Oleh: ZAINUDIN OMAR
Membaca tulisan Azman Ismail (sisipan Mega, Utusan Malaysia 24 Januari) berkenaan dengan Komsas 2010 dan keluhan Sasterawan Negara, A. Samad Said amat menyentuh perasaan. Sekiranya benar dakwaan bahawa Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran ingin menggantikan karya-karya para Sasterawan negara atau karyawan mereka yang berautoriti dalam bidang sastera dengan karya-karya picisan seawal 2010, ternyata itu langkah mundur dalam bidang sastera negara.
Tradisi pengajaran Sastera di sekolah menengah Negara kita sejak dahulu sehinggalah ke era Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) ketika ini cukup memperkayakan pemikiran dan berperanan dalam membentuk kehalusan akal budi pelajar. Ia dijalankan dengan cara memperkenalkan novel-novel besar Nusantara yang sesuai dengan peredaran masa dan isu, tanpa meninggalkan persoalan dan tema utama kemanusiaan sejagat. Persoalan dan tema ini tidak pernah berubah kerana itulah tujuan asasi mata pelajaran sastera diperkenalkan.
Sejak tahun 70-an, pelajar kita didedahkan dengan novel-novel 'berat' Indonesia seperti Salah Asuhan' oleh pengarang Abdul Moeis, diikuti oleh Atheis karya Achdiat Karta Mihardja dan Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer. Selain itu, Kementerian Pelajaran juga memperkenalkan novel Sandera karya Keris Mas, Seorang Tua di Kaki Gunung oleh Azizi Abdullah serta pelbagai kumpulan cerpen dan puisi.
Kesemua novel dan kumpulan puisi/cerpen tersebut mengungkap persoalan yang amat kaya dan tidak ternilai kesannya dalam membentuk sanubari dan insani pelajar. Ambil saja contoh novel Atheis yang memaparkan penggulatan batin seorang Islamis tradisionalis berdepan dengan segala ideologi moden yang muncul dalam latar Perang Dunia Kedua. Atau ambil saja contoh perjuangan yang penuh patriotik oleh watak-watak seperti Saaman dari keluarga Amila dalam Keluarga Gerilya. Atau kegigihan dan berjayanya Azizi menghayati dengan penuh empati cara fikir dan bertindak seorang tua di sebuah kampung pedalaman.
Apakah hal ini mampu didapati dari novel picisan? Mungkin PPK dalam mengemukakan cadangan tersebut mengambil kira bahawa mata pelajaran Komsas perlu diambil oleh semua pelajar tanpa mengira kaum.
Sastera bukan sekadar mudah dihadam pelajar, kerana membentuk kehalusan berfikir dan akal budi bukan soal mudah dan boleh dilakukan sekelip mata. Sastera bukan juga soal popular, jauh lagi picisan. Jika premis pemikiran ini yang hendak digunakan oleh PPK, maka elok sekali buku teks dan sukatan mata-mata pelajaran yang lain juga dirombak.
Buanglah topik teori binomial yang sukar di dalam mata pelajaran Matematik Tambahan atau Kimia Organik dalam mata pelajaran Kimia. Jadi apa yang tinggal lagi?