Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 Januari 2008

Bahasa: Ke mana kita?


IBU bapa bersama-sama Kementerian Pelajaran turut merasa gembira apabila mendapati keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini secara purata menunjukkan peningkatan dari segi prestasi secara keseluruhan.

Dan peningkatan prestasi ini termasuk dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang para pelajarnya telah melalui proses pembelajaran dalam bahasa Inggeris mulai tingkatan satu.

Tetapi kita sedia maklum bahawa mereka juga mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dalam bahasa Melayu. Justeru Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom membuat kesimpulan bahawa ia adalah kejayaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kesimpulan yang mudah ialah PPSMI tidak membawa kepada kemerosotan prestasi para pelajarnya. Maka ia boleh diteruskan sama ada dalam bahasa Inggeris sahaja atau dalam dwibahasa?

Namun, statistik kejayaan ini perlu dilihat secara lebih dekat manakala latar belakang para pelajar ini juga perlu dikenali.

Hakikatnya ialah 65 peratus pelajar yang menduduki PMR 2007 menjawab soalan dalam bahasa Melayu dan 33.1 peratus menjawab soalan campuran Melayu dan Inggeris. Cuma 21.5 peratus sahaja bilangan pelajar yang menjawab soalan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Jika andaian saya ini benar bahawa pelajar ini telah mengikuti pembelajaran sekolah rendahnya dalam bahasa Melayu termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik, ternyata majoriti mereka masih selesa dan mudah dari segi pemahaman untuk menjawabnya dalam bahasa Melayu.

Cuma 21.5 peratus (kurang daripada 1/4) berasa selesa menjawabnya dalam bahasa Inggeris. Begitu juga calon-calon SPM tahun lalu (2007) mereka keseluruhannya mengikuti pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan dan bukannya PPSMI di peringkat sekolah rendah. Prestasi mereka sedang kita nantikan.

Penguasaan bahasa Inggeris juga dikatakan meningkat sedikit dari 71.4 peratus memperoleh gred A, B, C, D, E tahun lalu (2006) kepada 72.5 peratus tahun ini tetapi di bawah prestasi tahun 2005, iaitu 73.8 peratus.

Mungkinkah kesimpulannya ialah pengenalan PPSMI di peringkat menengah rendah (mulai tingkatan 1) tidak menurunkan prestasi penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik tetapi tidak juga meningkatkan penguasaan mereka terhadap bahasa Inggeris secara ketara?

Bagi pakar bahasa yang arif dalam bidang ini, kemahiran para pelajar dalam Sains dan Matematik itu disebabkan oleh pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik yang mereka ikuti selama enam tahun dalam bahasa kebangsaan di peringkat sekolah rendah. Masa enam tahun telah memberi mereka keterampilan berfikir secara saintifik dan ini lebih tinggi bagi mereka yang mengikuti pembelajaran asas itu dalam bahasa ibunda atau bahasa nasional sesebuah negara berbanding jika mereka mempelajarinya dalam bahasa kedua seperti bahasa Inggeris.

Perkara ini juga menjelaskan kenapa masyarakat Cina menolak pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi kekal mengajarnya dalam bahasa Cina kerana mereka mendengar pendapat pakar dalam bidang berkenaan bahawa keterampilan (skill) dalam bidang Sains dan Matematik itu lebih mudah diperoleh melalui bahasa ibunda atau bahasa pertama. Keterampilannya akan menurun jika kita mempelajarinya melalui bahasa kedua seperti bahasa Inggeris, kecuali bagi mereka yang sejak zaman bayi dan setiap hari bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, dianggarkan meliputi sekadar 0.001 peratus sahaja penduduk Malaysia.

Saya teringat nama seorang pakar neuropsikolinguistik abad ke-19 dari Jerman, Profesor Leibniz yang mengemukakan penemuan kajian saintifik beliau bahawa otak seseorang itu (sebelah kanan) lebih mudah dan cekap menyerap apa saja ilmu jika ia dipelajari melalui bahasa pertama atau bahasa ibunda kerana jika dipelajari melalui bahasa kedua (otak sebelah kiri) ia memerlukan proses penterjemahan dan akan menjadi lambat dan kecekapannya menurun sedikit. Di atas prinsip ini juga, Jerman yang pada asalnya menggunakan bahasa Inggeris yang dikatakan lebih maju pada ketika itu menukar haluan kembali menggunakan bahasa nasional Jerman untuk tujuan pembelajaran, dan negara itu meningkat maju berkali ganda dalam bidang sains dan inovasi.

Ini juga berlaku pada Perancis yang pada mulanya menggunakan bahasa Inggeris dan Jepun menggunakan bahasa Rusia yang merupakan bahasa kemajuan pada abad ke-17, 18 tetapi kemudian kembali menggunakan bahasa asal mereka yang terbukti berjaya membawa kemajuan kepada negara-negara berkenaan.

Malaysia untuk selama 14 tahun pertama setelah mencapai kemerdekaan (1957-1971) menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (dua aliran) bagi tujuan pembelajaran. Pada waktu itu, sehingga 1969 kita mempunyai cuma sebuah universiti. Apabila memasuki era Tun Razak di mana DEB diperkenalkan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam aliran Melayu dilaksanakan, bilangan institusi pendidikan tinggi awam bertambah satu demi satu, kini melebihi dua puluh buah.

Juga, belum terdengar cerita ribuan pelajar kita yang dihantar ke luar negara mengikuti pelbagai jurusan di peringkat ijazah pertama. Sarjana dan doktor falsafah dikatakan tidak berkemampuan, tidak pandai, atau sepertinya kerana mereka mengikuti ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Malah kenyataan adalah di sebaliknya.

Kemungkinannya, sebagai jalan tengah, sistem pendidikan kita akan mempunyai dua aliran. Di peringkat sekolah rendah bagi sekolah kebangsaan, Sains dan Matematik diajar dalam bahasa kebangsaan kerana kecekapan minda dan berfikiran saintifik lebih mudah diasah dan diperoleh melalui bahasa pertama. Bahasa Inggeris diajar sebagai satu mata pelajaran wajib untuk memberi pendedahan awal dan memperkenalkan prinsip-prinsip asas. Kaedah pembelajarannya mestilah mesra pelajar dan penuh ceria.

Hanya pada peringkat menengah, boleh dilakukan peralihan sebahagian mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris bagi tujuan peningkatan penguasaan terhadap bahasa Inggeris. Juga bahasa Inggeris harus diutamakan dalam kegiatan kokurikulum.

Apakah di peringkat menengah dan universiti, mata pelajaran Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris atau kekal dalam bahasa Melayu seperti dalam era 1971 – 2002 masih boleh diperdebatkan. Kalau PPSMI bertujuan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, itu bukan cara penyelesaian yang bijak dan belum boleh dibuktikan.

Beberapa orang sarjana dalam bidang Sains dan Matematik di UKM pernah memberi pendapat bahawa hampir semua para pemenang Hadiah Nobel kajian Sains, Matematik dan Fizik adalah mereka yang membuat penyelidikan dan menulis dalam bahasa utama negara itu sendiri dan bukannya dalam bahasa asing. Jadinya, ke mana kita?

– DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH,

Gerik.