Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

15 Januari 2008

Raja Bersiong hidup kembali


Oleh Diyanah Anuar


RAJA BERSIONG menyeramkan.

Dramatari hikayat Melayu pembuka tirai KSPP

MEREKA yang gemar menonton ulang tayang filem hitam putih tempatan di televisyen pastinya masih ingat akan filem Raja Bersiong, arahan Datuk Jamil Sulong.

Filem ini adalah adaptasi daripada hikayat Raja Bersiong yang diceritakan dan diperturunkan dari generasi ke generasi seperti juga himpunan hikayat Melayu klasik yang lain.


Kononnya, beratus tahun dulu, ada seorang raja bernama Raja Ong Maha Perita Deria yang ketagih meminum darah manusia selepas terminum darah tukang masak istana yang terluka tangannya ketika menyediakan santapan untuk baginda.

Berikutan itu, negeri yang dinaungi raja ini menjadi huru-hara kerana raja yang dahagakan darah ini menjadikan rakyat sebagai korban termasuklah rakyat Kampar yang menjadi tahanan di negeri itu.

Raja Kampar yang tidak senang dengan perkara ini menyamar sebagai pencuri untuk bertemu dengan Raja Ong Maha Perita Deria atau Raja Bersiong ini dan bertempur dengan baginda.

GERAK lakon pemegang watak utama Raja Bersiong.

Anda boleh mengimbas semula hikayat ini menerusi dramatari Raja Bersiong yang dipersembahkan Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS (KSPP) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) mulai hari Rabu (23 Januari) dan Khamis (24 Januari) pada jam 8.30 malam.

Dramatari Raja Bersiong ini adalah persembahan pembuka tirai untuk KSPP untuk tahun 2008 ini. Persembahan ini membuktikan usaha berterusan PETRONAS dalam memelihara budaya bangsa sekali gus mengangkat martabatnya. Raja Bersiong yang bakal dipentaskan ini juga adalah kesinambungan daripada dramatari lain yang pernah dipersembahkan KSPP di DFP sebelum ini, antaranya Mahsuri, Awang Sulung Merah Muda, Hanuman, Demang Lebar Daun dan Malim Deman.

Persembahan istimewa ini diarahkan oleh Suhaimi Magi dan koreografi pula digarap oleh Mohd Seth Hamzah, A Sam Palal dan Mohd Nordin Abdulatip. Komposisi lagu-lagu yang mengiringi dramatari ini dicipta komposer muda Mohd Khairul Anuar Mohd Ramly dan juga Abdullah Omar Abdul Wahid manakala penyelaras muziknya adalah Ahmad Muriz Che Rose dan Roslee Mansor bertindak pula bertindak sebagai penulis skrip.

Tiket untuk menyaksikan persembahan ini dijual pada harga RM35, RM30, RM20 dan RM10 dan boleh ditempah melalui Box Office di talian 03- 2051 7007, faks 03- 2051 7077 atau email kepada dfp_boxoffice@petronas.com.my.

Datanglah beramai-ramai menyaksikan keistimewaan dramatari ini di DFP kerana ia menjanjikan satu hiburan tradisional yang menarik dan sukar dilupakan.