Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 Januari 2008

Sejarah masih relevan


Oleh ABDUL GHANI ABU


Subjek sejarah yang diajar dengan berkesan mampu membentuk para pelajar yang mempunyai jati diri. – Gambar hiasan.

“SUDAH terhantuk baru tengadah” begitulah bunyi pepatah yang sering diungkapkan apabila kita sedar daripada kesilapan yang dilakukan. Selagi tidak terhantuk, selagi itulah kita alpa dan berasa selesa dengan situasi semasa, tanpa beringat akan pengalaman lepas atau pengalaman individu lain.

Di sinilah letaknya fungsi sejarah. Namun, kebanyakan daripada masyarakat hari ini tidak lagi memandang pada mata pelajaran Sejarah di sekolah, apatah lagi generasi muda yang mula melabel subjek ini sebagai tiada nilai ekonominya.

Dalam perkembangan globalisasi yang berteraskan liberalisasi ekonomi, generasi muda semakin khayal dengan keseronokan teknologi. Dengan alasan gaya hidup terkini, mereka tidak lagi memandang pada mata pelajaran Sejarah. Sebaliknya, melihat mata pelajaran berteras Sains dan Matematik seperti Fizik, Biologi, Kimia, Matematik tambahan, kejuruteraan, dan Perakaunan, berupaya menjamin masa depan kerjaya mereka.

Kepesatan perkembangan teknologi yang sememangnya diakui bercambah seiring perkembangan ilmu sains dan matematik telah menutup mata sebahagian masyarakat terhadap mata pelajaran kemanusiaan seperti Geografi dan Sejarah khususnya.

Mereka melihat pembangunan tamadun Barat berkembang pesat dimangkin oleh ilmu sains semata-mata. Oleh itu, untuk mencapai taraf pembangunan yang sama, masyarakat di sini juga perlu menguasai ilmu sains. Hal ini memang tidak dapat dinafikan ada relevannya. Namun, kehebatan sesebuah tamadun bukanlah terletak pada pencapaian gemilang ilmu sains sahaja. Sebaliknya, ia perlu diimbangi dengan keutuhan jati diri rakyat yang datangnya daripada ilmu kemanusiaan.

Kita sering membuat perbandingan tentang betapa indahnya kota cinta Paris, hebatnya teknologi penyiasatan CSI di New York, dan kecanggihan sistem pengangkutan awam di kota London. Kemudian kita persoalkan kenapa ia tidak berlaku di negara kita? Ditambah lagi persoalan, walaupun mereka hebat berteknologi, namun masyarakatnya punya jati diri yang utuh. Perlu diingat mereka ini pewaris bangsa penjajah. Ketamadunan mereka dibina dengan “keserasian” ilmu sains dan ilmu kemanusiaan juga. Teori-teori ilmu kemanusiaan dan sains sosial berkembang di negara mereka. Lantas kita di sini juga menghantar para pelajar mempelajari pengalaman mereka.

Barat dapat diperhatikan perkembangan kedua-dua bidang ilmu, iaitu sains dan kemanusiaan. Hal ini bagi mereka penting kerana proses pembinaan jati diri sebagai rakyat perlu diimbangi. Maka tidak hairanlah, dalam sistem pendidikan mereka mata pelajaran Geografi dan Sejarah menjadi keutamaan bermula di peringkat rendah lagi.

Hal ini demikian kerana menurut mereka bagi melahirkan generasi yang bangga dengan negaranya, mereka perlu didedahkan dengan keagungan tamadun bangsa mereka yang diwarisi zaman-berzaman. Mereka juga didedahkan dengan dunia luar di peringkat sekolah rendah lagi. Mereka perlu menjadi pewaris bangsa penjajah juga, tetapi dalam konteks dunia yang baharu, iaitu globalisasi.

Persoalannya, di manakah mata pelajaran Sejarah dalam sistem pendidikan kita? Sementelahan kita asyik mempersoalkan generasi muda merupakan pewaris generasi masa depan negara. Kita perlukan perubahan minda dalam kalangan masyarakat tentang mata pelajaran Sejarah.

