Bersama:KAMIL MAJID
Saudara,
Islam satu nama yang mencukupi bagi memahami makna dan maksud Islam yang bersifat menyeluruh; akidah, syariat, akhlak dan adab. Adapun perkataan selepasnya hanyalah sekadar memberikan maksud tambahan, atau penekanan aplikasi atau penekanan khusus sahaja kepada aspek ketamadunan.
Ketika umat Islam dijajah pada zaman penjajahan Barat, Jamaluddin Afghani memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi bagi keseluruhan bangsa Timur yang terjajah agar membebaskan diri daripada penjajah Barat. Pada masa itu mula dikenali “Islam siyasi – Islam politik”.
Sebelum itu, Islam tidak sangat dikaitkan dengan politik. Justeru umat Islam sebelumnya banyak membincangkan Islam secara tradisional dari sudut ilmu, akidah, ibadat, dakwah, tasawuf dan seumpamanya.
Samalah halnya, sebutan nama bagi umat Islam mencukupi dengan menyebut umat Islam. Tetapi, bagi menerangkan bangsa yang khusus, dikatakan umat Islam Turki, umat Islam Melayu, Arab atau lainnya.
Selepas Jamaluddin Afghani, muridnya Muhammad Abduh, merasakan tidak cukup perjuangan Islam menekankan aspek politik sahaja. Politik sekadar memenuhi maksud emosi dan semangat. Lalu diperkenalkan reformasi pendidikan, terkenal pula istilah tarbiah/Islam tarbawi. Istilah ini banyak digunakan oleh Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, pemikir Islam dari India.
Apabila jatuhnya kerajaan Uthmaniah di Turki,bagi membangkitkan semula kebangkitan Islam, lalu diperkenalkan pendekatan Islam haraki. Setelah negara umat Islam mencapai kemerdekaan, kemajuannya masih terhad, ditekankan pula pendekatan ketamadunan dengan nama “Islam hadhari”. Bagi mereka yang berminat dengan kerohanian, mereka menamakan pendekatan mereka dengan istilah, Islam sufi.
Ramai orang awam menjadi keliru dengan pelbagai pendekatan ini. Dalam perbincangan bidang pemikiran Islam di universiti, perkara ini menjadi perkara biasa dibincangkan, terutama bidang pemikiran Islam.
Merujuk kepada peristilahannya, tidaklah ada salahnya menggunakan istilah tersebut. Malah pemakaian istilah hadhari ini di kalangan pemikir Arab, perbincangan perkara ini digunakan oleh tokoh ikhwan Muslimin seperti Abdul Mun‘im Abul Futuh, malah beberapa wacana dan tesis menggunakan judul buku dan tesis dengan istilah “Masyru‘ al-Islami al- Hadhari” atau ”Masyru‘ al-Hadhari al- Islami”.
Kontroversial
Di Malaysia, istilah manhaj Islam Hadhari diperkenalkan. Mungkin ia menjadi kontroversial kerana istilah ini muncul dari lidah orang politik. Ia mendapat respons negatif dari pihak-pihak lain. Tetapi secara ilmiahnya, ia bukan istilah yang pelik, terutama, bagi mereka yang mendalami pemikiran Ibn Khaldun, Malik bin Nabi mahupun al-
Qaradawi sendiri.
Barangkali, jika mereka yang hanya terdedah dengan buku-buku tauhid, usuluddin dan fikah, atau tasawuf sahaja dan kurang meneliti karya-karya dalam bidang pemikiran atau tamadun, istilah demikian agak kurang ditemui.
Pada hemat saya, isu gagasannya lebih penting dibincang dari soal nama. Banyak nama jika diperdebatkan hanya menghabiskan masa sahaja. Saya sendiri keliru mana yang betul antara “goreng pisang” atau “pisang goreng”, mana yang betul antara “Perdana Menteri” dan “Menteri Perdana”.
Jika perkara Islam hadhari ini mahu didebatkan, perdebatan gagasan lebih elok diteliti. Malah soal pelaksanaan lebih perlu dipolimikkan.
Menariknya, gagasan lain banyak dihasilkan buah pemikirannya oleh para pemikir. Kekuatan para pemikir, gagasannya lebih mendalam. Negatifnya, bertahun malah kadangkala berkurun lamanya, gagasan itu tinggal sebagai teori. Tidak ada jentera yang dapat melaksanakannya. Kelebihan gagasan ahli politik pula, mungkin gagasan mereka lebih mudah diaplikasi kerana ada jentera apalagi jika ada peruntukan. Sedangkan teori para politikus mudah dilaksana, gagasan para pemikir mungkin timbul atau tenggelam, berdasarkan pendukung dan kekuatan murid-murid mereka.
