Oleh: WANDA IDRIS
SESUATU yang kita alpa namun sebenarnya kealpaan itu mampu memberi impak besar kepada industri muzik kita khususnya bagi irama tradisional dan etnik tempatan.
Jika melihat senario industri muzik masa kini, sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah tidak banyak lagi sebuah album penuh dihasilkan melalui genre yang satu ini. Jika adapun, ia hanya diselitkan dalam album.
Sehinggakan pada pencalonan akhir Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL-22) baru-baru ini, hanya tiga lagu daripada kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif berjaya dipilih iaitu lagu-lagu Samudera oleh Nora, Kasihnya Balqis (Aishah) dan Dirgahayu (Ramlah Ram).
Berlakunya perkara ini bukanlah berikutan ketiadaan insan yang sanggup berjuang mempersembahkan irama sebegini.
Ramai sebenarnya yang menyanyikan lagu-lagu sedemikian. Antara yang paling popular tentunya Noraniza Idris yang banyak menghasilkan album penuh dalam genre pop etnik dan irama Malaysia. Begitu juga artis terkenal lain seperti Aishah, Ramlah Ram dan Syura.
Penyanyi nombor satu, Datin Seri Siti Nurhaliza juga pernah memberi gegak gempita kepada irama tradisional apabila muncul dengan beberapa album penuh bertunjangkan irama sedemikian.
Pun begitu, ada juga yang hadir dengan konsep begini namun akhirnya hilang entah ke mana seperti Fauziah Idris yang satu ketika dahulu popular dengan lagu Rindu Merindu.
Penyanyi muda, Syazliana juga pernah mempertaruhkan irama ini untuk memperkenalkan dirinya dalam bidang hiburan namun akhirnya terus dilupai.
Di manakah silapnya?
Jika mahu membuat album kompilasi, rasa-rasanya banyak lagu lama berentak asli, keroncong, langgam dan zapin misalnya tersimpan di dalam arkib.
Kita juga ada beberapa komposer ternama yang ciptaan mereka berjaya membuktikan irama Malaysia berada pada kedudukan kukuh.
Salah seorang daripadanya tentulah Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah yang kini telah pun bergelar Datuk yang banyak menyumbang lagu untuk mereka yang gemar membawakan genre lagu sebegini.
Lagu ciptaannya Hukum Kama sendiri pernah diangkat menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1999 bagi kategori Irama Malaysia.
Mahu atau tidak kita harus menerima hakikat bahawa berlakunya perkara ini kerana kita tidak mempunyai aliran muzik yang tetap. Tidak seperti di Barat yang jika alirannya blues, ia terus kekal di persadanya. Ada artis yang akan terus memperjuangkan lagunya dan ada penggemar yang terus menyokong.
Berbeza dengan negara kita. Jangan hairan jika esok, irama keroncong meletup maka akan berpusu-pusulah artis-artis yang menghasilkan album keroncong. Tidak kiralah artis paling tersohor mahupun artis yang baru merangkak dalam industri. Percayalah, masing-masing mahu muncul dengan irama ini.
Sukar menelah pendirian mereka. Sebab ada penyanyi nasyid boleh jadi penyanyi rock dalam sekelip mata.
Kekalutan beginilah yang membuatkan industri kita terus dibelenggu senario ‘ikut trend semasa’ tanpa mahu memperjuangkan alirannya.
Lalu, siapakah yang bersalah?
Banyak penyanyi yang ada di Malaysia lebih senang mengangkat pop sebagai konsep album mereka lantaran penerimaan mudah pendengar dan peminat muzik tempatan.
Namun jika pihak terbabit seperti artis, komposer dan syarikat rakaman itu sendiri boleh memfokuskan kepada irama tradisional maka irama begini boleh kekal sebagai genre yang diminati.
“Sebaliknya persepsi sekarang oleh mereka yang di dalam industri lain. Mereka tidak yakin. Apabila sekali gagal, mereka terus berhenti (menghasilkan album/lagu irama tradisional). Sepatutnya mereka mencuba dan mencuba lagi,” kata Suhaimi yang pernah mengangkat aliran muzik ini ke kancah fenomena tidak berapa lama dahulu.
Suhaimi berkata, beliau yakin dengan penumpuan penuh dan perancangan yang teliti, album penuh produk daripada irama tradisional mampu pergi jauh.
Bukti sudah ada, kata beliau, sambil merujuk kepada album-album irama tradisional yang pernah dihasilkan Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza.
“Orang nak dengar produk dan produk yang bagus,” kata Suhaimi lagi.
Bagaimanapun kata beliau, artis sendiri perlu fokus dengan apa yang dikehendaki.
“Di Malaysia, mahu atau tidak kita perlu mengakui rupa paras memainkan peranan penting. Jadi mereka harus jaga keterampilan,” ujarnya.
