Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

10 Januari 2008

Wanita Malaysia jual ‘mahal’, lelaki terlalu ‘berkira’


Pendapat
LEWAT kebelakangan ini, lelaki Malaysia dikatakan lebih cenderung untuk memilih wanita-wanita dari seberang khususnya dari Indonesia sebagai pasangan hidup.

Bagi sesetengah pihak, ada yang kurang selesa dengan senario ini tanpa mengira alasan dan sebab mengapa mereka lebih senang memilih calon isteri bukan dari negara sendiri.

Pada masa yang sama jika kita sedar, bilangan kaum Hawa di Malaysia yang tidak berkahwin juga semakin bertambah dari semasa ke semasa. Isu ini juga pernah diketengahkan dan melalui temu ramah dan soal selidik mendapati, golongan wanita bujang ini sendiri yang mengakui bahawa mereka lebih senang dalam keadaan begitu. Ini termasuklah dari faktor kebebasan, komitmen dan tanggungjawab yang akan mereka hadapi di alam perkahwinan yang mendorong mereka untuk terus kekal bujang.

Ini berlaku terutamanya di kalangan wanita-wanita yang berpendidikan tinggi atau berjawatan tinggi dan bekerja di sektor swasta. Bagi sesetengah mereka, ada juga yang punya rasa untuk berumah tangga tetapi disebabkan kedudukan mereka, ramai lelaki yang takut atau malu untuk mendekati mereka.

Dan apabila isu pilihan wanita dari seberang diketengahkan, akhirnya lelaki-lelaki Malaysia memberikan alasan mengapa mereka lebih suka dengan wanita-wanita ini. Tidak dinafikan daripada perwatakan yang ditunjukkan oleh wanita-wanita dari seberang, mereka lebih menggoda dan menawan. Ditambah pula dengan fizikal yang kecil molek dan sebagainya.

Ini bukanlah bermaksud wanita Malaysia tidak ada yang berperwatakan sedemikian, cuma dari sudut lain, boleh dikaitkan dengan unsur kedua di mana wanita Malaysia mungkin lebih bersikap ‘jual mahal’. Jika ini tidak melibatkan sikap wanita Malaysia itu sendiri, mungkin ia boleh berlaku daripada pihak keluarga yang mungkin meletakkan hantaran yang mahal untuk perkahwinan. Inilah yang dimaksudkan dengan unsur kedua di mana lelaki Malaysia berpendapat, berkahwin dengan wanita dari seberang adalah jauh lebih murah berbanding dengan wanita tempatan terutamanya bagi yang berpendidikan tinggi.

Saya bersetuju dengan cadangan oleh Pensyarah Politik dan Polisi Awam Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain yang mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi tumpuan kepada isu jodoh di kalangan rakyat negara ini bagi mengelakkan timbul gejala penduduk lewat berkahwin.

Jika benar perkahwinan dengan wanita seberang itu atas dasar cinta, mungkin boleh diketepikan kerana itu menjadi hak masing-masing dan perasaan itu wujud dengan sendirinya. Tetapi adalah mustahil untuk menolak atau menafikan sama sekali tentang mungkin tujuan sebenar adalah untuk mendapatkan kerakyatan di negara ini. Ini kerana memang ada segelintir wanita dari seberang yang ingin menjadi penduduk tetap di sini dan salah satu cara yang mudah ialah melalui memerangkap lelaki tempatan dengan perkahwinan.

Sikap wanita Malaysia juga perlu dinilai semula dari segala segi terutamanya bagi yang lewat berkahwin. Ini kerana ada di antara mereka yang terlalu memilih calon suami terutamanya dari segi kedudukan dan pendapatan misalnya sehingga ada yang sanggup menolak beberapa lamaran hanya kerana mereka tidak memenuhi kehendak sendiri ataupun keluarga.

Ini termasuklah sesetengah wanita Malaysia yang memang mengatakan ‘tidak’ kepada lelaki tempatan kononnya lelaki Malaysia kurang menarik, tidak cukup macho atau tidak romantik. Golongan ini pula lebih berminat untuk mencari pasangan dari luar negara sehingga ada yang tertipu dan terpedaya oleh lelaki-lelaki asing yang punya niat jahat dengan pelbagai cara yang ada kalanya tidak pernah terfikir oleh kita.

Justeru, walau apa situasi sekalipun, bersederhana atau ‘wasatiah’ itu paling perlu dalam kehidupan seharian. Tidak kiralah dari segi perbelanjaan sehinggalah memilih jodoh. Ini kerana apa yang penting ialah cara kita mengendalikan sesebuah rumah tangga tersebut kerana apabila berada dalam alam perkahwinan, segala sudut akan dilalui dan ditanggung bersama.

Mungkin juga dengan zaman yang penuh dengan teknologi moden ini, unsur terlalu mementingkan adat seperti masyarakat Melayu misalnya, harus dinilai semula terutamanya dari segi ‘harga’ hantaran yang semakin tinggi yang kononnya mengikut nilai wang semasa, kerana dari segi agama apa yang wajib ialah mas kahwin dan bukan wang hantaran. Ini mungkin salah satu faktor penyebab kepada kaum lelaki cenderung untuk memilih calon isteri dari negara lain.

Pertemuan dan jodoh memang terletak di tangan Tuhan. Tetapi dalam merancang dan melaksanakan adalah terletak di tangan kita sendiri. Tanpa usaha, sikap bertolak ansur, saling berkongsi dan niat yang ikhlas, akan timbul perkara-perkara lain yang menyebabkan seribu satu alasan yang tidak baik untuk berkahwin dengan sesiapa sahaja.

– SAFIYYAH AHMAD SABRI,

Nilai, Negeri Sembilan.