Jika ingin dikaitkan maksud Islam Hadhari paling kecil, saya melihat sedikit demi sedikit ada kemajuan, asalkan kita mahu melihat dengan kaca mata putih. Saya berkesempatan melawat Kaherah akhir tahun lepas (2007) untuk satu penyelidikan ilmiah. Ketika saya singgah di lapangan terbang antarabangsa Dubai (transit sembilan jam), masjid di lapangan terbang itu elok dan selesa. Tetapi lebih selesa lagi surau Rawat dan Rehat (R&R) di Dengkel, pertengahan jalan antara Subang Jaya ke lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA). Saya kurang selesa bersembahyang di surau lapangan terbang antarabangsa Jakarta mahupun Kaherah ketika berada di dua buah lapangan antarabangsa negara umat Islam ini, berbanding dengan surau R&R di Tapah ketika berehat di lebuh raya utara – selatan untuk ke Ipoh.
Jadi pada saya, Islam hadhari di Malaysia mula menampakkan kemajuan, apabila keselesaan beribadah di perjalanan Lebuh raya utara – selatan Malaysia lebih baik daripada beberapa surau lapangan terbang antarabangsa dunia Islam lainnya.
Kuliah
Menariknya, Islam hadhari sudah dijadikan mata kuliah di peringkat pengajian tinggi. Di Universiti Malaya subjek diperkenalkan dengan nama “Islam Pendekatan hadhari”. Diserap pula dalam kurikulum maktab dan sekolah menengah. Malah sistem pengajian Jawi, Quran dan Arab (J-Qaf) antara produk Islam hadhari. Saya diberitahu oleh ketua pengarah Jakim antara produk Islam hadhari juga apabila calon-calon saintis dan profesional UIA mula dididik menghafal Quran hasil kerjasama UIA dan Jakim. Sedangkan sebelum ini ramai lulusan pengajian Islam pun tidak menghafal sepenuh sebuah al-Quran.
Sebab itu, adalah penting umat Islam berfikiran terbuka dan jangan membiarkan pemikiran tertutup pada satu-satu tafsiran sahaja (khususnya dalam perkara furu‘). Adapun perkara pokok agama tidak mungkin banyak tafsirannya terutama yang sudah ada ijmak ulama tentang itu seperti haramnya arak, perzinaan, riba, rasuah dan seumpamanya.
Pada hemat penulis, isu Islam hadhari bukanlah perkara pokok (yang menyentuh soal akidah, ibadat khusus dan berkait perkara qat‘i). Tetapi ia seperti berulangkali ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia berkait dengan urus tadbir negara. Ia tidak jauh, malah kesinambungan daripada dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Negara malah, kesinambungan daripada gagasan perjuangan menjayakan Islam yang syumul.
Penjelasan ini secara terang, bagaikan lampu bersuluh, bahawa menerima gagasan Islam hadhari jauh lebih baik daripada menolaknya. Tinggal lagi, bagaimana setiap orang harus berusaha memantapkan gagasan ini dan lebih penting menjayakan pelaksanaannya daripada asyik berpolimik di kedai-kedai kopi.
Saya masih jauh daripada berpuas hati, melihat tidak hadharinya tandas masjid sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu Kelantan (selama saya berulang alik sejak tahun 1981- kira-kira 27 tahun), sehingga ramai mereka yang memilih tandas stesen minyak yang lebih bersih berbanding tandas masjid. (Kerajaan sepatutnya melantik petugas dan memberikan peruntukan).
Kadangkala mereka yang membaca khutbah tentang kebersihan tidak mampu menjamin kebersihan masjid, atau menampal ayat Quran di dinding restorannya, dalam masa yang sama tidak mampu mnghalang tikus berlari-lari di bawah kaki ketika makan (dua kali penulis mengalaminya) di restoran Melayu Muslim.
Oleh itu, sebelum semua kita suka berbincang perkara yang besar – dalam konteks ini – pastikan rambut dan janggut lebih terurus, kebersihan kuku dan pakaian terjaga kerana itu adalah sunah nabi. Apatah lagi, jika mulut selalu mengumpat, cakap kurang berdisiplin, bukan sahaja bersalahan dengan gagasan Islam hadhari, malah bertentangan dengan Islam tulen. Islam hadhari tidak lebih daripada sebahagian daripada Islam yang syumul yang sejak tahun 70-an abad lalu diperjuangkan oleh para pencinta Islam.
Dalam usia yang agak subjektif tua, saya lebih ingin melihat individu dan rumah tangga umat Islam tertib daripada berkhayal melihat dunia Islam yang aman, kerana jika rumah tangga masih kucar-kacir pengurusannya, bagaimana diharap masyarakatnya tertib. Jika diberikan amanah mentadbir sebuah sekolah atau sebuah jabatan masih belum mampu, apatah diharap dapat mentadbir sebuah negara?
Malah jika pendekatan hadhari pun masih sukar untuk difahami, apakah mudah untuk memahami pelaksanaan Islam yang tulen yang jauh lebih kompleks dan memerlukan keterampilan yang cukup tinggi? Wallahualam.
- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.