Ya, bukan mudah melenggokkan irama tradisional namun perlu ada orang yang terus memperjuangkannya.
Suhaimi sendiri mengharapkan lebih ramai muka-muka baru komposer yang muncul dengan produk baru yang berorientasikan irama Malaysia/tradisional.
Selain artis dan para penggemar, medium seperti TV dan radio juga memainkan peranan yang maha besar dalam memperjuang dan memperkenalkan irama ini khusus kepada generasi baru.
Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila radio-radio swasta lebih galak memutarkan lagu-lagu moden daripada pelbagai genre pop tidak kira produk tempatan mahupun Barat.
Malah sejak kebelakangan ini, stesen radio kita juga amat teruja memperdengarkan lagu-lagu dari seberang yang mereka anggap lebih popular dan tinggi nilai komersialnya.
Jadi di manakah lagu-lagu berirama tradisional mahu menonjolkan dirinya? Juga di manakah hala tuju kita untuk membangunkan lagu-lagu sedemikian?
Nasib baiklah ada stesen Klasik FM yang mengangkat lagu-lagu begini. Sekurang-kurangnya irama ini bukan tidak ditelan zaman malah kita akan terus dapat mendengar lagu-lagu rentak asli, joget, zapin, langgam, inang dan keroncong.
Beberapa pertandingan seperti Bintang Asli Remaja dianggap sebagai landasan paling tepat dalam melahirkan barisan pelapis kepada penyanyi-penyanyi lagu asli negara.
Pertandingan anjuran bersama Kementerian Penerangan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) itu adalah program tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 1996 dengan objektif memelihara, mengembang dan mempopularkan lagu-lagu Melayu Asli di kalangan remaja.
Program itu juga adalah pemangkin kepada usaha meningkatkan aspirasi dan minat masyarakat terhadap lagu-lagu Melayu asli yang penuh dengan tatasusila tersendiri.
Namun begitu, pertandingan ini pernah ‘direhatkan sementara’ untuk satu tempoh yang agak panjang bermula pada tahun 2001 sebelum muncul pula dengan Bintang Irama Malaysia.
Namun usaha-usaha seperti ini tidak akan ada impaknya sekiranya syarikat-syarikat rakaman juga tidak berusaha membangunkan genre begini malah lebih berminat dengan nilai pop, hip-hop dan R&B yang memang menjadi pujaan ramai.
Ketinggalan sangatkah lagu-lagu berentak tradisional atau apakah muzik tradisional pada masa ini masih berada di takuk lama dan mereka yang menghasilkannya seolah-olah takut untuk lebih ke hadapan?
Mahukah kita melihat ketandusan lagu-lagu berirama tradisional tanpa mahu melakukan sesuatu untuk mempertahankan irama yang menjadi jati diri orang Melayu?
Kalau negara kita terus kurang menghasilkan album tradisional, kesan jangka panjangnya, kita takut anak-anak akan datang tidak lagi kenal apa itu joget, masri dan zapin.
Suhaimi mengakui terdapatnya usaha kerajaan untuk terus mengekalkan dan mendekatkan irama sebegini kepada khalayak seperti penganjuran pertandingan Bintang Irama Malaysia yang diusahakan RTM .
Namun ujarnya, kerjasama dari stesen popular tidak kira televisyen mahupun radio juga menjadi antara pemangkin kepada kejayaan pendekatan ini.
Adalah amat mengecewakan, kata Suhaimi, apabila stesen swasta seperti stesen radio popular tidak mahu memainkan lagu-lagu berirama tradisonal.
“Walaupun ada siaran sendiri tetapi ia tidak mencukupi. Mahu tak mahu kita kena akui, stesen popular memainkan peranan dan harus sama-sama bertanggungjawab untuk menaikkan martabat irama ini.
”Stesen TV juga pula hendaklah memberi peluang kepada muka-muka baru yang mengetengahkan irama ini dan tidak sekadar mengharapkan muka lama untuk meraih rating,” tegasnya.
Suhaimi juga menolak andaian bahawa kebanyakan lagu tradisional yang dihasilkan sekarang ini agak terkebelakang dari segi susunan muzik yang ditampilkan.
Malah katanya, ada daripada kalangan lagu-lagu berirama tradisional kontemporari mempunyai susunan muzik dan komposisi yang hebat.
“Cuma ia tidak mendapat perhatian sebab lebih ramai yang menganggap muzik moden dan semasa lebih tingi nilainya.
“Sedangkan muzik tradisonal pun ada yang jauh lebih bagus misalnya komposisi dan kompleksiti komposisinya,” katanya.
Dan pada akhir perbualannya, Shuhaimi mengakui terkilan dengan bakat-bakat dari institusi pengajian tinggi yang banyak mengambil jurusan muzik tetapi tidak mahu menumpukan fokus kepada genre tradisional menyebabkan irama sebegini terus terpinggir dalam arus kemodenan.