Oleh Nazmi Yaakub
KHUSYUK: Sebahagian daripada khalayak tekun mendengar pengalaman tokoh wartawan Indonesia, khususnya pada zaman sebelum merdeka. |
Wartawan Melayu wajar lebih berfungsi dalam memelihara, perkukuh hubungan dua hala antara Malaysia, Indonesia
PENGALAMAN kewartawanan Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan negara ini dan Indonesia wajar ditelaah dan dirujuk sebagai landasan untuk memperkukuhkan hubungan wartawan rumpun Melayu terutama pada saat hubungan dua negara sering dilanda kontroversi.
Hubungan baik wartawan kedua-dua negara pada zaman itu tetap terjalin meskipun berdepan pelbagai halangan terutama membabitkan masalah komunikasi dua hala kerana mereka terpaksa bergantung kepada kemudahan pos dan telegram.
Apatah lagi kemudahan pos dan telegram yang disediakan pihak penjajah Inggeris serta Belanda menyebabkan ada wartawan yang tebal semangat nasionalisme memilih untuk tidak menggunakannya kerana tidak mahu memberikan walaupun sesen kepada penjajah.
Pengalaman kewartawanan Melayu itu dikongsi Penerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Indonesia, Dr Rosihan Anwar pada Syarahan Perdana Memperkukuhkan Setia Kawan Wartawan Dunia Melayu di Petaling Jaya, baru-baru ini, sekali gus mengingatkan wartawan hari ini untuk menghargai hubungan yang sudah lama terbentuk.
Rosihan berkata, pertemuan pertamanya dengan Tokoh Wartawan Negara dan Penerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Malaysia, Tan Sri (Dr) Abdul Samad Ismail kira-kira 60 tahun lalu, tidak berlaku secara fizikal, sebaliknya melalui tulisan dalam majalah politik, Siasat.
BERI TUMPUAN: Rejal (tiga dari kiri) bersama khalayak khusyuk mendengar syarahan Dr Rosihan. |
"Atas permintaan bekas Perdana Menteri Indonesia pertama, Sutan Syahrir, saya menubuhkan Siasat untuk mengurangkan sikap radikal rakyat Indonesia ketika itu yang mahu berperang berterusan dan melawan penjajah Belanda habis-habisan.
"Ini bertentangan dengan polisi Sutan Syahrir yang mahu menggunakan gerakan diplomasi, tetapi pada masa sama tidak melepaskan (kemungkinan) strategi perang," katanya yang memimpin majalah Siasat bermula 1947 hingga 1957.
Khalayak syarahan dimaklumkan bahawa Abdul Samad mengirimkan surat yang mengandungi tulisan mengenai pandangannya terhadap isu yang berkaitan dan beliau terpanggil untuk menyiarkannya majalah Siasat.
"Abdul Samad beberapa kali mengutus surat, tetapi saya tidak membalasnya kerana tidak mahu menggunakan pejabat pos Belanda. Pertemuan saya dengan (Dr) Ishak Muhammad atau Pak Sako pula berlaku pada Pertemuan Sastera di Kuantan," katanya.
Lewat pengalaman kewartawanan dan perhubungan dengan wartawan di rantau Nusantara terutama negara ini, Singapura serta Brunei Darussalam, Rosihan merumuskan wartawan Melayu sewajarnya berfungsi sebagai penjaga mengelakkan hubungan kedua-dua negara daripada menjadi tidak harmoni.
"Wartawan bukan sekadar melaporkan berita, sebaliknya terlatih berfikir termasuk menjawab persoalan yang membabitkan hubungan antara negara. Dalam pertarungan dunia global, wartawan Melayu perlu mampu menjawab persoalan berkaitan globalisasi secara waras," katanya.
Rosihan yang dilahirkan di Solok, Sumatera, Indonesia pada 10 Mei 1922, pernah menjadi wakil Hindustan Times, The New Strait Times, Asia Week, World Forum Features London, The Age Melbourne, The Strait Times Singapore dan Asia Pasific.
Syarahan Perdana itu diadakan sempena Anugerah Tokoh Wartawan Dunia Melayu anjuran Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia (PBWBHM) dan turut dihadiri bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rejal Arbee yang juga Timbalan Presiden PBWBHM.
Seramai lapan tokoh wartawan menerima anugerah itu termasuk Abdul Samad dan Tan Sri Mazlan Nordin muncul sebagai penerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Malaysia manakala Rosihan dan Tarman Azzam pula mendapat Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Indonesia.
Tokoh Wartawan Melayu Singapura pula diberikan kepada Othman Wok dan Sulaiman Jeem serta Awang Ahmad Mohd Arshad dan Pengiran Fatimah Pengiran Md Noor meraih Tokoh Wartawan Melayu Brunei.
Semua penerima membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai bernilai RM2,000 setiap seorang yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan hadir sama Presiden PBWBHM, Dr Alias Mohamed; Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainuddin Ayip serta Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar.