Maju Melayu Perkasa!

27 Januari 2008

Projek landasan berkembar disalur kepada DPMM?


Oleh: WAN NAJIB WAN DAUD

PULAU PINANG 25 Jan. - Kementerian Kewangan masih mengharapkan agar kerja-kerja pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh, Perak ke Padang Besar, Perlis yang bernilai RM3.8 bilion dapat disalurkan kepada kontraktor bumiputera melalui Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menegaskan, konsortium yang diterajui oleh Gamuda Holdings Bhd. dan MMC Corp., berhak untuk menganugerahkan kerja-kerja kontrak kepada sesiapa dan sebagai kerajaan, pihaknya akan cuba memudahkan permintaan DPMM itu.

Gamuda pada pertengahan Disember lalu, mengumumkan kontraktor bumiputera berpeluang mendapatkan kerja bernilai RM3.8 bilion dalam projek landasan berkembar yang menelan belanja RM12.5 bilion.

Ia membabitkan pembinaan lebih daripada 100 buah jambatan, 30 bangunan stesen, lebih daripada 180 kilometer kerja-kerja pembetungan dan parit serta lebih daripada 300 kilometer kerja-kerja pembinaan trek dan utiliti.

"Kami (kerajaan, DPMM dan konsortium) selalu berbincang tentang hal ini dan sebagai kerajaan, kami akan cuba memudahkan segala urusan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ikrar Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. Georges di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, Presiden DPMM, Syed Ali Mohamed Al Attas menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap MMC-Gamuda kerana mahu menyerahkan kontrak kerja-kerja pembinaan tanpa melalui DPMM.

Katanya, beliau akan membawa perkara itu kepada Nor Mohamed bagi perbincangan lanjut kerana melihat penganugerahan kontrak tanpa melalui DPMM seolah-olah mencabar kewibawaan ahli perniagaan bumiputera lain.

Malah dalam pertemuan awal dengan, Nor Mohamed sebelum ini, cadangan itu mendapat reaksi positif dan untuk tujuan itu DPMM telah menubuhkan Master Vendor Corporation Sdn. Bhd. (MVC) yang berperanan sebagai vendor utama kepada kontraktor bumiputera.

Syed Ali berkata, kira-kira 120 kontraktor Kelas A dan 1,000 kontraktor kelas lain akan menerima manfaat dalam perancangan pihaknya.

Dalam pada itu Nor Mohamed berkata, pihaknya akan cuba memenuhi tuntutan DPMM dan akan berbincang dengan MMC-Gamuda bagi mengatasi masalah tersebut demi kebaikan semua.

"Mereka perlu bekerjasama bagi menjayakan projek tersebut dan kerajaan akan cuba membantu," katanya lagi.