.

“Di kilang, orang tempatan tidak minat kerja berat seperti mengangkat barang. Mereka lebih suka suasana kerja yang selesa.

“Kita pernah cuba ambil rakyat tempatan dengan gaji lebih tinggi daripada pekerja asing tapi dua tiga hari kemudian mereka berhenti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar semalam yang meminta pengambilan pekerja asing dihentikan buat sementara waktu sehingga satu dasar lebih terperinci diperkenalkan.

Pada masa ini, terdapat 2.6 juta pekerja asing di negara ini dan bilangan itu sudah mencukupi untuk keperluan semasa.

Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet tahun depan bagi mengatasi masalah pengambilan pekerja asing yang semakin menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Menurut Ariffin, sektor pengilangan sudah pasti akan terjejas teruk sekiranya dasar pengambilan pekerja asing dihentikan.

‘‘Apa yang mungkin boleh dibuat adalah mengubah persepsi rakyat tempatan terhadap kerja-kerja peringkat bawah,” katanya.

Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Pengusaha Bunga Cameron Highlands, Yong Leong Mong memberitahu, 80 peratus pekerja sektor perladangan merupakan orang asing.

Justeru, jelas beliau, pemberhentian pengambilan pekerja asing sekiranya dilaksanakan sudah pasti akan menjejaskan sektor berkenaan.

Beliau menambah, rakyat tempatan biasanya bekerja untuk tempoh sementara dan akan berhenti selepas mendapat kerja lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Roslan Awang Chik mengalu-alukan cadangan Kementerian Sumber Manusia itu demi memastikan peluang pekerjaan rakyat tempatan tidak terabai.

Bagaimanapun, beliau mahu dasar tersebut tidak dilaksanakan dalam masa terdekat supaya tidak menjejaskan kerancakan projek-projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Jika kita terus mengambil orang asing untuk bekerja, suatu hari nanti rakyat Malaysia sendiri tiada peluang pekerjaan,” jelasnya.