Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Januari 2008

Nilai semula kedudukan Kesusasteraan Melayu


Oleh Shaidah Shafie


Buka minda: Sejumlah peserta mendengar hujah panel berhubung Kesusasteraan Melayu pada Dialog Pemantapan Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Muar, Johor,

Pelbagai cadangan dikemukakan bagi memartabatkan semula subjek berkenaan

DIALOG Pemantapan Pendidikan Kesusasteraan Melayu menggesa Kementerian Pelajaran mengambil langkah proaktif dengan memberi nilai tambah kepada mata pelajaran Kesusasteraan Melayu bagi mengelakkan ia terus terpinggir dan berkubur pada masa depan.

Pemberian nilai tambah itu, diyakini boleh melonjakkan kedudukan Kesusasteraan Melayu daripada menjadi mata pelajaran pilihan terakhir selain masyarakat mahupun pendidik perlu mengubah sikap melabelkan mereka daripada aliran sastera sebagai pelajar gred C.


Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Akademik Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hashim Ismail, usaha memulihkan citra Kesusasteraan Melayu boleh dilaksanakan dengan jayanya jika disertai iltizam politik.

"Dengan mandat yang ada pada Kementerian Pelajaran, pelbagai dasar pendidikan membabitkan naik taraf kedudukan Kesusasteraan Melayu konteks pelajaran boleh dilakukan," katanya pada sesi dialog di Dewan Utama, Hotel Tropical Inn, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sesi yang dihadiri lebih 200 khalayak itu, turut mencadangkan pemilihan teks untuk Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) dibuat secara teliti dengan mengambil kira faktor kesesuaian usia pelajar, kaedah penilaian yang digunakan sama ada hafalan atau menekankan pemahaman terhadap teks.


"Jika teks yang dikemukakan sesuai dengan peringkat usia pelajar dan guru Kesusasteraan Melayu, minat kepada mata pelajaran terbabit akan meningkat. Guru mata pelajaran ini perlu diberi insentif sama dengan guru mata pelajaran lain," katanya ketika meninjau Pemantapan Pendidikan Sastera Melayu: Permasalahan dan Pemantapan.

Usul Dr Hashim dipersetujui Ketua Satu, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Mohd Ali Hanafiah yang mengingatkan tugas mengembalikan kegemilangan Kesusasteraan Melayu turut terletak di tangan Kementerian pelajaran dan guru, bukannya orang sastera semata-mata.

"Dalam keadaan kini, tiada apa lagi yang perlu dikaji bagi meletakkan Kesusasteraan Melayu pada tahap sepatutnya. Apa yang penting, menjadikan Kesusasteraan Melayu sebagai mata pelajaran wajib seperti sebelum ini," katanya ketika membincangkan Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu: Bagaimana dan Ke Arah Mana?

Beliau bosan mendengar jawapan pihak berkaitan berhubung kedudukan Kesusasteraan Melayu 'akan dikaji semula' kerana keadaan semakin nazak dan langkah segera perlu bagi memulihkan kedudukan subjek berkenaan agar berfungsi semula.

"Kesusasteraan Melayu akan terus berkembang selagi masyarakat memiliki pejuang dan penggerak yang tidak mengenal putus asa. Mata pelajaran ini juga wajar diberikan nilai komersial agar tidak lagi dianggap sekadar bermain dengan kata-kata. Kesusasteraan Melayu mampu membina akal budi dan mengukuhkan jati diri pelajar," katanya pada sesi yang dipengerusikan Ahli Jawatan Kuasa PPJ, Hamzah Rahman Soriat.

Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu Negeri Johor, Mohd Rosli Bakir, senada dengan Amiruddin apabila berharap masyarakat tidak keliru antara Komsas dan Kesusasteraan Melayu seperti sering terjadi pada masa ini sehingga membawa kesan negatif.

"Kedudukan Komsas berbeza dengan Kesusasteraan Melayu. Komsas, mahu atau tidak, wajib dipelajari oleh pelajar manakala Kesusasteraan Melayu adalah mata pelajaran elektif," katanya ketika menyorot Pemantapan Pendidikan Kesusasteraan Melayu.

Mohd Rosli menegaskan pentingnya anjakan dalam mendampingi pelajar yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan mencadangkan agar guru tidak terikat dengan kaedah struktural seperti digariskan dalam sukatan pelajaran bagi membolehkan subjek terbabit lebih dihargai.

"Dalam mempersiapkan pelajar memenuhi kualiti modal insan, mereka tidak saja perlu dinilai dari segi kemahiran akademik terutama kebolehan menulis, malahan aspek apresiasi juga perlu diambil kira. Barulah produk itu boleh diterjemah sebagai salah satu modal insan terbaik," katanya.

Selain itu, kerja khusus dikatakan penting dalam menarik minat pelajar menumpukan perhatian terhadap mata pelajaran dengan memberi contoh subjek Sejarah, memerlukan pelajar melakukan kerja lapangan dan membolehkan minat berputik kerana mereka mudah lulus dan mendapat keputusan baik.

Justeru, Kesusasteraan Melayu wajar diberi penambahan kerja lapangan seperti pelajar disyaratkan membabitkan diri dalam kegiatan kesusasteraan seperti deklamasi, bicara puisi dan jika tidak mampu, mereka dilantik sebagai panel penilai dalam kelas.

"Walaupun tidak mahir mendeklamasi puisi, sekurang-kurangnya mereka berani bersuara dan apabila tamat persekolahan, mereka boleh memanfaatkan kebolehan bercakap di hadapan orang ramai untuk berinteraksi dalam masyarakat dan paling menjadi pembicara dalam apa saja isu yang diberikan," katanya pada sesi dialog anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dan PPJ.