OLEH PUTERA AHMAD
TINDAKAN (keputusan?) Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) tidak memilih karya-karya sasterawan negara (SN), penerima S.E.A. Write Awards, dan pengarang-pengarang penting Malaysia untuk teks baru Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) dapat dianggap menghina dan memperleceh para pengarang/sasterawan mapan dan sastera Melayu.
Alasan PPK tidak memilih karya-karya sasterawan mapan (seperti dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini) bahawa “sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar” tidak dapat diterima. Tindakan tidak melantik sarjana kesusasteraan dan pengarang sebagai Ahli Jawatankuasa (panel) Pemilih Buku Teks Komsas juga dianggap menghina dan menafikan kesarjanaan dan kepakaran tokoh-tokoh sastera kita.
Tidak dinafikan memang terdapat beberapa buah karya (baik cerpen, novel, puisi mahupun drama) yang diguna pakai dalam Komsas sekarang berat, sukar difahami, dan tidak sesuai untuk khalayak remaja. Malah terdapat ‘buku’ (belum tentu sebuah novel mengikut takrifnya yang sebenar) yang diguna pakai atas asas kepentingan memperbaiki imej kalangan tertentu.
Karya-karya jenis begini menjadikan pelajar, malah guru menguap dan ‘pening’ untuk mempelajari dan menghayatinya. Dengan itu, pastilah karya-karya begini tidak dapat membantu menarik minat insan remaja terhadap sastera, malah akan membuatkan mereka muak terhadap sastera.
Namun, masih terdapat banyak karya sasterawan mapan kita yang mudah difahami, yang sesuai untuk khalayak remaja, yang boleh dipilih untuk teks Komsas bagi menggantikan teks yang sedia diguna pakai kini.
Sementelahan pula Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mempunyai tradisi sastera remaja yang pernah berkembang subur sejak pertengahan dekad 1980-an. Sejak itu dipersetujui secara konsensus tentang takrif dan konsep sastera remaja. Hal ini pernah ditulis oleh Othman Puteh dan Abdul Ahmad yang tersiar di dalam Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia pada sekitar dekad 1990-an. Sejak itulah terhasil dan terbit ratusan karya remaja, terutamanya genre cerpen dan novel remaja yang termasuk dalam takrif dan konsep sastera remaja yang sebenar-benarnya, terutamanya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Novel remaja
Hingga kini terdapat novel remaja seperti Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani (menang hadiah pertama Sayembara Mengarang Novel Jubli Emas DBP), Soh Siew Sin (novel perpaduan remaja pelbagai kaum) karya Othman Puteh, Fitrah Kimiawi (DBP, 2005) (berlatarkan sains) karya Rahmat Haroun Hashim, Menyisih Awan Kelabu (DBP, 2005) Gelombang Buana (DBP, 2007) (citra kegigihan seorang remaja) karya Osman Ayob, Terima Kasih Nudra Syafini (DBP, 1985) (psikologi remaja) dan Pelarian ke Angkasa (novel cereka sains) (‘K’ Publishings, 1987) karya Abdul Ahmad, Selagi Dusunku Berbuah (Marwilis, 1987) oleh A.Rahim Abdullah, Pada Suatu Perjalanan (DBP, 1995) oleh Tuan Faridah Syed Abdullah dan banyak lagi.
Di samping itu, terdapat banyak cerpen remaja yang sesuai seperti Komeng karya Ajikik, sejumlah cerpen di dalam antologi Teratai Merah (PFB, 1995), beberapa buah cerpen remaja oleh Khadijah Hashim, Mohd. Ismail Sarbini, Jalil A. Rahman, Othman Puteh, Ajikik, Ali Majod, A. Rahim Abdullah, Ghazali Ngah Azia yang nama mereka mantap sebagai pengarang karya remaja.
Begitu juga dengan puisi. Terdapat beberapa puisi Rahman Shaari seperti Harga Remaja, Sahabat, Permatang Budi; segugus puisi remaja di dalam antologi Peneraju Zaman (DBP, 2004) selenggaraan Dharmawijaya, puisi-puisi remaja Lim Swee Tin, A. Rahim Abdullah dan banyak lagi.
Sebahagian judul ini dianggap karya klasik oleh ramai pengkaji kesusasteraan remaja. Berdasarkan pengamatan, kesemua karya ini menggunakan sistem bahasa sastera yang cukup baik, indah berseni dan cocok untuk pelajar menengah. Ceritanya menarik dan mempunyai mutu atau nilai sastera yang tinggi. Sementara tema dan mesej yang terjalin atau tersirat cukup sesuai untuk khalayak remaja. Sastera beginilah yang dimaksudkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang berupaya menjana modal insan seperti diharapkan Perdana Menteri. Sastera beginilah yang dapat mencapai harapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom “bagi memperkasa mata pelajaran itu dalam membantu menangani gejala sosial pelajar.”
Kami sudah lama berkecimpung dalam arena kesusasteraan, namun anehnya tidak mengenali banyak nama pengarang yang karyanya dipilih untuk teks Komsas. Berdasarkan beberapa nama pengarang dan karya-karya yang dipilih, kami rasa, panel pemilih teks Komsas yang baru tidak banyak tahu tentang pengarang dan sasterawan yang disebut tadi, apatah lagi karya-karya mereka.
Panel pemilih itu barangkali lebih banyak terdedah kepada karya-karya popular yang bercambah di dalam pasaran terbuka. Atau, mungkin panel pemilih mengambil jalan mudah dengan bertindak secara tangkap muat. Atau boleh jadi, terdapat gejala penyelewengan atau ‘main kayu tiga’.
Kalau tidak, mengapakah tidak terpilih karya-karya remaja yang diterbitkan oleh DBP. Padahal, DBP adalah agensi penerbitan yang begitu gigih menerbit karya remaja yang baik-baik, yang begitu terkawal dari segi mutu bahasa dan sasteranya.
PPK tentunya sedar dan peka bahawa rata-rata pelajar menengah yang bakal menggunakan seluruh teks Komsas itu terdiri daripada insan remaja (13-20 tahun). Apa sahaja yang disogok dalam jangka usia begini akan mendatangkan kesan jangka panjang. Sekiranya disogokkan karya sastera popular, dengan pemakaian sistem bahasa yang rata-rata tidak kuat, yang cacamarba, yang temanya popular, unsur pemikirannya tidak kuat, maka begitu sahajalah yang akan mereka tanggap terhadap sastera Melayu.
Cadangan dan pemilihan beberapa buah karya remaja dalam program Komsas ini merupakan usaha besar dan menyeluruh untuk mendekatkan insan remaja terhadap sastera. Dengan itu, barulah sastera akan terus hidup bererti dalam tamadun bangsa kita. Barulah sastera dapat memainkan antara peranan murninya sebagai wadah pembinaan sahsiah insan (remaja).
Apabila terjadi, apalah maknanya sasterawan mapan kita bertungkus lumus memerah otak menghasilkan karya bermutu tinggi dan penerbit serius membelanjakan jutaan ringgit menerbitkan karya besar, apalah faedah diadakan sayembara demi sayembara untuk ‘menimbulkan’ karya bermutu, akhirnya karya popular yang mutunya boleh dipertikai yang dipilih. Apalah makna ‘diangkat dan dianugerah’ Sasterawan Negara kepada sembilan orang sasterawan besar kita? Apalah erti pengiktirafan S.E.A. Write Awards terhadap segugus sasterawan kita?