Memang tidak dapat dinafikan, proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah bermula di peringkat sekolah rendah lagi, iaitu menerusi subjek Kajian Tempatan kepada para pelajar di tahap dua (tahun 4 hingga 6). Kemudian, di peringkat menengah diteruskan dengan mata pelajaran Sejarah dari tingkatan satu hingga lima. Di peringkat rendah, para pelajar didedahkan dengan konsep asas sejarah, bermula yang dekat dengan diri mereka, keluarga, masyarakat, kawasan setempat dan peristiwa penting sejarah negara. Di peringkat sekolah menengah pula, mereka mempelajari sejarah politik, ekonomi dan sosial negara berlatar belakang zaman prasejarah, Kesultanan Melayu Melaka, penjajahan, perang dunia, prakemerdekaan, sehinggalah negara mencapai kemakmuran pada hari ini. Jika dilihat secara kasar, kurikulum sejarah itu amat tuntas dan holistik sifatnya. Namun di manakah kecacatan yang menjadi punca pengabaian mata pelajaran sejarah ini? Adakah guru yang kurang kemahiran “dipaksa” mengajar sejarah atau pun penggubalan kurikulum itu kurang menarik perhatian pelajar? Sememangnya persoalan ini kritis untuk dijawab. Pakar pedagogi dan mereka yang terlibat dengan pembinaan kurikulum ini sahaja yang boleh merungkaikannya. Tetapi, itu persoalan yang terus berlaku dan akan terus berlaku, selagi kesan pembinaan generasi yang prihatin sejarah tidak dapat dilahirkan.

Anjakan paradigma masyarakat tentang kepentingan ilmu sejarah perlu dilakukan. Sejarah bukanlah suatu mata pelajaran yang bersifat metafora, sebaliknya berdiri di atas fakta yang kukuh. Setiap perkara yang berlaku sama ada berkaitan dengan diri sendiri, masyarakat atau negara, perlu disedari ada kaitan dengan sejarah. Sekurang-kurangnya kita pernah berkata, “tidak ingatkah apa yang telah berlaku dahulu”. Hal ini merujuk kepada peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini. Ini juga suatu disiplin dalam sejarah. Masyarakat perlu ada kefahaman bahawa Sejarah itu bukanlah suatu mata pelajaran yang perlu menghafal semata-mata tentang sesuatu peristiwa. Sebaliknya, jika ditelusuri banyak kemahiran yang cuba digarap melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah. Para pelajar diajar tentang kemahiran Kajian Masa Depan. Melalui kemahiran ini, para pelajar dilatih menggunakan fakta yang sedia ada untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan. Selain itu, semangat ingin tahu disemaikan ke dalam jiwa pelajar. Mereka dididik dengan kemahiran Inkuiri Penemuan. Kemahiran ini penting bagi melahirkan insan pelajar yang sentiasa mempersoalkan fakta yang diperoleh, lantas mereka mencari kebenaran ke atas fakta tersebut. Ini merupakan sebahagian daripada penerapan yang ada dalam mata pelajaran sejarah yang mungkin tidak disedari oleh para ibu bapa.

Kita tidak mahu generasi muda pada hari ini terus alpa dengan kemodenan yang dicanang oleh liberalisasi ekonomi. Secara tidak sedar, kita mungkin dijajah kembali dalam bentuk yang baharu. Musuh dalam selimut, atau gunting dalam lipatan begitulah boleh diibaratkan kepada perkembangan teknologi moden seperti Internet dan 3G, sekiranya rakyat tiada jati diri yang kukuh. Janganlah kita menjadi seperti kata pepatah “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.” Pembinaan jati diri ini hanya dapat dipupuk melalui kesedaran terhadap kepayahan generasi terdahulu membina sebuah negara bangsa. Mata pelajaran Sejarah merupakan faktor penting dalam mencapai usaha tersebut.

* PENULIS bertugas sebagai Editor Bahagian Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pernah terlibat sebagai Editor buku teks Kajian Tempatan dan Sejarah terbitan DBP.